Kian matang & konsisten, ini cara Ara Johari ‘healing’ dan kekal relevan tanpa gimik

A
A
A

SEBUT sahaja nama Ara Johari, pasti ramai yang terus terbayang suara serak-basah yang penuh emosi.

Sejak muncul dalam Akademi Fantasia 2016, Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari berjaya mencorakkan identitinya sendiri dalam arena muzik tempatan.

Terbaharu, kemunculan beliau dengan lagu bertajuk Menjaga Jodoh Orang Lain, sentuhan pemuzik Indonesia, Ilham Baso meraih sambutan hangat peminat.

No Image Caption

Sekali gus membuktikan Ara bukan bersandarkan pada rupa paras atau kontroversi, tetapi bakat dan kekuatan vokalnya yang menjadi keutamaan biarpun jarang muncul di khalayak.

“Biar orang ingat saya kerana karya, bukan cerita yang merosakkan nama sendiri.

“Sejujurnya, saya cuba mengelak daripada kontroversi, namun ada masanya situasi itu datang tanpa diundang. Pun begitu, saya tidak mahu menjadikan ia (kontroversi) sebagai alat untuk kekal relevan.

“Saya juga lebih memilih untuk kekal fokus kepada muzik dan peminat. Pada masa sama, saya ambil pendekatan untuk diam dan teruskan kerja. Kalau asyik melayan sangat, nanti kita sendiri hilang arah,” ujarnya lagi.

No Image Caption

Menjawab persoalan apakah beliau juga seperti segelintir selebriti yang kini dilihat lebih terbuka dalam berkongsi hal percintaan, sangkal Ara, beliau memilih untuk menyimpan kisah cintanya secara tertutup.

“Saya suka hubungan itu berada dalam keadaan privasi. Bukan sebab nak jaga hati sesiapa atau ikut desakan keluarga. Tapi sebab saya sendiri rasa lebih tenang begitu.

“Kalau jadi, alhamdulillah. Kalau tak jadi, tak adalah orang buat cerita macam-macam,” katanya kepada penulis ketika ditemu bual dalam majlis Rumah Terbuka Terpaling Raya dan rakaman program Borak Bibir Merah anjuran SinarPlus baru-baru ini.

No Image Caption

Mencongak usia perjalanan beliau sebagai anak seni yang sudah memasuki sembilan tahun, pastinya masih banyak perancangan beliau untuk masa hadapan.

Walaupun aktif dalam nyanyian, Ara bagaimanapun tidak meletakkan harapan tinggi untuk menceburi bidang lakonan atau pengacaraan. Katanya: “Saya ni kayu lagi kalau berlakon.

"Kalau bidang pengacaraan, boleh cuba cuma mungkin belum sampai masa lagi. Saya pun tak pandai nak olah ayat macam pengacara profesional lain.

“Namun kalau ada peluang, saya akan cuba. Pada masa sama, saya dalam proses menyusun strategi untuk memulakan perniagaan. Saya tidak mahu terburu-buru.

“Kita sedia maklum, dunia hiburan ini tidak menjanjikan jaminan sepanjang hayat. Saya boleh harap nyanyi je. Kita kena fikir jangka masa panjang. Bila dah tua nanti, ada juga benda yang stabil,” jelasnya.

Memancing jadi terapi

Menariknya, di sebalik personaliti yang nampak lantang dan berani atas pentas, Ara sebenarnya seorang yang sensitif dan mudah tersentuh.

No Image Caption

Kepada penulis beliau mengakui lebih selesa menyendiri apabila berdepan tekanan.

“Saya suka duduk sorang-sorang. Kadang-kadang memandang sendirian sudah cukup untuk saya tenang kerana bukan jenis stres yang tunjuk depan orang.

“Kalau terlalu tertekan, saya suka memancing dan berkhemah. Dua aktiviti itu menjadi terapi paling mujarab.

“Walaupun tak dapat ikan pun tak apa. Saya bukan nak memancing sangat, tapi nak rasa tenang itu yang mahal,” katanya sambil tertawa kecil.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi saat-saat sukar yang pernah dilaluinya sepanjang berada dalam industri hiburan.

“Zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah saat paling mencabar dalam hidup saya. Bayangkan waktu tu memang sukar. Tawaran hilang hampir 80 peratus.

"Namun, alhamdulillah saya masih bertahan dan ramai yang terkesan, bukan saya seorang. Jadi saya bersyukur kerana masih ada dalam industri ni,” kongsinya.

No Image Caption

Menyentuh mengenai dunia media sosial yang penuh tekanan untuk mencipta kandungan, walaupun bergelar selebriti, Ara mengakui tidak pernah rasa terpaksa ikut arus.

“Ada masanya saya suka ikut trend di TikTok, tapi lebih kepada suka-suka. Saya bukan jenis yang tertekan nak buat kandungan tular dan sebagainya kerana itu bukan kekuatan diri.

“Pada masa sama, saya cuba memberikan sesuatu pada peminat. Lagu bagus kalau tak ada sokongan peminat, tak jadi juga, kan. Jadi, kena jaga kedua-duanya,” ujarnya menutup perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang