'Anak-anak boleh rasa kalau kasih sayang itu dibuat-buat...' - Madammu

No Image Caption
A
A
A

NAMA Eriyca Baiduri atau lebih dikenali sebagai Madammu sudah sinonim dalam dunia kecantikan tempatan. 

Figura di sebalik jenama Noir Health & Beauty itu bukan sahaja mengubah wajah industri kosmetik, tetapi turut menjadi inspirasi kepada ribuan wanita yang mahu bangkit memperbaiki kehidupan.

Namun di sebalik kejayaan yang dilihat hari ini, perjalanan itu penuh dengan cabaran dan air mata. 

Wanita berusia 36 tahun itu mengakui titik paling getir dalam hidupnya adalah ketika keinginannya untuk berubah seolah-olah ditolak dunia.

“Paling mencabar adalah waktu saya rasa dunia menolak. Dari suri rumah, saya mahu membuktikan kemampuan sendiri. 

“Saya pernah rasa mahu berhenti bila orang tidak percaya... tapi saat itu saya sedar, kalau saya sendiri pun tidak percaya pada diri, siapa lagi yang akan percaya?” katanya mengimbas detik perit yang pernah hampir membuat dirinya berputus asa.

Bermula dari rumah, Madammu kini mempunyai empayar perniagaan sendiri.
Bermula dari rumah, Madammu kini mempunyai empayar perniagaan sendiri.

Bermula daripada seorang suri rumah yang mencari ruang untuk berdikari, anak kelahiran Terengganu itu membina Noir dengan strategi yang mungkin kedengaran mudah, tetapi menuntut keberanian yang luar biasa. 

Dia menjadikan Facebook Live sebagai kelas terbuka untuk berniaga, walaupun pada awalnya berdepan rasa rendah diri.

“Strateginya mudah tetapi konsisten, berani muncul depan kamera, walaupun mula-mula rasa ‘kecil’. 

“Kalau anak muda boleh belajar satu benda, jangan tunggu sempurna baru nak bermula. Mulalah dengan tekad dan keberanian. Insya-ALLAH, lama-kelamaan kita akan jadi lebih baik,” ujarnya.

Hasil daripada keberanian itulah label berkenaan kini berkembang, bukan sahaja sebagai produk kecantikan tetapi sebagai platform memperkasakan wanita. 

Ramai yang pada awalnya malu dan takut mencuba, kini mampu berdiri sebagai usahawan dengan pendapatan dan keyakinan tersendiri.

“Ia bukan sekadar produk penjagaan kecantikan, tetapi platform. Ramai wanita bermula dengan rasa malu, takut untuk bercakap. 

“Hari ini mereka jadi usahawan ada pendapatan dan keyakinan. Jenama ini memberi ruang untuk wanita menjadi versi terbaik diri mereka,” tambahnya dengan bangga.

Madammu ketika menjadi tetamu jemputan untuk program Borak Bibir Merah anjuran Sinarplus baru-baru ini. (Foto : Asril Aswandi Shukor)
Madammu ketika menjadi tetamu jemputan untuk program Borak Bibir Merah anjuran Sinarplus baru-baru ini. (Foto : Asril Aswandi Shukor)

Malah kongsinya, dia tidak mahu hanya selesa di pasaran tempatan, sebaliknya menyimpan hasrat untuk mengembangkannya ke negara jiran seperti Indonesia dan Brunei. 

Lebih jauh lagi, dia mahu menjejakkan jenama tersebut ke Timur Tengah yang dilihatnya sebagai pusat kecantikan dan fesyen dunia.

“Dalam hati, saya teringin lihat produk ini bertapak di Timur Tengah. Itu impian besar saya,” katanya.

Sentuhan peribadi & keluarga

Walaupun sibuk dengan urusan perniagaan, sisi peribadi Madammu tetap menjadi sebahagian daripada naratif kehidupannya. 

Dalam setiap langkah, dia tidak pernah lupa akan sokongan insan tersayang dan mengakui kekuatan utamanya datang daripada suami Muhammad Azri Che Noh, 47, menjadi tulang belakang, serta anak-anak yang menjadi pendorong, serta dirinya sendiri yang tidak pernah belajar untuk menyerah.

Suami dan anak-anak menjadi pendokong utama kejayaan Madammu.
Suami dan anak-anak menjadi pendokong utama kejayaan Madammu.

Malah, wanita ayu itu sering dipuji kerana keakrabannya dengan anak-anak, termasuk anak tiri daripada perkahwinannya.

“Rahsianya satu, ikhlas! Anak-anak boleh rasa kalau kasih sayang itu dibuat-buat. Saya layan mereka sama macam anak sendiri. 

“Lama-lama hubungan itu terbina dengan sendiri,” katanya jujur.

Dalam masa sama, Madammu juga tidak menafikan mempunyai sifat pelindung terhadap keluarga. Baginya, itu bukan kelemahan tetapi kekuatan seorang ibu.

“Kalau bukan kita yang lindungi anak-anak, siapa lagi?” tegasnya.

Perjalanan hidup Madammu turut menyaksikan transformasi diri apabila mengambil keputusan untuk berhijab penuh.

“Titik yang membawa saya bertudung ialah bila rasa hidup perlukan perubahan. Walaupun sedikit dan belum sempurna, ia tetap dikira perubahan positif. 

“Biarlah hanya saya dan ALLAH SWT sahaja yang tahu. Mohon doakan semoga istiqamah,” luahnya dengan penuh rendah hati.

No Image Caption

Sebelum mengakhiri perbualan, penulis bertanyakan definisi cantik baginya dan ungkap anak kedua dari tiga beradik itu, kecantikan tidak pernah bersandar kepada solekan tebal atau pakaian mewah semata-mata.

“Cantik pada saya, bila kita yakin dengan diri, ikhlas dengan orang dan mampu memberi manfaat. Kepada wanita di luar sana, sayangi diri anda. Ingatlah, kita ada kelebihan dan tenaga tersembunyi yang diri sendiri tidak tahu. Percayalah, kita semua hebat,” pesannya dengan penuh semangat.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang