Jiwa majmuk jadi inspirasi

No Image Caption
A
A
A

DALAM riuh dunia maya yang kadangkala sarat dengan drama dan kontroversi, hadir satu nama yang menjadi teduhan sejuk Wee Yun Nee atau lebih mesra dikenali sebagai Mekyun.

Gadis manis berbangsa Cina dari Kelantan itu mula menambat hati ramai kerana gaya bersahaja, dialek Kelantan yang pekat serta kejujuran yang terpancar dalam setiap kontennya.

Namun di sebalik gurau senda dan momen sederhana yang dikongsikan, Mekyun membawa sesuatu yang lebih besar - sebuah pesanan tentang kasih sayang, hormat dan keharmonian dalam kepelbagaian.

“Sebagai pencipta kandungan, saya percaya media sosial adalah platform paling besar untuk menyebarkan mesej dan saya mahu gunakan ia dengan cara terbaik untuk memberi inspirasi, menyebarkan harapan, dan menyatukan orang,” katanya penuh makna kepada Sinarplus.

Mekyun sering memastikan perkongsiannya mampu memberi inspirasi kepada orang lain.
Mekyun sering memastikan perkongsiannya mampu memberi inspirasi kepada orang lain.

Pempengaruh berusia 28 tahun itu sedar, identiti dirinya sebagai gadis Cina bercakap dialek Kelantan memberi warna unik dalam dunia digital. 

Namun baginya, itu bukan sekadar kelebihan peribadi, sebaliknya peluang untuk menunjukkan keindahan Malaysia.

“Media sosial adalah jambatan besar untuk kita menghapuskan jurang perbezaan. Saya sendiri, sebagai seorang anak Kelantan berbangsa Cina, membuktikan bahawa perbezaan itu bukan kelemahan tetapi kekuatan. 

Artikel Berkaitan:

"Melalui kandungan di media sosial, saya cuba tunjukkan bagaimana kita boleh menghargai budaya antara satu sama lain dengan rasa hormat dan cinta.

“Saya bangga dengan identiti saya sebagai anak Kelantan tetapi saya lebih bangga sebagai rakyat Malaysia. Setiap negeri ada keunikan, setiap budaya ada keindahan, dan bila kita kongsi dengan ikhlas, orang lain akan terinspirasi walaupun mereka datang dari latar belakang berbeza,” tuturnya ikhlas.

Kasih sayang

Bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu, kekuatan dirinya bermula dari rumah. Keluarga bukan sahaja tempat berteduh, malah menjadi sumber semangat dan kasih sayang tanpa putus.

Mekyun sering berkongsi content bersama keluarganya.
Mekyun sering berkongsi content bersama keluarganya.

“Rahsia kebahagiaan Mekyun sekeluarga adalah kasih sayang tanpa syarat, doa yang tidak pernah putus dan saling menyokong dalam apa jua keadaan.

“Bila hati dipenuhi kasih sayang, ia melahirkan ketenangan dan kebahagiaan yang orang lain juga boleh rasa melalui setiap perkongsian saya.”

Tidak hairanlah, setiap video Mekyun bersama keluarga sering menyentuh hati ramai. Ada sesuatu yang sederhana tetapi cukup bermakna menggambarkan bahawa kebahagiaan sejati lahir daripada ikatan kasih yang tulus.

“Inspirasi tidak semestinya datang daripada ucapan yang panjang, tetapi kadangkala satu senyuman atau satu ayat mampu mengubah pandangan hidup seseorang.

“Saya mahu mesej saya mudah difahami oleh semua; daripada anak kecil hingga warga emas. Sebab inspirasi itu bukan milik satu golongan, ia milik semua orang,” ujarnya lagi.

Mungkin inilah rahsia mengapa setiap kontennya terasa dekat seakan seorang jiran, atau adik yang sentiasa ada untuk mengingatkan tentang kebaikan.

Merdeka dalam jiwa

Tidak lengkap perbualan tanpa menyentuh mengenai Hari Kebangsaan ke-68 yang diraikan seluruh Malaysia pada Ahad lalu.

Ditanya mengenai tafsiran erti kemerdekaan, Mekyun berkata: “Merdeka bagi saya ialah kebebasan untuk menjadi diri sendiri dengan penuh keyakinan, sambil menghormati orang lain. Ia lebih daripada bebas daripada penjajahan; ia adalah bebas daripada rasa benci, iri hati dan prasangka. 

"Bila jiwa kita benar-benar merdeka, barulah kita mampu mengisi erti kemerdekaan negara dengan seikhlas hati," kata anak perempuan tunggal daripada empat beradik itu lagi.

Mekyun percaya, generasi muda adalah pewaris semangat negara. Katanya, biarlah mereka mengejar kejayaan, namun akar budaya jangan sekali-kali diputuskan.

“Harapan saya ialah supaya generasi muda berani bermimpi setinggi langit, tetapi tetap berpijak di bumi Malaysia. Kita boleh moden, kreatif, berjaya dalam dunia ini tetapi jangan sekali-kali melupakan akar budaya kita.

“Kepada semua rakyat Malaysia, kita mungkin berbeza bahasa, agama, budaya, tetapi kita semua berkongsi satu tanah air, satu langit dan satu harapan.

“Jadikan perbezaan kita sebagai jambatan kita semua. Mari kita jaga Malaysia dengan kasih sayang, kerana negara ini adalah rumah kita bersama.

"Selamat Hari Kebangsaan, semoga semangat perpaduan ini terus mekar sampai bila-bila,” tuturnya penuh semangat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang