Gambar waktu sekolah jadi bahan lucah, Mekyun buat laporan polis! 'Bukan lawak, ini jenayah'

No Image Caption
A
A
A

KEBELAKANGAN ini, kecoh di media sosial mengenai kewujudan sebuah grup Facebook yang didakwa berkongsi gambar pelajar sekolah dan kanak-kanak bawah umur sebagai bahan lucah untuk tatapan ahli-ahlinya. 

Aktiviti tidak bermoral itu telah mencetuskan kemarahan ramai, termasuklah pempengaruh media sosial, Mekyun yang tampil lantang bersuara.

Menurut Mekyun, dia menerima pelbagai mesej daripada netizen sejak Isnin lalu, memaklumkan bahawa gambarnya ketika zaman sekolah turut menjadi antara yang tular dalam grup yang dikenali sebagai ‘budak sekolah’ itu.

“Ini bukan lawak, ini bukan suka-suka. Ini salah dan ini jenayah. Hari ini Mekyun bersuara sebab kita tak boleh diam, kita tak boleh biarkan,” tegasnya menerusi satu hantaran di Instagram Story.

Lebih menjijikkan, Mekyun turut berkongsi beberapa komen ahli grup terbabit yang disifatkan sebagai sangat kotor dan tidak berperikemanusiaan.

Oleh itu, sebagai usaha membanteras jenayah tersebut, Mekyun memohon kerjasama orang ramai untuk terus melaporkan grup berkenaan dan menyebarkan kesedaran mengenai bahayanya aktiviti eksploitasi seksual kanak-kanak di alam maya.

“Kita semua kena jadi suara kepada budak-budak yang tak mampu bersuara. Mekyun mohon PDRM, MCMC dan YB Fahmi Fadzil, tolong siasat dan hentikan semua benda ini.

“Ini bukan pasal Mekyun, ini pasal budak-budak yang tak tahu langsung gambar mereka diperdagangkan dalam grup kotor itu. Siapa lagi yang nak lindungi budak-budak semua tu kalau bukan kita?” ujarnya.

No Image Caption


Dalam kemas kini terbaharu, pempengaruh media sosial itu memaklumkan telah pun menghubungi pihak berkuasa secara langsung dan menyerahkan maklumat berkaitan.

“Mekyun sendiri dah hubungi pihak berkuasa secara langsung semalam. Sekarang, siasatan sedang dijalankan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab.

“This is not a small matter. Ini tentang keselamatan budak-budak kita, anak-anak kita dan maruah komuniti kita semua," tulisnya.

No Image Caption


Pada masa sama, anak jati Kelantan tersebut turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang telah membantu melaporkan grup berkenaan dan berkongsi videonya untuk meningkatkan kesedaran. 

Malah, dia menyeru masyarakat untuk tidak mengambil ringan isu ini dan sentiasa cakna sekiranya terlihat perkara-perkara mencurigakan.

“To everyone yang bantu lapor grup tu dan kongsi video Mekyun, terima kasih yang tak terhingga. Tindakan korang sangat bermakna. Suara kita telah didengari dan bersama-sama, kita telah memulakan sesuatu.

“Tolong jangan pandang ringan isu macam ni. Kalau kalian ternampak benda jijik macam ni lagi, menjadi mangsa atau kenal sesiapa yang jadi mangsa, bersuaralah. Buat laporan, lindungi sesama kita. 

“Saya benar-benar berharap pemangsa yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin. Keadilan mesti ditegakkan dan diambil. Kita tidak boleh diam," katanya.

SinarPlus menyeru agar masyarakat sentiasa prihatin, melindungi golongan yang tidak berdaya dan tidak berkompromi dalam isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak. 

Setiap laporan dan tindakan kita hari ini boleh menyelamatkan masa depan mereka.


Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang