Tanah runtuh 400 meter dari banglo 6 tingkat, 30 tahun menetap Yusof Haslam tak rancang pindah.'Saya serah kepada ALLAH'

No Image Caption
A
A
A

SANA-sini ramai memperkata banjir dan tanah runtuh selepas hujan lebat melanda negara pagi semalam. Penduduk di kawasan kediaman elit di Melawati, Ulu Klang pun tidak terkecuali selepas kejadian tanah runtuh di Jalan E6 yang tular.

Sutradara dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam bagaimanapun kekal tenang biarpun berdepan dengan insiden tanah runtuh itu hanya kira-kira 400 meter dari banglo enam tingkatnya.

Malah selebriti terkenal dengan drama rantaian Gerak Khas itu tidak merancang untuk meninggalkan kediaman atau berpindah.

No Image Caption



30 TAHUN MENETAP

“Saya bukannya terlalu yakin tetapi saya serah kepada ALLAH SWT. Sejak menetap di sini 30 tahun lalu, saya tidak pernah berpindah sementara bila ada kejadian tanah runtuh.

“Lagipun ini bukan kejadian pertama yang berlaku berhampiran rumah dan saya sendiri mengambil langkah berjaga-jaga, tetapi kalau berlaku juga, itu kuasa ALLAH SWT,” katanya.

Selepas tiga dekad tinggal di sana, Yusof berkata kejadian tanah runtuh itu sudah boleh dijangka kerana berlaku beberapa hakisan sebelum ini.

Bapa kepada pengarah popular Syamsul dan Syafiq Yusof itu berharap pihak berwajib mengambil tindakan yang lebih serius agar bencana itu tidak berulang.

Artikel Berkaitan:


“Saya sering melalui kawasan itu dan sebelum ini sudah nampak beberapa hakisan dan runtuhan kecil sejak beberapa bulan lepas.

“Memang nampak tanah ini akan runtuh bila hujan lebat sekiranya tidak berbuat sesuatu kerana air longkang mengalir di tepi itu dan menyebabkan hakisan.

“Harapnya ada tindakan sewajarnya supaya runtuhan itu tidak bertambah buruk selepas ini,” jelasnya.

No Image Caption



KELUAR DUIT POKET

Tidak hanya melihat hakisan tanah berlaku, Yusof mengambil tindakan mengekang dan menjaga kawasan rumahnya biarpun terpaksa menelan belanja yang besar.

Malah beliau tidak berkira untuk mengeluarkan duit poket sendiri bagi membaiki masalah longkang pecah atau tersumbat di sekeliling rumahnya biarpun ia di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan.

“Sebelum menetap di sini, pernah ada kejadian tanah runtuh. Jadi saya sudah ambil langkah sewajarnya dengan mengupah jurutera, memasang tembok penahan tanah.

No Image Caption



“Kalau longkang pecah atau tersumbat pun, saya upah orang untuk baiki, saya tidak tunggu majlis perbandaran sebab saya sedar mereka juga ada banyak kawasan lain yang boleh dipantau.

“Saya sendiri setiap minggu akan turun pantau kawasan rumah dengan pekerja saya. Memang makan perbelanjaan yang tinggi, tetapi kita perlukan utamakan aspek keselamatan dan saya jaga semua aspek itu.

“Cuma kalau berlaku juga, itu kuasa ALLAH SWT,” ujarnya.

MASIH ADA PERGERAKAN TANAH, 33 MANGSA PINDAH

Dalam perkembangan berkaitan, Penilaian Jabatan Mineral dan Galian (JMG) mendapati masih ada pergerakan tanah di lokasi tanah runtuh berkenaan beberapa jam selepas insiden terbabit pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan menutup kawasan cerun berkenaan menggunakan kanvas bagi mengelak lebih banyak hakisan tanah berikutan cuaca hujan masih berterusan.

Polis dan agensi berkenaan tidak menolak kemungkinan kawasan runtuhan seluas 600 meter persegi (m²) itu menjadi lebih besar jika cuaca hujan berterusan.

Seramai 33 mangsa terdiri daripada 11 keluarga dipindahkan ke Dewan Orang Ramai JKP Zon 1 berhampiran lokasi kejadian, namun kebanyakan mereka memilih tinggal di rumah keluarga atau di hotel.

Sumber: Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang