Demam hingga tangan mengerekot disangka strok, rupanya Influenza A! Pakar ini kongsi penjelasan

No Image Caption
A
A
A

DALAM kesibukan rutin harian, kita sering menganggap demam hanya tanda keletihan sementara.

Namun bagi keluarga Ahmad Syakir Mohamad Sazili, 47, tanggapan itu berubah sekelip mata apabila anak keduanya, Hani Mastura, tiba-tiba mengalami kekejangan tangan hingga mengerekot seperti diserang strok.

Pelajar Tahun 1 Kulliyyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak itu awalnya mengadu demam ringan dan sakit sendi. Namun tidak menyangka keadaan akan bertambah teruk.

Keesokan harinya, tubuhnya menggigil dan mengerang kesakitan di dalam kereta sebelum sempat dibawa ke klinik.

Panik melihat anak perempuannya tidak mampu menggerakkan jari, Syakir segera membawanya ke unit kecemasan di sebuah pusat rawatan swasta di Kajang.

Hasil pemeriksaan mendapati kekejangan itu adalah carpopedal spasm, berpunca daripada anxiety dan kesakitan melampau, bukan strok seperti disangka.

No Image Caption

Ujian lanjut turut mengesahkan gadis berusia 19 tahun itu dijangkiti Influenza A. Selepas tiga hari dirawat di wad khas, dia dibenarkan pulang dan kini dalam pemulihan.

Bagi memahami situasi yang dialami Hani, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Pediatrik, Dr. Kamal Muniandy dari 123 Child Specialist Clinic.

Menurut beliau, sehingga kini tiada bukti kukuh menunjukkan virus influenza di Malaysia telah bermutasi menjadi lebih agresif.

Namun, katanya, virus ini memang mengalami perubahan genetik kecil setiap tahun yang dikenali sebagai antigenic drift.

“Perubahan kecil inilah yang menyebabkan kesan jangkitan boleh berbeza antara satu musim dengan musim yang lain,” jelasnya.

Beliau turut menerangkan, simptom seperti tangan atau kaki mengerekot (carpopedal spasm) bukanlah tanda biasa bagi influenza.

“Jika ia berlaku, keadaan itu menunjukkan jangkitan mungkin sudah menjadi lebih serius dan melibatkan ketidakseimbangan elektrolit seperti kalsium atau magnesium dalam darah, atau dehidrasi teruk akibat demam tinggi dan muntah,” katanya.

No Image Caption

KEPENTINGAN VAKSIN

Dalam sesetengah kes, ujarnya lagi, keadaan itu juga boleh menandakan sistem saraf telah terjejas oleh virus influenza.

“Carpopedal spasm berlaku apabila otot tangan dan kaki menjadi terlalu aktif akibat kekurangan kalsium atau darah menjadi lebih beralkali.

"Ia boleh berlaku jika kanak-kanak bernafas terlalu laju kerana demam tinggi, sesak nafas atau kebimbangan,” ujarnya.

Tambah beliau, kanak-kanak bawah lima tahun, terutamanya di bawah dua tahun, serta mereka yang mempunyai asma, penyakit paru-paru kronik, jantung atau imun lemah tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.

Mereka lebih mudah mengalami jangkitan influenza yang serius yang melibatkan jangkitan paru-paru yang mungkin perlu dipantau di hospital.

Untuk pesakit influenza, Dr Kamal menegaskan, rawatan sokongan amat penting.

“Pemantauan cecair dan elektrolit seperti kalsium, magnesium dan sodium perlu dilakukan terutamanya jika ada tanda-tanda dehidrasi dan pesakit tidak dapat minum atau mempunyai gejala muntah dan cirit birit yang teruk.

“Salah satu perkara paling positif mengenai jangkitan influenza adalah ketersediaan ubat antivirus Ostamivir, yang jika diberikan dalam tempoh 48 hingga 72 jam selepas gejala bermula, dapat memendekkan tempoh penyakit dan mengurangkan tahap keterukan jangkitan dan komplikasi,” ujarnya

No Image Caption

Selain itu, jika pesakit mengalami sawan, pemeriksaan darah serta imbasan otak seperti CT scan atau MRI mungkin diperlukan bagi menilai penglibatan sistem saraf.

“Vaksin influenza tahunan penting untuk kanak-kanak (terutamanya di bawah 5 tahun), warga emas, individu yang mempunyai penyakit kronik, serta petugas kesihatan dan guru.

"Ia mungkin tidak menjamin bebas demam sepenuhnya, tetapi mampu mencegah jangkitan teruk dan komplikasi,” katanya.

Nasihat beliau lagi, jika anak kelihatan lesu, sukar bernafas, bibir kebiruan atau mengalami sawan, segera bawa ke hospital tanpa berlengah. Jangan beri antibiotik tanpa nasihat doktor.

"Jika demam tidak surut lebih tiga hari, segera dapatkan rawatan. Langkah pencegahan seperti vaksinasi tahunan, etika batuk bersih dan penjagaan hidrasi mencukupi, kekal sebagai benteng utama melindungi anak-anak daripada ancaman influenza," katanya lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang