NKF penyambung hayat ribuan pesakit buah pinggang.

No Image Caption
A
A
A

 

 

PENYAKIT buah pinggang kronik atau chronic kidney disease (CKD) bukan lagi isu terpencil.

Di negeri-negeri utara Semenanjung seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dialisis terus mencanak naik dari tahun ke tahun.

Keadaan itu bukan sahaja membebankan sistem kesihatan awam, malah memberi tamparan hebat kepada pesakit yang terpaksa bergantung kepada mesin untuk terus hidup.

Ketika temu bual eksklusif bersama Ketua Perubatan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), Dr Azim Hazizuddin Nasaruddin, beliau menyuarakan keprihatinan terhadap peningkatan mendadak pesakit baharu di utara.

Katanya, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, NKF melihat peningkatan sekitar 10 hingga 15 peratus pesakit baharu yang memerlukan rawatan dialisis setiap tahun.

Tambahnya lagi, Kedah dan Perlis mencatatkan kadar rawatan penyakit buah pinggang tahap akhir (ESRD) yang lebih tinggi berbanding negerinegeri lain.

"Apa yang lebih membimbangkan, lebih 38 peratus pesakit diabetes jenis 2 di Kedah turut menghidap CKD, membuktikan kaitan rapat antara diabetes dan kerosakan buah pinggang.

"Ini sekali gus membuka mata tentang keperluan intervensi awal, bukan hanya dari segi rawatan, tetapi juga pendidikan kesihatan dan pencegahan," ujarnya.

Justeru, peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat penting dalam hal ini.

Menurut Dr Azim, usaha memperluaskan pusat dialisis di luar bandar banyak bergantung kepada pelan jangka panjang kerajaan.

"Bantuan seperti subsidi dialisis, skim MySalam dan zakat sedikit sebanyak meringankan beban pesakit.

"Namun, dengan permintaan yang terus meningkat, tidak semua pesakit bernasib baik mendapat tempat di pusat sedia ada," ungkap pakar itu lagi.

 

Kerjasama strategik

Mengisi ruang kosong inilah, NGO seperti NKF tampil membantu menerusi penyediaan pusat rawatan yang lebih berpatutan dan mudah diakses oleh golongan B40. Dengan kata lain, NKF menjadi penyambung hayat kepada ribuan pesakit.

"Di Kedah sahaja, terdapatempat pusat NKF termasuk di Alor Setar dan Kulim. Yang terbaharu dan cukup membanggakan adalah pembukaan Pusat Dialisis NKF-OSK Foundation di Sungai Petani, pada 10 Jun 2024 lalu.

"Pusat ini bukan sekadar bangunan moden, malah menjadi simbol kerjasama strategik antara sektor korporat dan NGO.

"Dengan sokongan OSK Foundation, pusat ini menawarkan rawatan berkualiti menggunakan dialyzer pakai sekali, satu pendekatan selamat yang mengurangkan risiko jangkitan," jelasnya lagi.

Malah, lokasi yang strategik turut memberi manfaat kepada pesakit dari utara Pulau Pinang yang sebelum ini perlu menempuh perjalanan jauh untuk rawatan.

Lebih menarik, rawatan di pusat NKF ini sangat disubsidi. Golongan miskin tegar mendapat keutamaan melalui dana awam, sumbangan korporat dan pelbagai inisiatif kebajikan.

Selain itu, pesakit turut menerima subsidi pengangkutan, vaksinasi percuma seperti pneumokokal dan liputan penuh untuk ubat erythropoietin, penting untuk rawatan anemia dalam kalangan pesakit buah pinggang.

Tahun 2025 juga menyaksikan satu titik penting dalam usaha global apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) secara rasmi mengiktiraf kesihatan buah pinggang sebagai sebahagian daripada agenda Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).

Ini menjadi motivasi tambahan buat NKF untuk memperkasa lagi kesedaran awam.

 

 

Namun, menurut Dr Azim, kesedaran tentang pencegahan masih rendah terutama di kawasan luar bandar.

“Ramai yang ambil suplemen atau ubat tradisional tanpa nasihat doktor, tanpa sedar mereka sebenarnya merosakkan buah pinggang.

"Justeru, NKF aktif menjalankan saringan percuma, ceramah dan kempen kesedaran di seluruh negara,"ujar beliau lagi.

Melihat ke hadapan, NKF merancang untuk membangunkan sebuah hab pendidikan dan intervensi khas di Sungai Petani yang akan memberi tumpuan kepada rawatan Peritoneal Dialysis dan latihan kesihatan berkaitan CKD.

Ia dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat serta menyokong inisiatif kerajaan untuk memperluaskan akses kesihatan ke seluruh pelosok negeri.

Mengakhiri temu bual, Dr Azim berkata, gabungan antara usaha kerajaan, NGO dan komuniti adalah satu-satunya jalan untuk memastikan tiada pesakit tercicir daripada sistem penjagaan kesihatan.

Pusat seperti NKF-OSK Foundation bukan sekadar fasiliti rawatan, tetapi sebahagian daripada rangkaian bantuan hayat untuk masyarakat.”

Kesimpulannya, penyakit buah pinggang bukan sahaja mencabar dari segi rawatan, tetapi menuntut kesedaran kolektif untuk dicegah.

Dalam dunia hari ini, tiada satu pihak mampu memikul beban ini sendirian.

Kerjasama antara kerajaan, NGO, korporat dan masyarakat perlu terus diperkuat agar semua rakyat Malaysia, tanpa mengira geografi atau latar belakang, berpeluang menikmati akses rawatan yang adil.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang