6 amalan yang digalakkan pada 10 hari terawal Zulhijah
MENGIKUT kalendar Islam, esok bermulanya 1 Zulhijah. Ia merupakan bulan terakhir dalam bulan-bulan Islam.
Zulhijah juga begitu sinonim dengan bulan haji. Meskipun tidak dapat menunaikan Rukun Islam ke-5 pada tahun ini, tetapi masih ada banyak amalan lain yang boleh kita lakukan.
(Artikel berkaitan: Tak boleh pergi haji, tapi ada 10 amalan yang ganjarannya seperti pahala haji)
Ketahuilah bahawa bulan terakhir dalam takwim Islam ini sebenarnya adalah empat bulan haram. Begitu istimewanya bulan ini kerana di dalamnya terkandung kelebihan yang bukan calang-calang.
Ada sebuah hadis yang sering kali dikaitkan dengan keistimewaan 10 hari terawal bulan Zulhijah. Cuma hadis berkenaan dikhabarkan mempunyai sanad yang lemah.
Begitupun, ia menunjukkan bahawa ada keutamaan dan keistimewaan sendiri dalam bulan Zulhijah. Ia tidak menghalang kita daripada melakukan amal soleh.
Ada beberapa amalan utama yang boleh dilakukan pada bulan Zulhijah. Kita digalakkan untuk melakukannya sepanjang 10 hari terawal Zulhijah yang amat besar pahalanya.
Berikut perkongsian Presiden Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman yang dipetik menerusi hantaran di Facebook miliknya pada tahun lalu.
Antara amalan yang digalakkan adalah:
1. Zikir
Basahkan lidah dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illallah dan Allahu Akbar sebagaimana yang dianjurkan dalam hadis diriwayatkan oleh al-Tabarani.
Firman ALLAH SWT: "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama ALLAH, pada hari-hari yang tertentu.." (Surah al-Hajj, ayat 28)
Ketika menafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’, Ibn Abbas RA berkata, ia adalah 10 hari Zulhijah dan inilah juga pendapat majoriti ulama.
2. Berpuasa
Umat Islam amat digalakkan berpuasa pada 1 hingga 9 Zulhijah bagi orang yang tidak menunaikan haji.
Ketahuilah, Hari Arafah iaitu 9 Zulhijah merupakan hari yang terbaik untuk kita berpuasa.
Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tiada hari yang lebih banyak ALLAH membebaskan hambanya lebih daripada hari Arafah." (Riwayat Muslim)
Apabila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah itu, baginda SAW menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.
3. Melakukan amalan-amalan lain
Umpamanya bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Semua amalan berkenaan termasuk dalam hadis umum yang menunjukkan perbuatan melazimkannya amat disukai oleh ALLAH SWT.
4. Jauhi maksiat
Andai kita pernah berbuat salah dan dosa, inilah masa terbaik untuk memulakan taubat, terutama bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhkan perbuatan mulia itu.
Amat biadab jika umat Islam bersuka ria dengan melampaui batas haram pada hari yang amat agung di sisi ALLAH SWT ini.
Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Sedarilah bahawa hidup di dunia ini hanya sementara. Segala keseronokan yang ada di muka bumi hanyalah tipu daya semata-mata.
5. Bertakbir
Ibn Abi Shaibah menyebut, 'Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tashriq.
6. Berkorban
Ia merupakan amalan yang dituntut bagi umat Islam yang berkemampuan. Hukumnya adalah sunat muakkad.
Firman ALLAH SWT: "Sesiapa yang membesarkan syiar ALLAH (berkorban), maka ia adalah dari tanda ketakwaan hati." (Surah al-Hajj, ayat 32)
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh ALLAH SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat al-Tirmidzi, Abu Daud; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan)
Justeru, kita digalakkan untuk memperbanyakkan dan meningkatkan amal soleh serta ketaatan kepada ALLAH SWT pada 10 hari yang pertama ini.
Semoga ALLAH SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-NYA yang mendapat rahmat, keampunan dan pelepasan daripada api neraka.
Sumber: Bayan Li Al-Haj Siri ke-32: Keistimewaan dan Fadhilat 10 Awal Zulhijjah: Marilah Kita Beramal, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Facebook Dr Zaharuddin Abd Rahman
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang