Kanser prostat pembunuh senyap lelaki! Penting pencegahan awal
Kanser prostat adalah kanser utama dalam sistem urinari yang paling kerap menyerang lelaki.
Jika kanser payudara menjadi ancaman dalam kalangan wanita, kanser prostat pula menjadi cabaran bagi lelaki.
Namun, berbeza kanser prostat kerana kebanyakan penyakit ini tidak membunuh atau membahayakan.
Pun begitu, Pakar Perunding Urologi di Subang Jaya Medical Centre, Profesor Datuk Dr Tan Hui Meng menegaskan kanser tersebut tetap serius dan tidak boleh dipandang ringan.
"Pada tahun 2020, terdapat 1.4 juta kes kanser prostat dengan 375,000 kematian. Oleh itu, ia masih sangat penting kerana mengakibatkan kematian. Malah, jumlahnya akan berganda menjelang 2040 dan akan meningkat dua kali ganda sehingga 700,000 kematian setiap tahun.
"Lebih buruk lagi, jumlahnya akan kekal tinggi kerana populasi yang semakin tua. Malah, kanser prostat ini lebih cenderung terjadi kepada mereka yang berumur 70 tahun ke atas," kata beliau.
Kini, terdapat teknologi baharu dalam saringan yang membantu mengenal pasti kanser prostat lebih awal tanpa risiko overdiagnosis atau rawatan berlebihan.
Multiparametric MRI (MP-MRI) adalah teknik diagnostik terkini yang mampu mengenal pasti kanser prostat yang berbahaya secara lebih tepat, tanpa tertumpu pada kanser yang tidak berbahaya (indolent) dan yang tidak memberi kesan besar kepada kesihatan pesakit dalam jangka panjang, antara 10 hingga 20 tahun.
Oleh itu, saringan awal yang tepat seperti ini membolehkan rawatan masalah kesihatan lain seperti penyakit jantung dan diabetes dilakukan lebih awal.
Biopsi berarah menggunakan MRI kini menjadi pilihan yang lebih berkesan berbanding kaedah lama, iaitu biopsi transrectal. Dengan bantuan MRI, kanser prostat yang agresif dapat dikesan dengan lebih tepat.
Rawatan robotik
Dari segi rawatan, Pakar Perunding Urologi di Subang Jaya Medical Centre, Dr Bala Sundaram Mariappan pula menjelaskan, pembedahan robotik kini menjadi pilihan utama untuk merawat kanser prostat.
Secara umumnya, dalam pembedahan terbuka, potongan besar perlu dibuat agar alat bedah boleh dimasukkan.
“Walaupun pembedahan ini berkesan, ia meninggalkan parut besar dan mungkin menyebabkan komplikasi.
“Pembedahan laparoskopi pula menggunakan lubang-lubang kecil. Daripada memasukkan tangan, doktor menggunakan alat seperti penyepit kecil dan kamera untuk membimbing. Bagaimanapun, melakukan prostatektomi laparoskopi adalah amat sukar.
“Pembedahan robotik menggabungkan kelebihan pembedahan terbuka dengan teknik laparoskopi, memberikan akses lebih baik kepada kawasan sukar seperti prostat, yang terletak di belakang tulang pubik," jelas Dr Bala.
Pembedahan robotik yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 1999 dan mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) pada tahun 2000 kini mempunyai kadar kejayaan hampir 95 peratus.
Kaedah ini memberikan ketepatan lebih tinggi dengan parut yang lebih kecil, serta masa pemulihan yang lebih singkat.
Robot tersebut terdiri daripada tiga komponen, iaitu konsol tempat pakar bedah duduk, lengan robot yang dimasukkan ke dalam badan pesakit, dan menara dengan sistem televisyen dan pencahayaan.
Konsol membolehkan pakar bedah mengawal lengan robot dengan sangat tepat.
Pembedahan robotik menggunakan sistem visual 3D dan kawalan lengan robotik, membolehkan pakar bedah melakukan prosedur dengan lebih fleksibel dan tepat.
Ini mengurangkan risiko komplikasi, kesakitan, serta tempoh tinggal di hospital. Walaupun masa pembedahan mungkin lebih lama dan memerlukan pengalaman, pembedahan ini terbukti lebih berkesan dengan pemulihan lebih cepat.
Kesedaran terhadap kanser prostat di Malaysia masih rendah, dan lelaki sering enggan menjalani pemeriksaan rektum digital.
Namun, dengan adanya ujian Prostate Specific Antigen (PSA) dan teknik saringan yang lebih baik, pemeriksaan awal adalah langkah penting untuk mengurangkan risiko kesihatan dan mengelakkan beban kepada sistem penjagaan kesihatan negara.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang