Tetep teruskan kerjaya sebagai penyanyi rap, Zizi Kirana teruja bakal rai Syawal dengan suami
SETELAH sebulan berpuasa, kini tiba masanya untuk meraikan hari kebesaran buat umat Islam di seluruh dunia. Syawal menjadi bulan istimewa lebih-lebih lagi apabila disambut bersama keluarga dan insan tersayang.
Aktiviti ziarah-menziarahi dan saling bermaafan merupakan satu kelaziman. Jika tidak dilakukan, memang terasa janggal.
Namun, tidak semua yang memilih untuk menyambut lebaran sebegitu. Sama juga dengan penyanyi lagu Eh! yang mempunyai cara berbeza.
Baca juga:Ramadan didik Nadiah lebih bersederhana terkenang momen indah berbuka puasa zaman kanak-kanak
Baca juga:Dr Aqilla tak sabar nak sambut Ramadan rindu tradisi mantai dan aktiviti masak beramai ramai
Dalam nada berjenaka sambil ketawa, Zizi Kirana mengakui, sejak kecil beliau sememangnya gemar menghabiskan masa seharian di rumah.
“Tiada apa yang hendak diceritakan kerana setiap kali menyambut hari raya, saya lebih banyak tidur. Selepas berjumpa dengan ahli keluarga lain, saya selesa melakukan hal sendiri. Berbeza dengan ahli keluarga yang lebih tua kerana mereka gemar berjumpa sanak saudara dan saling bertegur sapa.
“Namun, apabila berumah tangga pastinya perkara itu tidak lagi boleh diamalkan. Menjadi tanggungjawab saya untuk menyediakan keperluan suami dan juga berjumpa dengan ahli keluarga lain. Maklum sahaja, ini merupakan Hari Raya Aidilfitri pertama saya sebagai isteri.
“Saya melihat keluarga suami suka melakukan aktiviti kunjung mengunjung sesama mereka. Jadi, saya turutkan sahaja. Ia merupakan hal yang seronok. Saya teruja lebih-lebih lagi melihat kanak-kanak yang akan seronok mendapat duit raya,“ terang beliau ketika hadir ke sesi fotografi di Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Roman cinta
Mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Yusuf Bahrin pada September tahun lalu, Zizi tidak menafikan kedua-duanya masih berada dalam fasa saling mengenali di antara satu sama lain.
Kongsi selebriti berkenaan atau nama lengkap yang mudah diingati, Nur Fazelah@Zizie Mad Tahil, beliau mengenali pemilik belahan hatinya itu hanya sekitar dua bulan sebelum mereka mengambil kata sepakat untuk bersatu.
Mendengarkan cerita tersebut, mungkin ada yang memberi telahan bahawa pasangan itu terlalu terburu-buru sedangkan belum mendasari hati masing-masing lagi.
Namun, siapa yang boleh menentang kuasa YANG MAHA ESA sekiranya memang itu sudah ditakdirkan. Hampir lapan bulan melayari bahtera cinta bersama, Zizi mengakui, setelah bergelar isteri, beliau tidak lagi boleh bergantung kepada pendapat diri sendiri sahaja.
Sudah menjadi adat dalam perkahwinan, tolak ansur dan komunikasi adalah intipati paling penting bagi mengelak hubungan berantakan.
Begitu juga soal penyediaan kelengkapan lebaran. Mujur Yusuf mempunyai pandangan sealiran dengannya. Memandangkan masih berdua, mereka berdua mengamalkan sikap lebih bersederhana.
Katanya, tidak perlu berbelanja lebih khususnya dalam soal pemilihan baju raya. Apa yang ada sudah memadai.
“Kami ada berbincang mengenai perkara ini, tetapi suami tidak mahu berbelanja lebih. Saya juga setuju kerana masih terdapat banyak lagi pakaian yang belum dipakai.
“Lagipun saya juga tidak memerlukan pakaian khas pada waktu raya. Setiap pakaian yang ada akan dipakai untuk persembahan dan juga untuk beraya ke rumah sanak saudara,“ terangnya sambil sesekali ketawa kerana seakan masih tidak percaya bahawa dirinya sudah berkahwin.
Meski khalayak melihat manis cinta di antara mereka, Zizi akui bersyukur dengan pujian masyarakat dan menganggapnya sebagai doa. Bagaimanapun, di sebalik senyuman mesra, beliau berasa takut untuk meletakkan keyakinan terlalu menggunung.
“Melibatkan hal-hal kehidupan, saya tidak berani mengatakan kami sudah saling kenal dan mengetahui hati budi masing-masing. Perjalanan hubungan kami masih jauh dan kini sedang membiasakan diri.
“Banyak lagi perangai yang belum diterokai. Insya-ALLAH, diharapkan hubungan ini kekal berpanjangan dan kita ikutkan sahaja takdir yang telah diaturkan-NYA,“ tutur wanita berusia 37 tahun itu.
Kerahsiaan
Ceritera cinta Zizi kemudian disusuli dengan persoalan mengenai tiada ribut, tiada angin, tahu-tahu dirinya terus bernikah. Langkah yang diambil berbeza berbanding dengan segelintir artis yang memukul canang bahawa diri mereka sedang hangat bercinta.
Namun, pendekatan sedemikian bukan pilihan beliau. Penyanyi dan pelakon kelahiran Sabah itu lebih senang menutup kisah peribadi serapi mungkin.
Untung buat Zizi, dirinya dikelilingi insan yang bak kata pepatah, biar pecah diperut, jangan pecah di mulut.
Meskipun bergelar artis, mereka sedar bahawa tidak 100 peratus perihal Zizi perlu dikongsikan kepada umum.
“Memang sejak dahulu lagi saya tidak pernah dan tidak suka memberitahu sesiapa lebih-lebih lagi jika melibatkan hal seperti hubungan. Tiada orang yang mengetahuinya kecuali individu terdekat sahaja.
“Saya rasa kurang selesa, bahkan tidak suka jika ada orang luar mencampuri urusan yang bersifat terlalu peribadi. Sama juga ketika menjalin hubungan dengan Yusuf, kami tidak beria bercerita sehinggalah sah berkahwin.
“Status bercinta dan berumah tangga itu lain. Perkahwinan saya maklum secara terbuka kerana ingin mengelak fitnah dan supaya orang tahu bawa saya sudah berstatus isteri serta tidak lagi bersendirian,“ katanya.
Perjalanan muzik
Seiring dengan pernikahan itu, Zizi turut mengubah penampilannya 360 darjah. Tiada niat untuk membuka kisah lama, namun yang jelas empunya diri kini sudah berubah.
Gemar menggayakan tudung labuh, penulis tersenyum melihat gelagatnya yang akan menonton video tutorial penggayakan tudung di YouTube setiap kali ingin mengenakan hijab. Platform digital itu jelas menjadi inspirasi, sekali gus membantu beliau bergaya.
Transisi penampilan baharunya itu turut telah menimbulkan tanda tanya mengenai hala tuju perjuangan muzik beliau dalam industri selepas mengecap kejayaan menerusi lagu Eh!.
Berjaya meraih trofi Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-35 dua tahun lalu, ia boleh dikatakan sebagai pencapaian cemerlang Zizi setelah lebih sedekad dalam industri.
Namun, setiap hal yang baik tetap ada dugaannya. Khalayak menjulang namanya sehingga mereka menantikan karya yang serupa seperti Eh!.
“Saya melalui kehidupan yang sama seperti sebelum ini melainkan penampilan sahaja yang berubah. Perjuangan muzik itu tetap sama. Pernah ada bertanya sama ada saya akan berhenti menyanyi atau memilih untuk fokus kepada lagu berentak nasyid mahupun kerohanian.
“Bukan bermaksud menafikan semua itu kerana saya masih lagi di sini dengan muzik hip hop dan tetap juga rap. Insya-ALLAH dengan rezeki yang dikurniakan saya akan terus berusaha memberikan yang terbaik,“ ujarnya yang telah melancarkan single baharu pada Februari lalu bertajuk Pijak.
Zizi juga reda dengan takdir ALLAH buatnya. Paling penting beliau akan terus istiqamah dan berusaha untuk menjadi insan lebih baik.
Beliau juga tidak melihat perubahan diri akan menyekat rezeki apa lagi berasa menyesal. Tegasnya, ALLAH lebih mengetahui apa yang berlaku dan tidak berasa menyesal dengan keputusannya itu.
“Saya berasa bersyukur dan berterima kasih dengan transisi ini. Jika sebelum ini kehidupan kita hanya biasa-biasa, itu bermakna ALLAH sedang uji kita dan berkehendakkan untuk kita berubah dan berusaha.
“Segala apa yang kita ada sekarang ini merupakan rezeki yang diberikan ALLAH. Segalanya diberikan agar kita jangan lalai dengan perintah-NYA,“ ungkapnya.
Biarpun penghijrahannya itu mengundang pelbagai reaksi, Zizi bagaimanapun berterima kasih kerana mendapat sokongan daripada peminat.
Semuanya itu, kata beliau menjadi perangsang buatnya agar tidak alpa menjalani hidup sebagai seorang muslimah yang sakinah dan mawaddah.
Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang