SEBENARNYA, tidak mudah untuk mendapatkan personaliti untuk menjadi wajah muka hadapan SinarPlus. Kami melalui pelbagai rintangan.

Kadangkala, janji temu telah direncana sejak lama. Namun, ada yang membatalkannya pada saat akhir.

Namun, berbeza dengan finalis Ratu Hijabista, Dr Nur Aqilla Sidi Ahmad. Meskipun kurang sihat akibat dilanda wabak Covid-19, beliau tetap meneruskan wawancara yang dijanjikan, meskipun hanya melalui perbualan di platform Google Meet sahaja.

dr aqilla

Ketulusannya berbicara dapat dirasai. Kepada kami, beliau acapkali menzahirkan ucapan terima kasih kerana memilihnya menghiasi wajah muka hadapan SinarPlus sempena Hari Doktor Sedunia yang disambut pada 30 Mac setiap tahun.

Rentak bicara kami pada petang itu santai dan mesra. Beritahu anak jati Rembau, Negeri Sembilan itu, beliau kini sebenarnya sedang menjalani program doktor pelatih di sebuah hospital kerajaan di selatan tanah air untuk tempoh dua tahun.

Baca juga Bapa meninggal 3 minggu selepas ibu pergi buatkan Juliana lebih peka soal kesihatan

“Sekarang ini saya sedang bertugas di jabatan ke-4 di hospital ini iaitu Jabatan Obstetrik dan Ginekologi untuk tempoh empat bulan sebelum ditugaskan ke jabatan lain.

dr aqilla

“Masih berbaki dua lagi (jabatan) iaitu Jabatan Pembedahan dan Jabatan Kecemasan Trauma. Sebelum tamat program, memang kami akan ‘merasa‘ semuanya (jabatan) sebelum memilih kepakaran masing-masing,” ujarnya yang mengakui seronok belajar ilmu baharu setiap hari.

Sebagai doktor pelatih katanya, semua pengalaman berdepan dengan pelbagai pesakit membuatkan dirinya lebih kental dan sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Baca juga Kontroversi vs kualiti, Mierul Aiman ada cara tersendiri cipta nama dalam industri

“Apa yang boleh saya katakan, dunia baharu yang lebih praktikal ini memang berbeza berbanding semasa zaman kami belajar teori perubatan selama enam tahun lamanya. Jiwa memang perlu utuh dan padu untuk hadapi tekanan dan cabaran setiap hari, lebih-lebih lagi pada era pandemik Covid-19.

dr aqilla

“Nasib baik doktor dan jururawat senior di sini banyak membantu memberi tunjuk ajar dan sporting. Tidak dinafikan tekanan kerja itu ada, tetapi kita perlu bijak mencari kebahagiaan dalam kalangan rakan seperjuangan supaya keletihan itu menjadi satu kekuatan,” kata wanita berusia 27 tahun itu.

Bagi menghangatkan suasana perbualan kami, sengaja penulis mengusiknya tentang kisah mistik yang seringkali kita dengar berlaku di hospital.

Kebenaran cakap-cakap itu memang tidak disangkal oleh Dr Aqilla. Ujar beliau, berada di wad pesakit sehingga lewat malam dan kadang-kadang lebih 12 jam bertugas, dirinya pernah merentas pengalaman yang menyeramkan.

dr aqilla

“Pernah sekali saya perlu mengambil darah pesakit pada jam 3 pagi, waktu itu pesakit yang saya panggil mak cik bertanyakan siapa di sebalik tingkap di belakang saya. Bila mendengarnya, berdetak jantung dan meremang juga bulu tengkuk, tetapi saya abaikan sahaja.

“Itu belum lagi dikacau dengan bunyi loceng pesakit, namun bak kata jururawat, ia sekadar hiburan malam dan usikan manja ‘seseorang’,” kongsinya sambil tertawa kecil.

Hidup di bumi asing

Graduan Universiti Mansoura Mesir meneruskan pengkisahan dirinya yang masih ramai tidak tahu. Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, kerjaya sebagai doktor bukanlah cita-citanya.

Sejak kecil, beliau berangan-angan untuk bergelar jurutera. Namun demikian, demi memenuhi permintaan ibu dan ayah yang mahu salah seorang anak mereka bergelar seorang doktor, Dr Aqilla berusaha menunaikan impian itu.

dr aqilla

“Saya tak pernah menyesal berada di posisi ini sekarang. Lagi satu, mungkin saya mempunyai sedikit kelebihan kerana pada zaman kanak-kanak lagi, saya sudah didedahkan dengan wad dan pesakit. Kalau nak tahu, ibu saya bekerja sebagai jururawat, jadi soal takut darah atau jarum tak timbul.

“Bagi saya tak salah untuk memenuhi hasrat murni tersebut, lagipun saya yakin dengan kebolehan diri dan mempunyai kesungguhan ke arah itu. Paling penting, doa ibu yang sentiasa dambakan,“ ujarnya.

Cerita wanita tinggi lampai itu lagi, merantau ke bumi asing untuk tempoh yang lama, bukanlah sesuatu yang mudah.

dr aqilla

Namun berkat galakan keluarga, di samping dikelilingi sahabat yang saling menyokong antara satu sama lain, menjadikan segala yang susah menjadi senang.

Keresahan yang sering merasuk minda menjadi tenang tatkala berbicara dan berbincang dengan ‘ahli keluarga’ di Mesir, kata wanita jelita itu.

“Apabila jauh beribu-ribu kilometer daripada famili, saya hanya bergantung kepada kawan-kawan. Merekalah tempat saya mengadu nasib dan berkongsi kegembiraan. Susah senang kami bersama.

dr aqilla

“Memang tak dinafikan ada masanya kami terjumpa orang yang salah pada masa yang salah, namun semua itu memberi pengajaran untuk kami lebih berhati-hati,” katanya.

Terokai diri

Tidak keterlaluan untuk penulis katakan, adakalanya kita gagal meneroka bakat dan potensi diri kita sendiri. Salah satu sebab, mungkin kita tidak diberikan peluang yang sewajarnya. Hal itu juga terjadi kepada Dr Aqilla.

Ujar beliau, menjadi finalis dalam program popular, Ratu Hijabista pada dua tahun lalu, berjaya menyerlahkan sisi berbeza dirinya.

dr aqilla

Peminat rona ungu itu berkata, pertandingan tersebut memberi jawapan kepada kebolehan beliau yang tidak disedari selama ini.

Apa yang dimaksudkan wanita itu adalah keupayaan dalam melakukan aktiviti ekstrem yang sebelum ini bukan menjadi pilihan dalam diari hidupnya.

Baca juga Daripada pemain bola jaring kebangsaan dan pengacara sukan, Fariha kini teruja bergelar penyanyi

Iklan

“Saya sendiri pun tidak percaya saya berani melakukan aktiviti lasak, pegang haiwan eksotik sedangkan sebelum ini kehidupan saya hanya berfokuskan buku dan belajar sahaja,” akuinya.

Saat ditanya bagaimana boleh menyertai program realiti tersebut? Jawab wanita berdarah kacukan Cina itu, idea berkenaan datang secara spontan sebaik tamat belajar.

dr aqilla

“Saya sendiri pun tidak tahu di mana datangnya keberanian untuk mencuba selepas melihat iklan di kaca televisyen. Ibu pun tidak menghalang. Selepas siri uji bakat, saya tak sangka disenarai pendek menjadi 12 peserta terbaik.

“Walaupun takhta Ratu Hijabista bukan menjadi milik saya, namun bagi saya, percaturan ALLAH sangat cantik. Sebaik tamat program, saya terus dapat panggilan untuk melapor diri di hospital kerajaan,” katanya.

Baca juga Sejak kecil mahu jadi sukarelawan, Dr Fatimah kini terus giat perjuang isu kemiskinan haid

Seperti yang ramai tahu, ‘produk‘ Ratu Hijabista memang laku keras. Dr Aqilla berkata, beliau turut menerima beberapa pelawaan untuk reviu produk termasuk menyertai beberapa program realiti.

Pun demikian, dengan rasa rendah diri, tawaran itu terpaksa dilepaskan kerana tuntutan kerja sebagai doktor yang memerlukan komitmen yang tinggi.

dr aqilla

“Mungkin untuk program pendek seperti temu bual atau santai berkaitan perubatan, saya boleh dipertimbangkan, namun bergantung pada masa dan kelapangan juga. Setakat ini, saya lebih mengutamakan tugas hakiki kerana masih banyak lagi perlu dipelajari dan didalami.

“Bukan sombong ya, mohon jangan salah faham,” ungkapnya berterus terang.

Ramadan di wad

Kalau mahu diikutkan, tinggal seminggu lagi Muslimin dan Muslimat di seluruh dunia bakal menyambut bulan Ramadan yang mulia. Bagi Dr Aqilla, saat itu memang sangat dinanti-nantikan dengan penuh rasa teruja.

Iklan

Sebagai seorang anak jati Negeri Sembilan yang memang terkenal dengan adat, tradisi mantai yang sinonim dengan Adat Pepatih menjadi aktiviti wajib yang diraikan oleh seluruh ahli keluarganya sehari sebelum berpuasa.

dr aqilla

Pada detik itulah, ibu, ayah, adik beradik dan saudara terdekat terdekat berkumpul beramai-ramai dengan suasana yang penuh kegirangan.

“Biasanya antara aktiviti yang dilakukan adalah melapah daging bersama-sama. Selepas itu, kami akan bantu ibu memasak menu kegemaran semua iaitu rendang ayam dan daging. Tidak hanya itu, nasi dan lemang juga dihidangkan.

“Kalau ikutkan memang penat, tetapi gembira kerana dapat makan semeja. Kali ini, dijangkakan akan bertambah meriah disebabkan larangan merentas negeri ditangguhkan, jadi lebih ramai yang dapat berkumpul. Ya, ALLAH tak sabarnya menanti kemunculan Ramadan,” katanya.

dr aqilla

Beritahu Dr Aqilla, pada tahun ini, merupakan kali kedua beliau akan berpuasa dengan rakan-rakan sejawat di hospital.

“Pada tahun lepas, kami amalkan konsep pot luck, memang seronok dan suasana memang gamat. Puasa kali ini, diharapkan ‘aura‘ itu akan berulang. Apa-apapun, kami kena patuhi prosedur operasi standard hospital yang semakin ketat dengan penularan kes Covid-19 yang masih belum surut,” katanya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Bazar Ramadan juga, menjadi ‘sasaran‘ Dr Aqilla. Menu kegemaran yang bakal diburu pastinya nasi kerabu dan kambing bakar.

“Pada tahun lepas, bazar betul-betul terletak di depan hospital. Kambing bakar yang dijual memang sedap.

“Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada semua pembaca SinarPlus,” ujar beliau.