NAMA Nadia Annuar tidak perlu diperkenalkan lagi. Sudah hampir dua dekad kelibat pengacara popular itu menghiasi kaca televisyen.

Bukan sahaja kejelitaan wanita kacukan Thailand, Melayu, Indonesia, Arab, Laos dan Pakistan itu jadi pusat perhatian, tetapi kepetahannya mengacarakan beberapa program popular membuatkan ramai yang terpacak lama di hadapan televisyen.

Terkini, Nadia masih menjadi teraju utama dalam mengendalikan rancangan jual beli terkemuka, Wow Shop. Kebijaksanaan yang mudah ‘membeli jiwa’ penonton dikatakan antara faktor membuatkan barangan yang dipromosikannya laku keras.

Tidak sekadar memuji tuan punya diri di atas sehelai kertas, SinarPlus bertemu empat matanya dengannya di Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

nadiah annuar

Ramah seperti yang diuar-uarkan ramai orang, penulis mengajaknya berbual tentang kehangatan Ramadan yang masih berbaki lebih kurang dua minggu lagi.

Kepada SinarPlus, bekas model itu secara spontan mengimbau kembali memori zaman kanak-kanaknya yang penuh dengan cerita klasik dan manis untuk dikenang.

“Ya, setiap kali Ramadan, momen yang paling saya ingat adalah waktu kami berbuka puasa bersama-sama. Masa kecil-kecil dulu, mummy akan baca doa kuat-kuat sementara menunggu azan Maghrib.

“Saat itu, kami lima beradik akan tadah tangan sambil mendengar mummy berdoa agar anak-anaknya mendengar kata, diberikan kesihatan yang baik dan banyak lagi. Alahai, indah dan rindunya kenangan zaman dulu,” kongsi anak kepada usahawan berjaya tanah air, Zaiton Hassan atau Kak Ton.

nadiah annuar

Beritahu Nadia, disebabkan ibunya berdarah campuran, menu berbuka puasa mereka lebih terarah kepada masakan masyarakat Thailand yang ringkas dan tidak bersantan.

“Biasanya, bila bangun sahur semua sudah tersedia. Lauk wajib yang mesti ada ialah tomyam, ayam atau ikan goreng, sayur dan sambal yang sudah diolah mengikut resipi Thai. Memang meriah sebab masing-masing baru nak membesar. Jadi, memang banyak ragam yang melucukan,” ceritanya.

Baca juga Tidak pernah putus harap, Amira Syahida sedia bersaingan dengan penyanyi BBNU

Tatkala sudah berumah tangga, personaliti yang memiliki senyuman yang menawan itu menyesuaikan pula dengan selera suami, Hafiz Salleh yang cenderung menikmati masakan cita rasa Melayu asli.

nadia annuar

“Satu lagi, saya jarang beli juadah berbuka kerana lebih suka masak sendiri. Jika teringin pun, saya beli kuih-muih di bazar Ramadan sebab membuat kuih adalah kelemahan saya (ketawa).

“Pada lewat malam dan sahur pula, saya dan suami hanya minum kopi atau minuman yang berprotein sahaja,” ujarnya.

Bagi Nadia, Ramadan membawa pengertian tersendiri buatnya. Ia merupakan durasi masa terbaik untuk beliau berdiet dan pada masa sama, hidup secara bersederhana.

nadia annuar

Bagaimana pula dengan persiapan lebaran? Kata wanita berusia 38 tahun itu, tanpa baju baharu pun, sambutan Aidilfitri tetap meriah.

“Bagi saya apa yang penting, menu masakan di pagi raya. Mungkin berbeza dengan kebanyakan orang yang sibuk masak rendang dan ketupat, saya pula selesa   masak ayam penyet, laksa Thai, mi kari atau laksa Johor kerana ini antara sajian yang mummy suka.

Baca juga Dr Aqilla tak sabar nak sambut Ramadan, rindu tradisi mantai dan aktiviti masak beramai-ramai

“Untuk giliran beraya pun kami tak perlu bergaduh kerana keluarga mertua menetap di Bangi, manakala mummy pula hanya di Shah Alam. Jadi, tak timbul masalah,” tutur ibu kepada Dya Naylaa dan Mohamed Aaron Erwin itu.

nadia annuar

Sebelum gelombang pandemik Covid-19 melanda, Nadia dan keluarga biasanya akan bercuti di Thailand pada hari ketiga atau keempat Syawal. Antara destinasi yang menjadi pilihan mereka adalah seperti di Phuket, Bangkok atau Pattaya.

“Alhamdulillah, kini sempadan sudah dibuka, insya-ALLAH, kami akan teruskan tradisi itu,” katanya.

Wanita polyglot

Menoktahkan kisah tentang puasa dan raya, penulis sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk bertanyakan tentang kefasihan beliau yang boleh bertutur dalam bahasa Thailand, selain bahasa Inggeris.

Sebaik soalan itu diajukan, Nadia lantas memberitahu, dirinya kini sedang dalam fasa menguasai bahasa Mandarin, Korea dan Jepun pula!

nadia annuar

Layak digelar polyglot (penutur pelbagai bahasa), anak kelahiran Kelantan itu mengakui, minat yang mendalam terhadap bahasa membuatkan beliau cepat tangkap dan mudah menguasai bahasa asing dalam tempoh yang singkat.

Ketika ditanya adakah mempunyai perancangan menjadi tenaga pendidik untuk mengajar bahasa-bahasa yang dikuasainya, Nadia terus berkata: “Saya mungkin akan pertimbangkannya jika mempunyai modul pengajaran dan pembelajaran lengkap. Sekiranya ada pihak yang tawarkan peluang itu, saya rasa inilah masanya untuk saya mencuba bidang baharu.”

Baca juga Uyaina, Syahiran berusaha’curi’ waktu untuk berbuka bersama sepanjang Ramadan

Kelebihan tersebut juga nampaknya telah membuka ruang yang luas kepada Nadia untuk menerokai dunia pengacaraan dan bisnes dengan lebih mudah.

nadia annuar

Tatkala berbicara tentang kariernya sebagai pengacara, rupa-rupanya bakat beliau dicungkil di sini iaitu di Kumpulan Media Karangkraf.

Menjadi model pada usia 19 tahun, Nadia kemudian menghadiri uji bakat sebagai pengacara untuk program Remaja, sebelum ditawarkan mengacara program Wanita Hari Ini (WHI) di salah sebuah stesen televisyen swasta.

Iklan

Baca juga Memori berpuasa zaman kanak-kanak mengamit kenangan Ramadan Fedtri Yahya

“Masa di WHI, umur saya baru 20 tahun. Saya digandingkan dengan pengacara senior yang lebih hebat.

“Ia membuatkan saya rasa diri ini kerdil sangat. Namun, alhamdulillah saya boleh bawa diri sehingga ke hari ini,” katanya sambil mengukir senyuman.

nadia annuar

Menjadi individu yang dikenali pada mata masyarakat, Nadia tidak berhenti daripada melafazkan ucapan terima kasih kepada ibunya yang banyak menggilap bakat, ketrampilan dan komunikasinya.

“Sebenarnya, saya banyak belajar daripada mummy dari segi pembawaan diri terutamanya ketika bekerja. Selain sibuk mengacara, saya juga masih ligat mempromosikan produk mummy supaya sentiasa berjalan dan diterima orang ramai. Tak mudah untuk mummy berhenti daripada berniaga, jiwanya dalam berbisnes masih kuat,” ujarnya.

Lebih lama kami bersembang, Nadia sempat mengimbau pengalamannya berlakon dan membintangi drama arahan Datuk Aznil Nawawi.

nadia annuar

“Sayangnya, saya jenis yang agak susah untuk membawa watak orang lain. Mungkin sebab itu, saya lebih memilih untuk kekal dalam dunia pengacaraan,” katanya sambil memberitahu, adik bongsunya, Mohammad Harris Shahrul Annuar, 29, sahaja yang menuruti jejak langkahnya, sementara dua lagi beradik terlibat dalam perniagaan dan menjadi tenaga pengajar kecergasan.

Bahagiakan diri

Seorang yang sentiasa berkeyakinan tinggi, Nadia berkata, beliau mahu ‘memanipulasikan’ bakat yang dianugerahkan ILAHI untuk ‘menggali’ sesuatu yang baharu.

Tidak mahu lagi terikat dengan mana-mana agensi, wanita penuh dedikasi itu mahu menawarkan servis penjenamaan dan pemasaran produk melalui Sold Out Show.

nadiah annuar

Iklan

Sold Out bermatlamatkan untuk membantu usahawan tempatan untuk mengetengah dan memperkenalkan produk mereka dengan lebih berjaya,” kata Pengasas Nadia’s Secret itu yang sudah merancang pelan jangka panjang, namun semuanya masih menjadi rahsianya.

Sepanjang berbual dengannya, kulit wajah Nadia yang kemerah-merahan, putih bersih, mulus dan bersinar membuatkan penulis ingin tahu bagaimana wanita setinggi 170 sentimeter dan hanya memiliki berat 58 kilogram menjaga pesona diri.

Baca juga Kontroversi vs kualiti, Mierul Aiman ada cara tersendiri cipta nama dalam industri

Tergelak mendengar pujian itu, Nadia yang gemar bergaya dengan fesyen santai itu berkata, rahsia utamanya adalah bersenam, selain mengamalkan pemakanan yang sihat. Nampak klise, tetapi itulah tip membolehkan beliau kekal aktif dan fit sepanjang hari.

nadiah annuar

“Bila bersenam, bukan sahaja bentuk badan cantik, malah kulit pun jadi berseri-seri. Paling penting, perlu pilih produk kecantikan yang betul-betul serasi dengan kulit dan mempunyai kelulusan.

“Ingat, semakin kita berusia, pilihan produk terutamanya pembersih muka perlu dititik beratkan. Begitu juga dengan seleksi pelembap muka dan serum. Memang agak renyah, tetapi hasilnya berbaloi,” kata peminat rona pastel itu.

nadia annuar

Satu lagi pesanan Nadia untuk wanita terutamanya yang sudah bergelar ibu, praktikkan amalan dan aktiviti sihat serta lakukan hobi yang mampu menggembira dan membahagiakan hati.

“Jika hati bahagia dan mood stabil, diri kita tidak cepat dimamah usia. Jadi, jangan sesekali malas untuk mencantikkan tubuh badan kita kerana semuanya bermula daripada dalaman yang sihat,” katanya.

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI