Mulanya sakit perut sebelum tahu diri hamil, kelahiran cryptic pregnancy bukan main-main
LAZIMNYA, tanda-tanda hamil bagi seorang wanita adalah seperti mual, pening-pening, darah haid tidak kunjung tiba, perut membuncit sehinggalah tiba saat bersalin selama tempoh sembilan bulan 10 hari.
Itu simptom biasa bagi mereka yang mengalami fasa hamil secara normal. Ada juga keadaan yang mana para wanita berdepan kitaran haid tidak teratur pun boleh mengandung, dengan izin ALLAH.
Pun begitu, apa yang berlaku di Desa Sukapura, Kecamatan Cidaun, Kabupaten Cianjur, Pontianak, Indonesia baru-baru ini agak mengejutkan.
Seorang wanita yang pada mulanya mengalami sakit perut memulas, secara tiba-tiba dilaporkan selamat melahirkan anak perempuan seberat 2.9 kilogram (kg).
Agak menggemparkan penduduk setempat kerana secara fizikalnya, wanita tersebut tiada menunjukkan tanda hamil, malah perutnya juga nampak biasa-biasa sahaja.
Lapor pontianak.tribunnews.com, wanita yang dikenali dengan nama Siti Jainah, 25, dikatakan tidak menyedari dirinya hamil kerana baru bercerai dengan suaminya pada empat bulan lalu.
Masih terkejut dengan keadaan itu, wanita yang memiliki seorang lagi anak itu mengakui rutin haidnya teratur setiap bulan dan tiada rasa apa-apa kelainan pada perut.
“Sekarang ini saya masih lagi terkejut, jujur saya katakan mungkin ini sudah takdir ALLAH SWT, apa yang penting saya dan anak sihat,” katanya.
Menceritakan detik-detik aneh yang berlaku, Siti Jainah memberitahu, beberapa jam sebelum perutnya memulas-mulas seperti mahu beranak, beliau merasakan ada sesuatu masuk ke dalam rahimnya.
“Ketika itu, saya terasa sakit dan selama 15 minit, perut tiba-tiba membuncit dan membesar.
“Selang beberapa minit perut kembali rata dan besar semula. Akhirnya, perut saya terasa sangat memulas dan terus melahirkan anak,” ujar wanita itu yang membuatkan kisahnya menjadi bualan ramai dan tular di media sosial.
Merujuk kenyataan Ketua Pusat Perubatan Cidaun, Eman Sulaeman, agak mustahil jika seseorang wanita itu tidak menyedari dirinya hamil selama lebih sembilan bulan dari sudut pandangan perubatan.
“Pun begitu, ada disebut istilah cryptic pregnancy atau kehamilan samar yang mana si ibu tidak menyedari dirinya hamil sehinggalah tiba masanya bersalin.
“Ada beberapa kes dilaporkan, namun tidak banyak,” jelasnya yang memaklumkan kehamilan tersembunyi itu barangkali disebabkan bentuk tubuh yang susah untuk dikesan simptom kehamilan.
Seorang pakar perbidanan dan kehamilan, Dr Bambang Triono Cahyadi pula menerangkan, kes cryptic pregnancy seperti yang terjadi kepada wanita tersebut bukannya perkara luar biasa dalam dunia perubatan.
“Biasanya wanita yang mengalami keadaan seperti itu hanya menyedari kehamilannya ketika kandungan semakin membesar atau saat bersalin.
“Jika rujuk kes itu, darah haid yang datang setiap bulan itu kemungkinan dikaitkan dengan kondisi kehamilan dan bukannya darah haid biasa. Misalnya ancaman keguguran atau risiko bersalin anak pramatang,” jelasnya dalam laporan tersebut.
Dalam kajian penyelidik bidang perbidanan di University of Stirling, United Kingdom, Profesor Helen Cheyne mendedahkan bahawa kira-kira satu daripada 2,500 kelahiran disahkan cryptic pregnancy.
Statistik tersebut menyamai 300 kes kelahiran di United Kingdom dalam tempoh setahun.
Jika diselidik, ada beberapa kes sama berlaku seperti dilaporkan bbc.com apabila seorang warganegara United Kingdom, Klara Dollan yang berdepan situasi sama apabila secara tiba-tiba melahirkan seorang bayi seberat 3.2kg.
Untuk ibu-ibu sama ada berusaha untuk mengandung atau sebaliknya, jaga kesihatan diri. Mana tahu ada rezeki anak yang tidak disangka-sangka.
Sesungguhnya aturan ALLAH itu sangat misteri dan SinarPlus mendoakan buat mereka yang cuba hamil, supaya dapat diberikan keizinan untuk hamil lagi dengan kandungan sihat sempurna.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang