Paling rare, 29 minggu bayi ‘ajaib’ membesar celah usus, ibu tak sangka sakit perut luar biasa petanda hamil luar rahim
BAYI ajaib, demikian nama sesuai buat si kecil dari Perancis ini. Masakan tidak, kisah menakjubkannya bertahan 29 minggu 'menghuni' ruang usus dan perut ibu menjadi perhatian seluruh dunia.
Situasi sangat jarang berlaku itu disifatkan pakar sebagai 'the rarest of the rare'. Kerana keunikannya, ia dipilih untuk dimuatkan di dalam New England Journal of Medicine.
Segalanya bermula apabila wanita berumur 37 tahun mengalami sakit perut melampau. Kembung perut dan kesakitan luar biasa selama 10 hari tidak dapat ditahan sehingga beliau terpaksa untuk mendapatkan rawatan.
Apabila tiba di hospital, doktor yang merawat mendapati dinding rahim tebal seolah-olah hamil namun rahim kosong. Ujian imbasan mendapati 'sesuatu' yang mengejutkan bergerak di ruang abdomen.
Baca juga: 9 tahun tak sedar bawa janin dalam perut, wanita meninggal dunia tak cukup zat
Baca juga: Bukan semua pendarahan ketika hamil petanda keguguran. Ini antara sebab-sebabnya
Rupa-rupanya ia adalah kantung berisi bayi yang sudah berusia 23 minggu elok membesar di ruang antara usus dan perut! Magnetic Resonance Imaging (MRI) juga mengesahkan ia adalah janin yang mana plasentanya utuh melekat pada dinding peritoneum.
Terkejut bukan kepalang, ibu kepada dua cahaya mata yang tinggal di sebuah pulau terpencil di Perancis itu langsung tak menyangka dirinya hamil kerana tidak mengalami sebarang tanda-tanda atau kelainan meskipun sudah memasuki trimester kedua.
Doktor mengesahkan kehamilan luar biasa itu adalah abdominal ectopic pregnancy (AEP) atau kandungan luar rahim yang membesar dalam rongga abdomen.
Jika kandungan normal, embrio selepas disenyawakan akan menempel pada bahagian dinding rahim, namun dalam kes 'bayi ajaib' ini ia 'mengembara' jauh ke rongga abdomen!
Ibarat nyawa di hujung tanduk, AEP sebenarnya sangat berisiko. Ia boleh mengakibatkan menyebabkan pendarahan dan jangkitan kepada ibu manakala peratusan kematian janin adalah 90 peratus.
Jika dilahirkan dan hidup, satu daripada lima bayi AEP berkemungkinan mengalami kecacatan atau kerosakan otak.
Dalam kes ini, biarpun dikesan melewati usia 23 minggu, kedua-dua ibu dan bayi dirawat rapi sehingga tiba waktu bersalin.
Si kecil itu dilahirkan menerusi pembedahan enam minggu kemudian ketika usia kandungan 29 minggu.
Selepas kelahiran, 'bayi ajaib' dihantar ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama dua bulan. Ramai terkejut keadaannya yang sihat dan mampu bertahan tanpa sebarang komplikasi.
Tidak seperti kelahiran biasa yang mana uri dan bayi keluar berturutan, sebahagian uri 'bayi ajaib'itu hanya dikeluarkan menerusi pembedahan berasingan dua minggu kemudian.
Abdominal Ectopic Pregnancy
Sebelum ini banyak kisah kehamilan ektopik menjadi perhatian dunia. Antaranya janin yang dikesan membesar pada organ seperti hati, dinding perut dan dinding pelvis.
Bagaimanapun, hanya 1 peratus kehamilan ektopik melibatkan insiden AEP.
Jurnal terbitan Karger Publisher melaporkan insiden AEP hanya berlaku satu dalam 10,000 hingga 30,000 kehamilan di seluruh dunia.
Menurut jurnal perubatan di seluruh dunia, hanya 38 kes AEP yang berhasil dengan kelahiran hidup dari tahun 2008 hingga 2013.
Malah kadar kelahiran bayi AEP yang mampu hidup melepasi trimester kedua juga sangat jarang. Kiranya 'baby ajaib' ini sangat bertuah!
AEP tidak hanya berbahaya kepada ibu, ia juga menjejaskan kelangsungan hidup bayi dengan kadar kematian pada minggu pertama sebanyak 40 hingga 95 peratus.
Kira-kira 21 peratus bayi AEP mengalami kecacatan termasuk kecacatan anggota badan, wajah dan tengkorak tidak simetri, keabnormalan sendi dan kecacatan sistem saraf.
Bukan biasa-biasa, kehamilan ektopik sangat berbahaya. Justeru, wanita perlu peka perubahan diri dan gejala kehamilan ektopik ya!
Biarpun punca kehamilan ektopik tidak diketahui, namun terdapat faktor risiko yang telah dikenal pasti seperti berikut:
-Wanita yang pernah mengalami kehamilan ektopik
-Mengalami Penyakit Radang Pelvis (PID) atau Salpingitis (Radang tiub fallopian)
-Wanita mengalami kesukaran untuk mengandung atau subfertility.
-Pernah menjalani pembedahan abdomen atau pelvis
-Pernah menjalani pensterilan tiub atau tiub fallopian diikat
-Penghidap endometriosis.
-Pengguna peranti kontraseptif intrauterine (IUCD)
-Wanita yang pernah menjalani rawatan kesuburan.
Tanda dan gejala
Kebanyakan kehamilan ektopik menunjukkan tanda atau gejalanya pada minggu kelima hingga kelapan kehamilan.
Jika anda hamil dan mempunyai tanda dan gejala berikut, jangan tunggu untuk mendapatkan rawatan:
-Sakit bahagian bawah perut, pada salah satu bahagian (sama ada kiri atau kanan).
-Pendarahan faraj yang tidak normal dan darah berwarna lebih gelap.
-Sakit hujung bahu (yang disebabkan oleh pendarahan intra-abdomen).
-Kadang-kala cirit-birit atau sakit ketika membuang air besar.
-Jika gagal dikesan pada peringkat awal kehamilan, tiub fallopian boleh pecah dan mengakibatkan pendarahan berlebihan.
Pada peringkat ini, anda mungkin mempunyai gejala berikut:
-Sakit perut yang teruk secara tiba-tiba
-Pening, pengsan, berpeluh dan letih lesu
-Pengsan akibat pendarahan yang berlebihan
-Perut membengkak
-Pucat
Jika anda mengalami tanda dan gejala di atas segera ke hospital berdekatan. Dapatkan bantuan ambulans atau seseorang untuk menghantar anda ke hospital!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang