Pil gugur boleh sebabkan seseorang mandul dan dapat kanser ovari? Pakar berpengalaman ini ada jawapan

A
A
A

Pil gugur boleh sebabkan seseorang mandul dan dapat kanser ovari? Pakar berpengalaman ini ada jawapan

DUNIA perubatan juga tidak lari daripada era kemodenan yang membawa kepada pelbagai peralatan moden dan ubat-ubatan.

Antaranya pil menggugurkan kandungan. Ia merupakan alternatif kepada kaedah gugur secara pembedahan dan diambil pada usia kandungan lapan minggu.

Sebelum itu, perlu difahami, artikel ini tidak menyentuh punca melakukan perbuatan tersebut disebabkan isu akhlak, peribadi atau sosial, namun menjurus kepada sebab-sebab semula jadi.

Antaranya adalah lebih kepada permasalahan genetik, imunologi, rahim atau serviks, ketidakstabilan hormon, kemelut kesihatan yang sudah dikesan sejak janin, infeksi termasuk faktor usia lanjut (lebih daripada 35 tahun).

Sebenarnya, proses pengguguran bergantung kepada jenis ubat yang diberikan. Ia berfungsi menyekat hormon di dalam badan wanita yang dikenali sebagai progestron.

Progestron merupakan hormon yang akan menyokong kandungan tersebut. Terdapat juga ubat yang mana serviks wanita akan dilembutkan dan rahim akan mengecut bagi tujuan menggugurkan janin.

Pun demikian, ujar Pakar Obstetrik & Ginekologi, Gleneagles Hospital Kuala Lumpur, Dr Vijayan Padmanathan, pil mempunyai banyak kesan sampingan dan risiko.

Antaranya, seseorang akan ditimpa sakit, demam, cirit-birit dan pendarahan yang berlebihan.

“Ubat ini juga mengambil masa yang agak lama untuk proses tersebut selesai. Barangkali selama dua hari berbanding kaedah pembedahan yang hanya mencecah durasi 10 minit,“ katanya.

Ujar beliau lagi, sesetengah ibu hamil tidak dapat mengenal pasti jenis pendarahan yang tidak normal apabila mengambil pil gugur di rumah.

“Dalam sesetengah keadaan, ubat yang dimakan tak memberi sebarang reaksi sehingga janin masih di dalam rahim (secara cebisan yang tertinggal).

“Hal ini boleh mengakibatkan jangkitan kuman yang serius jika tidak dirawat pada waktu terdekat,“ jelasnya sambil memberitahu, wanita juga berpotensi berdepan dengan masalah emosi apabila melihat pendarahan dan ketulan darah keluar semasa proses pengguguran yang dilakukan secara sendiri di rumah.

BACA JUGA: Wanita hamil jangan pandang remeh tekanan darah tinggi, risiko sawan, pendarahan otak & tumbesaran baby terbantut

BACA JUGA: 10 tahun menanti anak, Julfekar sambut kehamilan isteri sebagai hadiah Hari Bapa paling bermakna

 

Banyak andaian

Mengulas lanjut, Dr Vijayan berkata, terdapat sesetengah kes yang menyaksikan seseorang berbuat demikian dalam diam.

Apa yang dilakukan adalah membeli ubat di platform online tanpa berjumpa dengan doktor terlebih dulu.

Tindakan itu boleh mendedahkan individu tersebut dengan bahaya yang tidak terduga.

Lazimnya, ujar pakar berkenaan, doktor akan melakukan imbasan bagi memastikan kantung bayi di dalam rahim sebelum memberikan ubat.

“Jika ubat itu diambil apabila kandungan di luar rahim, ini boleh mengakibatkan masalah yang sangat besar sehingga ibu mengandung terpaksa dibawa ke unit kecemasan hospital,“ terangnya.

Kepada satu soalan, Dr Vijayan berkata, terdapat banyak persoalan jika ubat menggugurkan kandungan boleh mengakibatkan kemandulan atau tidak?

Jawapannya, tidak. Pun demikian, jika pil tersebut tidak menunjukkan keberkesanan, si ibu terpaksa menjalani rawatan alternatif iaitu melalui kaedah pembedahan untuk mengeluarkan janin atau cebisan janin termasuk darah beku yang tertinggal di dalam rahim (di bawah anestesia atau bius).

“Mereka akan ditidurkan selama 10 hingga 15 minit oleh doktor bius dan janin akan disedut keluar dengan menggunakan alat vakum khas oleh doktor untuk tujuan tersebut,“ katanya.

Hello Doktor turut mempunyai pandangan serupa. Ujar mereka, pengguguran dengan cara memakan pil tidak akan membuatkan seseorang mandul.

Pada masa sama, ia juga tidak langsung mempengaruhi seseorang untuk hamil semula dan tidak akan meningkatkan risiko kanser payudara, melainkan wujud komplikasi yang serius dan tidak dirawat.

“Wanita yang sedia ada isu kesihatan atau pernah alami masalah mental, proses pengguguran mungkin akan mendatangkan masalah yang lebih besar,“ kata sumber itu.

Hello Doktor juga menyatakan, pendekatan pengambilan pil turut hadir dengan risiko jangkitan.

“Pun begitu, ia (risikonya) sangat kecil. Jangkitan yang dikenali sebagai penyakit radang pelvis ini boleh menyebabkan kemandulan dan meningkatkan risiko kehamilan ektopik,“ katanya.

Kembali berbicara dengan Dr Vijayan, ungkap beliau, muncul juga persoalan kononnya pil keguguran boleh memicu kepada kanser ovari.

“Apa yang saya boleh jelaskan, ubat ini adalah bersifat jangka masa pendek yang tidak akan menyebabkan kesan sampingan dalam tempoh masa panjang termasuk kanser ovari yang diperkatakan,“ ungkapnya.

Foto CANVA

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca