Pelekat, kad ucapan sudah cukup buatkan kanak-kanak penghidap fibrosis kistik bersemangat
MESKIPUN usianya baru setahun jagung, namun sikap Noah Schneider dari Amerika Syarikat yang cukup positif meneruskan hidup ternyata memberi inspirasi kepada orang ramai.
Masakan tidak, kanak-kanak berusia 5 tahun yang menghidap fibrosis kistik sejak lahir itu disahkan positif Covid-19 pada 30 Disember lalu.
Bayangkan budak kecil sudah diduga dugaan penyakit kronik seperti itu.
Bagi penghidap penyakit fibrosis kistik, sukar untuk mereka khususnya si kecil untuk bernafas berikutan berdepan gangguan pernafasan dek lendir yang berkumpul di saluran tersebut.
Lebih membahayakan, ada kes kritikal yang menyebabkan si kecil terpaksa bergantung hidup dengan alat bantuan pernafasan sepanjang masa.
Dugaan getir yang menimpa kanak-kanak lelaki tersebut bagaikan sudah jatuh, ditimpa tangga. Sehingga kini, dilaporkan Schneider masih bertarung nyawa untuk meneruskan hidup.
Kisah kecekalan beliau yang dilaporkan abcnews.go.com cukup menyayat hati apabila penyakit yang dihadapinya dikatakan mengancam nyawanya kerana organ dalaman seperti paru-paru dan sistem pencernaan terjejas teruk.
Pun begitu, budak lelaki itu tetap cekal. Asbab peniup semangat Schneider membuatkan ramai terkesima dek semangat juang yang cukup tinggi.
Schneider antara lain dilihat memohon kepada orang ramai supaya memberikan hadiah berupa pelekat dan nota semangat untuknya meneruskan perjuangan yang masih tersisa.
Memetik kata-kata ibunya, Haley Schneider, anaknya yang sering sesak nafas itu hanya mampu bermain pelekat dan membina sesuatu dari katilnya sahaja.
Pun begitu dunianya berubah baru-baru ini apabila seorang rakan anaknya meminta rakan Facebook menghadiahkan pelekat untuk Schneider.
“Mulanya dia hanya dapat lima kad dan jururawat ada memberikan pelekat. Kini Schneider sudah ada beribu-ribu koleksi.
“Setiap hari Schneider akan bertanya, adakah saya mendapat bungkusan?. Hadiah tersebut membuatkan hari Schneider ceria dan menggembirakan,” katanya.
Artikal berkaitan: Selepas Arab Saudi, kini Libya pula dilanda salji, 6 bandar catat cuaca sejuk paras beku
Meskipun badannya penuh dengan wayar berselirat, namun si comel itu mampu tersenyum gembira setiap hari kerana menanti sesuatu yang disukainya.
Hanya pelekat dan kad ucapan sudah cukup membuatkan Schneider tersenyum bahagia.
Berceritakan mengenai kisah Schneider ketika dilahirkan, ibunya berkata, kanak-kanak itu pernah dimasukkan ke hospital hampir 35 kali dan diberi bantuan ventilator sebanyak 20 kali.
“Schneider memerlukan ventilator sepanjang masa dan apabila dijangkiti wabak Covid-19 melalui bapanya, dia memerlukan rawatan lebih rapi,” katanya.
Artikal berkaitan: Kisah hacker berhati mulia, sumbang hasil godam, gelap akaun bank untuk orang miskin, rakyat Palestin
Melihat beberapa foto kanak-kanak lelaki kelahiran bandar Yuba, California itu yang tersenyum gembira membuatkan ramai tumpang gembira.
Moga si kecil dan semua kanak-kanak yang berdepan dugaan sakit disebabkan wabak virus korona dapat sembuh segera dan kembali aktif. #kitajagakita
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang