Anak bakal masuk Tahun 1 tapi masih belum pandai baca, ini mak ayah perlu lakukan
SEMUA maklum, pandemik Covid-19 yang melanda telah membataskan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka di semua tadika dan sekolah.
Dengan itu, banyak rungutan ibu bapa yang mempunyai anak berusia enam tahun berasa risau kerana ada antara mereka belum lancar membaca.
Mungkin PdP secara online kurang berkesan bagi sesetengah murid.
Namun ibu bapa tidak perlu risau. Mari kita hadam perkongsian oleh seorang guru, Ashikin Hashim berkenaan apa nak dibuat jika anak masuk Tahun Satu 2021 tapi belum lancar membaca lagi.
Boleh ikut saranan beliau yang dikenali Teacher Ashikin ini;
1. Jangan panik. Relaks tarik nafas.
Set dalam minda anak kita pasti boleh baca jika anak kita normal tiada masalah pembelajaran. Masalah pembelajaran ada banyak. Mohon rujuk kepada pakar seperti 'Occupational Therapist' atau 'Speech Therapist' untuk masalah berkaitan.
Jadi sekarang saya fokus kepada anak yang tiada masalah pembelajaran ya. Jika anak bercakap pun ok, faham arahan, fokus pun ok, maksudnya potensi untuk dia pandai baca itu ada.
2. Rangsangan apa yang anak dah terima selama 6 tahun?Jika anak dari bayi memang kita dah bacakan buku, bercakap dengan dia, banyak aktiviti, alhamdulillah anda di laluan yang betul.
Tapi jika pada usia 6 tahun kita baru sedar yang selama ini di rumah kita tak berikan rangsangan, maka kita kena buat dari sekarang. Hadkan gajet dan mula buat jadual.
3. Kaedah apa yang anak guna untuk belajar baca?
Yang ini mungkin ada ibu bapa yang masih tak tahu anak guna kaedah apa di sekolah. Ada yang guna suku kata, fonik atau mengeja.
Tanya guru tadika mereka dan ibu bapa pun kena belajar guna kaedah tersebut supaya mudah nak ajar anak.
Baca juga Teknik urutan ‘I Love You’ pada bayi, boleh amalkan jika alami masalah kembung perut
4. Mula dari sekarang.
Sekarang dah bulan Disember. InshaAllah jika Covid-19 ok anak-anak akan ke sekolah tahun depan. Apapun kita kena bersedia. Kita bekerja atau 'work from home' ke, sesuaikan dengan keadaan kita.
Kita kena bersedia mental dan fizikal sebab anak-anak lama tak sekolah. Bayangkan mereka masuk sekolah dalam keadaan tak bersedia, maka bermulalah episod meraung dekat sekolah.
5. Jangan guna buku sahaja.
Nak ajar anak baca jangan guna buku sahaja. Suruh anak duduk lepas tu menghadap buku tanpa aktiviti.
Ini yang buat anak tak nak belajar dan cepat bosan. Gunakan kreativiti kita untuk ajar anak baca.
Tiga cara belajar yang berkesan:
- belajar secara visual
- belajar secara auditori
- belajar secara kinestetik (bergerak)
*Belajar berkesan perlu gabung ketiga-tiga cara ini.
Jika guna buku sahaja maka kita mungkin guna dua cara sahaja iaitu visual dan auditori tapi tak ada kinestetik iaitu anak tak bergerak. Anak fitrahnya bermain. Jadi masukkan elemen bermain dalam pembelajaran anak.
Contohnya letakkan kad imbas di serata rumah dan minta anak cari suku kata yang kita sebut. Mesti anak suka.
6. Bersabar.Proses membaca ini adalah satu proses yang panjang dan kompleks. Anak yang baru nak belajar baca bukan terus pandai.
Ia mengambil kira pelbagai faktor untuk dia pandai baca. Kalau lah umur enam tahun baru nak mula belajar, maka jangan jangkakan anak terus pandai. Maka bersabarlah dengan proses ini.
7. Saya bekerja, macam mana nak ajar?
Anak tak sekolah pula tu. Baiklah ada beberapa pilihan yang saya boleh cadangkan.
- Cari 'home tutor'
Cuma saya agak risau bab ini jika anak kita terlalu dipaksa untuk belajar baca. Ibu bapa kena berbincang dengan tutor. Dan ambilah tutor yang memang faham tentang pendidikan awal kanak-kanak.
- Pilihan lain, nak tak nak kita terpaksa ajar sendiri.
Jika bekerja maka peruntukan waktu khas 30 minit pun dah cukup untuk belajar membaca.
Masa saya bekerja makan gaji dulu, apa yang saya buat ialah saya manfaatkan waktu sebelum tidur dan hujung minggu untuk ajar anak membaca.
Panjang sebenarnya nak cerita bab ni. Sebenarnya masa berkualiti itu lebih berkesan.
Walaupun sikit tapi kita ajar dengan berkesan adalah lebih baik daripada kita paksa anak kita belajar baca berjam-jam tapi anak memberontak nak membaca.
Semoga bermanfaat!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang