Awas! Varian baharu merebak lebih cepat, terus kekal di rumah
SEJAK April lalu, kes baharu jangkitan Covid-19 di negara kita semakin hari semakin meningkat sehingga mencatatkan lebih 4000 sehari.
Lebih membimbangkan apabila berlakunya penularan varian-varian baharu virus SARS-CoV-2 dalam komuniti terutamanya beberapa Variant of Concern (VOC).
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan akan berlaku lonjakan bilangan kes harian Covid-19 seperti mana yang berlaku di luar negara.
Ini disebabkan varian-varian VOC dikaitkan dengan kadar penularan lebih cepat dengan kadar kematian lebih tinggi.
Sehubungan itu, selain meningkatkan kapasiti sistem perkhidmatan kesihatan negara, KKM turut menyarankan orang ramai melakukan kawalan pergerakan kendiri terutamanya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Langkah itu bertujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Kawalan pergerakan kendiri boleh dilakukan dengan kekal berada di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar termasuk terus mematuhi prosedur operasi standard(SOP) ditetapkan.
Pihak majikan pula digalakkan memberi kebenaran kepada pekerja bekerja dari rumah (BDR) dan mengehadkan bilangan staf yang hadir ke pejabat pada satu masa.
Orang ramai boleh melakukan kawalan pergerakan kendiri ini dengan mematuhi langkah-langkah berikut:
1. Kekal duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar.
2. Sentiasa menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap cuci tangan dengan sabun atau hand sanitizer.
3. Elak menyertai sebarang aktiviti yang berisiko terdedah dengan orang ramai.
4. Elak menerima tetamu di rumah.
5. Optimumkan penggunaan teknologi komunikasi untuk kekal berhubung dengan sahabat dan sanak saudara.
6. Gunakan perkhidmatan atas talian sekiranya perlu membuat sebarang pembelian.
7. Rancang pergerakan bagi mengelakkan kesesakan di tempat awam sekiranya perlu keluar dari rumah.
8. Masak makanan sendiri untuk khasiat yang lebih baik dan seterusnya mengelakkan risiko mendapat jangkitan Covid-19.
9. Lakukan aktiviti senaman di dalam kawasan rumah sendiri.
10. Amalkan kuarantin kendiri di rumah dengan penuh tanggungjawab sekiranya:
- Telah dikenal pasti dalam aplikasi MySejahtera sebagai kontak kasual, Person Under Surveillance (PUS), kes suspek atau confirmed case.
- Setelah menjalani ujian saringan Covid-19 sehingga keputusan ujian diketahui.
- Telah dikenal pasti sebagai kontak rapat dan masih menunggu panggilan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
- Sekiranya telah dikesan positif Covid-19 dan sedang menunggu panggilan PKD, sila kekal tinggal di rumah melainkan memerlukan rawatan perubatan kecemasan.
Negara masih kekal merekodkan kes harian Covid-19 melebihi 4,000 dengan kes aktif melebihi 40,000 kes.
Kebanyakan hospital kerajaan dan swasta serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara juga hampir mencecah kapasiti maksimum pesakit.
Lebih membimbangkan, semakin banyak kes positif memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sokongan alat bantuan pernafasan beberapa minggu kebelakangan ini.
Pada masa yang sama juga, jumlah kes kematian harian yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan makin meningkat saban hari.
Baca juga Rakyat Selangor setuju tak PKP penuh? Cadangan KKM jika kes Covid-19 meningkat
Peningkatan kes-kes secara mendadak secara tidak langsung memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara.
Maka, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Rakyat Malaysia adalah barisan hadapan yang amat penting pada ketika ini dan diharap terus patuh duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar.
Kita tiada pilihan lagi, kita mesti jaga kita!
Sumber: Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang