Hukum ‘prank’ dalam Islam, boleh jatuh haram jika menipu, menakut-nakutkan, membuka aib
PERKEMBANGAN teknologi komunikasi dan maklumat mencetuskan pelbagai aplikasi.
Puluhan platform media sosial wujud dan kita seakan sebati dengan kehidupan berasaskan internet. Masing-masing sudah terbiasa dengan teknologi komunikasi dan interaksi jaringan dunia laman sosial.
Tidak dinafikan media sosial banyak memberikan manfaat kepada orang ramai terutamanya dalam menghubungkan antara manusia dan bagi tujuan pemasaran.
Masing-masing kreatif mencipta kandungan atau content laman sosial tanpa memikirkan hukumnya di sisi Islam.
Perbuatan ‘prank’ misalnya yang dikongsikan di laman sosial menjadi normal di dalam masyarakat kita hari ini.
‘Prank’ menurut Kamus Dewan Bahasa adalah usikan yang kebudak-budakan. ‘Prank’ adalah satu istilah moden yang digunakan bagi menggambarkan perbuatan mengusik seseorang dengan perkataan atau perbuatan sebagai bahan jenaka atau menguji seseorang.
Adakalanya, gurauan atau prank tersebut agak melampau sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi. Seseorang yang ‘terkena’ prank boleh malu, kecewa dan merasa tertipu.
Budaya ini makin menjadi-jadi terutamanya dalam kalangan pembuat kandungan di media sosial kerana kebiasaannya video-video ‘prank’ sebegini akan mendapat sambutan dan tontonan yang ramai.
HARAM SEKIRANYA MENGAIBKAN
Menurut Pejabat Mufti Wilayah, gurauan ‘prank’ dibolehkan selagi ia tidak melampau dan boleh diterima oleh orang yang diajak bergurau.
Namun sekiranya gurauan tersebut melampau seperti menipu orang lain, menakut-nakutkan, membuka aib pada orang ramai, dan tidak boleh diterima oleh orang yang ‘diguraukan’ maka ianya adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang untuk melakukannya.
MENYEBARKAN AIB
Tambahan lagi, video ‘prank’ yang dirakam tersebut di muat naik ke media sosial dan akan ditonton oleh pengguna-pengguna lain yang sekali gus menyebarkan aib seseorang yang menjadi mangsa.
Justeru, Pejabat Mufti Wilayah menasihatkan orang ramai mengelakkan dari menghasilkan video-video atau ‘content’ prank sedemikian yang boleh menjatuhkan maruah orang lain dan menyebarkan aibnya kepada masyarakat umum.
Sebaiknya, video-video atau ‘content’ sedemikian perlu digantikan dengan video-video lain yang boleh memberi manfaat pada penonton serta dapat memberikan pengajaran.
Dalam satu kisah, Rasulullah SAW pernah bergurau dengan seorang wanita tua dengan mengatakan bahawa dia tidak akan masuk syurga sehingga wanita tua tersebut beredar dengan perasaan yang sedih yang kemudiannya Rasulullah menjelaskan semula bahawa dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua tetapi akan masuk dalam keadaan muda.
أتت عجوزإلى النبي صلى الله عليه وسلم فقالت: يا رسول الله أدع الله أن يدخلني الجنة. فقال يا أم فلان! انّ الجنة لا تدخلها عجوز. قال: فولت تبكي فقال: أخبروها أنها لا تدخلها وهي عجوز إن الله تعالى يقول: إِنَّا أَنْشَأْناهُنَّ إِنْشاءً فَجَعَلْناهُنَّ أَبْكاراً عُرُباً أَتْراباً
Maksudnya: Seorang wanita tua datang kepada Nabi SAW maka dia berkata: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia memasukkan aku ke dalam syurga. Lalu Rasulullah SAW bersabda, wahai Ummu Fulan!
Sesungguhnya syurga tidak akan dimasuki oleh orang tua. Lalu wanita tua itu beredar dalam keadaan menangis. Baginda bersabda: khabarkan kepadanya bahawa dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua kerana ALLAH SWT berfirman: Sesungguhnya kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya (Surah al-Waqiah: 35-37). (Rujuk Syamail Muhammadiyyah h.144)
Oleh itu, bergurau atau bercanda adalah dibolehkan asalkan tidak melampau seperti menipu, menakut-nakutkan orang, menjatuhkan maruah dan seumpamanya.
Baca juga: [VIDEO] "Sorry Pak Cik Siapa Suruh Gatal Sangat" - Wanita Prank Lelaki Tua Waktu Maghrib
MELAMPAU
Istilah melampau dalam gurauan dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang mana ALLAH SWT melarang perbuatan merendah-rendahkan orang lain, menyebarkan aib orang lain, memanggil orang lain dengan panggilan buruk dan lain-lain. Firman ALLAH SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٌ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُواْ خَيۡرًا مِّنۡهُمۡ وَلَا نِسَآءً مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرًا مِّنۡهُنَّۖ وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُواْ بِٱلۡأَلۡقَٰبِۖ بِئۡسَ ٱلِٱسۡمُ ٱلۡفُسُوقُ بَعۡدَ ٱلۡإِيمَٰنِۚ وَمَن لَّمۡ يَتُبۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
Surah al-Hujurat (11)
GURAUAN MELAMPAU SATU KEZALIMAN
Beberapa hadis berkaitan gurauan melampau sehingga membuatkan orang lain terperanjat atau terkejut kerana ianya adalah salah satu bentuk kezaliman pada orang lain.
Antaranya adalah sebagaimana berikut:
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى، قَالَ حَدَّثَنَا أَصْحَابُ، مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُمْ كَانُوا يَسِيرُونَ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَنَامَ رَجُلٌ مِنْهُمْ فَانْطَلَقَ بَعْضُهُمْ إِلَى حَبْلٍ مَعَهُ فَأَخَذَهُ فَفَزِعَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " لاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا
Maksudnya: Daripada Abdurrahaman Bin Abu Laila, beliau berkata, para sahabat Nabi Muhammad SAW bermusafir bersama baginda. Salah seorang dari mereka tertidur lalu ada sebahagian sahabat yang mengambil dan menarik tali yang ada bersamanya sehingga orang yang tidur itu terkejut, maka Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak halal bagi seorang Muslim membuat saudaranya terkejut.”
Sunan Abi Daud (5004)
Ibn Raslan menerangkan bahawa perbuatan memeranjatkan orang tersebut adalah salah satu bentuk kezaliman pada mangsa.
وفي معنى هذا النهي كل من روع مسلمًا أو خوفه، كأن يكون في ظلمة أو غفلة
Maksudnya: Dan pada makna larangan ini setiap perbuatan membuat orang islam terkejut atau takut adalah suatu kezaliman dan kelalaian. (Rujuk Syarh Sunan Abi Daud 164-165/19)
Baca juga: Penjual nasi lemak menangis kena prank dengan ‘pelanggan’
MENGAMBIL BARANG
Terdapat juga bentuk gurauan yang mengambil barang orang lain bagi tujuan bergurau dengan pemilik barang tersebut.
Kebiasaannya pemilik barang akan rasa risau dan sedih apabila barangannya hilang. Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يَأْخُذَنَّ أَحَدُكُمْ مَتَاعَ أَخِيهِ لاَعِبًا وَلاَ جَادًّا
Maksudnya: Tidak boleh sama sekali kamu mengambil barang salah seorang daripada saudara kamu kerana gurauan atau serius.
Sunan Abi Daud (5003)
Syeikh Abdul Muhsin al-‘Abbad menerangkan bahawa larangan terhadap perbuatan tersebut adalah kerana ianya akan membuatkan seseorang rasa risau dan sedih.
أن ذلك منهي عنه إذا ترتب عليه فزع الإنسان أو ذعر الإنسان أو حزن الإنسان
Maksudnya: Perkara tersebut dilarang sekiranya menyebabkan unsur menakut-nakutkan atau merisaukan orang atau membuatkannya sedih. (Rujuk Syarh Sunan Abi Daud lil ‘Abbad No.568)
'PRANK' HINGGA MENCEDERAKAN
Tambahan lagi, kadang-kala ‘prank’ atau gurauan tersebut boleh mengakibatkan kecederaan kepada orang yang menjadi mangsa ‘prank’ tersebut. Imam Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin turut meriwayatkan satu hadis lain yang menyatakan perbuatan tersebut dibenci oleh ALLAH SWT.
وَقَالَ صلى الله عليه وسلم إن الله يكره أذى المؤمنين
Maksudnya: Dan Rasulullah bersabda, sesungguhnya ALLAH SWT membenci orang yang menyakiti orang-orang beriman. (Rujuk Ihya’ Ulumuddin 195/2)
Justeru, diringkaskan bahawa unsur-unsur melampau dalam gurauan atau ‘prank’ adalah seperti berikut.
1. Berbohong
2. Menakutkan atau membuatkan orang berasa risau
3. Menyebarkan aib
4. Mendatangkan kecederaan dan menyakiti mangsa
Hukum asal bagi gurauan atau ‘prank’ adalah dibolehkan selagi mana gurauan tersebut tidak melampau dan boleh diterima oleh orang yang diajak bergurau.
Sekiranya gurauan tersebut melampau seperti menipu orang lain, menakut, membuka aib pada orang ramai dan perbuatan itu tidak boleh diterima oleh orang yang menjadi mangsa ‘prank’ maka ianya adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang untuk melakukannya.
Tambahan lagi, video ‘prank’ yang dirakam tersebut di muat naik dalam media sosial dan akan ditonton oleh pengguna-pengguna lain, sekaligus boleh menyebarkan aib seseorang yang menjadi mangsa.
Oleh kerana itu, dinasihatkan agar mengelakkan dari menghasilkan video ‘content’ prank yang boleh menjatuhkan maruah orang lain dan menyebarkan aibnya kepada masyarakat umum.
Sebaiknya, video-video atau ‘content’ sedemikian perlu digantikan dengan video-video lain yang boleh memberi manfaat dan pengajaran.
Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang