Jangan ambil ringan jenis makanan sepanjang Ramadan ini, ada yang perlu kita elakkan
SEPANJANG bulan Ramadan, tidak dinafikan nafsu makan menjelang waktu berbuka puasa memang lain macam lebih-lebih selepas kita menahan dahaga dan lapar seharian.
Apa tidaknya, semua menu yang dijual di bazar Ramadan atau kedai makan boleh buat sesiapa pun rambang mata dan semuanya nampak sedap belaka.
Kalau ikutkan perasaan, mahu beli semuanya. Betul tak?
Pun begitu, pembaca SinarPlus perlu muhasabah diri dan ambil tahu jenis makanan yang perlu dimakan atau dielakkan ketika berbuka puasa mahupun sahur.
Perkongsian menarik daripada Herbalife Nutrition boleh dijadikan panduan untuk amalan pemakanan yang sihat supaya badan kekal aktif sepanjang berpuasa.
Menurut Ahli Lembaga Penasihat Nutrisi, Dr Ismet Tamer, pemahaman keperluan nutrisi sepanjang bulan Ramadan perlu lebih jelas bagi mengelakkan salah faham.
"Sebenarnya, untuk memenuhi jumlah tenaga dan nutrien yang diperlukan oleh tubuh pada waktu siang, kita perlu mengambil makanan yang kaya dengan protein, karbohidrat, vitamin dan mineral.
"Selain itu, pentingnya untuk minum air pada kuantiti yang mencukupi sebelum berpuasa. Namun, ini tidak bermakna semua keperluan makanan wajib diambil kesemuanya ketika bersahur," katanya.
Percaya atau tidak, tubuh tidak dapat memanfaatkan suntikan tenaga yang berlebihan boleh menjurus kepada kenaikan berat badan.
Menurut Dr Ismet, fungsi metabolisme tubuh akan mengadaptasi corak pemakanan ketika Ramadan.
"Sebenarnya, orang dewasa perlu meminum 3 hingga 4 liter air sehari. Meskipun sudah memperoleh 40 peratus daripada jumlah tersebut terdiri daripada makanan, jus buah-buahan, air mineral, teh dan minuman lain, namun anda masih perlu melengkapkan keperluan dengan minum 1.5 hingga 2.5 liter air setiap hari.
"Ini bermakna, kita memerlukan lebih kurang dua atau tiga gelas air setiap jam dari waktu iftar hingga sahur," jelasnya.
Corak berubah
Kongsi Dr Ismet lagi, Ramadan bukan sahaja mengubah corak pemakanan dan tidur, bahkan jam biologi tubuh badan juga terkesan dari segi fizikal dan mental.
Apa kesannya terhadap manusia?
Jelas beliau, impak fisiologi seperti dehidrasi dan kelaparan ketika berpuasa akan dialami kerana tubuh sekali gus memperlahankan fungsi metabolisme untuk membolehkan tenaga digunakan secara efisien.
Jadi, ada beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan seperti snek ringan selepas iftar atas alasan untuk mengisi perut sebelum tidur.
Tabiat seperti itu boleh mengakibatkan masalah gula dalam darah rendah dan dehidrasi pada keesokan harinya.
Akibatnya, mungkin akan mengalami komplikasi seperti pening kepala serta gangguan konsentrasi ketika berpuasa.
Jadi, apa yang perlu kita makan pada waktu sahur untuk berasa lebih bertenaga sepanjang hari?
Dr Ismet berkata, menu sihat dan mengenyangkan seperti keju, telur, tomato dan timun, selain boleh menikmati hidangan sup, sayur-sayuran yang dimasak dengan minyak zaitun, serta buah-buahan.
"Kombinasi makanan ini dapat memenuhi keperluan tenaga, vitamin dan protein harian. Selain buah-buahan, kita juga harus mengambil makanan seperti pasta dan roti gandum atau kurma, buah ara, bijian penuh dan kekacang yang kaya dengan karbohidrat dan serat demi kesihatan sistem penghadaman.
"Buah kering, kacang walnut dan badam juga merupakan sumber makanan pelengkap yang baik. Percayalah, anda akan berasa lebih kenyang untuk tempoh yang panjang," ujarnya.
Tip kekal terhidrat
Tidak dinafikan, berpuasa ketika musim panas terik boleh menyebabkan badan kekurangan air khususnya mereka yang perlu bekerja di lapangan atau atlet profesional.
Justeru saran Dr Ismet, pengambilan suplemen cukup penting bagi mewujudkan diet seimbang dan sihat bagi menyokong aktiviti harian.
"Jika anda bersenam secara berkala, dinasihatkan supaya memenuhi keperluan tenaga, protein dan air ketika waktu makan.
"Selain itu, disyorkan untuk memendakkan durasi senaman sebanyak 30 peratus ketika berpuasa," jelasnya.
ANEKDOT
TIP sihat berbuka puasa:
1. Berbuka puasa dengan makanan yang mudah untuk dihadam.
2. Juadah ringan seperti sup, disusuli dengan air atau jus buah-buahan segar supaya dapat menghidratkan semula tubuh.
3. Nikmati juadah berat selepas 10 minit atau 15 minit bagi mengelakkan pengambilan makanan secara berlebihan.
4. Untuk juadah utama, pilihan menu sihat seperti daging atau ayam dipanggang, direbus mahupun yang dikukus berserta dengan sayur-sayuran.
5. Kunyah makanan perlahan-lahan dan amalkan aktiviti berjalan iaitu satu atau dua jam setelah berbuka puasa.
6. Amalan tersebut dapat membantu sistem penghadaman dan kardiovaskular berfungsi dengan lebih baik.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang