Khasiat ikan singgang dari sudut saintifik yang sangat wow

Khasiat ikan singgang dari sudut saintifik yang sangat wow
Khasiat ikan singgang dari sudut saintifik yang sangat wow
A
A
A

MASAKAN ikan singgang yang hangat diperkatakan ketika ini terkenal dalam kalangan masyarakat di Pantai Timur. Sementara di pantai barat Malaysia juga terdapat menu yang mirip singgang tetapi ia dipanggil pindang.

Lauk singgang adalah ekstrak herba yang sangat baik untuk kesihatan. Ia mengandungi ekstrak kunyit, serai, lengkuas, asam gelugur, bawang putih dan ikan.

Memetik satu kajian yang dilakukan oleh Penyelidik di Institut Pembangunan Bioproduct, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Johor, Prof Madya Dr Fadzilah Adibah Abdul Majid, ikan singgang mempunyai khasiatnya yang tersendiri.

Semua bahan yang digunakan untuk memasak singgang iaitu kunyit, serai dan lengkuas segar, asam gelugur, bawang putih dan cili segar dibersihkan dan direbus selama 15-30 minit di dalam air bersih.

Kaedah itu secara teknikalnya dipanggil pengekstrakan herba menggunakan air sebagai pelarut. Air rebusan herba atau ekstrak herba itu dimasak sehingga isipadunya berkurangan antara setengah hingga suku dari isipadu asal.

Pada tahap ini, pelbagai fitokimia polar daripada herba yang digunakan telah berada di dalam larutan.

Fitokimia-fitokimia itu akan meningkatkan sumber nutrisi dan nilai berfungsi singgang terutamanya bahan antioksida seperti kumpulan fenolik dan flavonik. Sebahagian fitokimia itu juga menyumbang kepada rasa dan bau yang menyelerakan.

Apabila ketulan ikan dimasukkan dan direbus hingga empuk, proses hidrolisis protein berlaku. Proses itu pula mencerna protein ke bentuk rantaian kecil protein seperti peptida dan asid amino.

Pada masa yang sama, lemak dan nutrisi lain pada ikan dirembeskan ke dalam larutan singgang. Proses itu menjadikan larutan singgang sangat berkhasiat untuk penjagaan kesihatan.

Cili merah, hijau atau cili padi dimasukkan sebagai hiasan dan perisa pedas dengan merembeskan saliva dan juga sumber antioksida tambahan.

Garam dan gula mengimbangi rasa serta merangsang pengeluaran fitokimia yang menyumbang kepada rasa dan bau. Sedikit budu juga boleh ditambah sebagai penambah selera atau perisa menggantikan perisa makanan.

Budu mengandungi garam yang tinggi dan pelbagai vitamin serta mineral yang tentunya menyumbang kepada peningkatan nilai nutrisi dan fungsi kesihatan.

Gabungan herba, rempah dan ikan menjadikan singgang itu suatu ekstrak yang sangat berkhasiat terutamanya sebagai makanan bernutrisi yang tinggi protein ringkas dan fitokimia baik yang sangat baik untuk kesihatan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca