Usah tularkan lokasi hidupan liar di media sosial, bimbang jadi sasaran pemburu haram
BARU-baru ini tular di laman sosial rakaman video yang memaparkan seekor harimau yang ditemui di sebuah negeri di Semenanjung Malaysia.
Harimau berkenaan difahamkan berada di tepi jalan raya dan gerak gerinya dirakam orang awam.
Dalam perkembangan berkaitan,Yayasan Hijau Malaysia berkongsi tentang bahaya mendedahkan dengan terperinci lokasi hidupan liar.
Orang ramai sebaliknya disarankan segera melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Sekiranya anda terlihat kehadiran Harimau Malaya atau hidupan liar yang lain di sekitar anda, pastikan anda segera hubungi Jabatan PERHILITAN di talian Hotline 1800 - 88 - 5151.
“Ingat, jangan tularkan lokasi secara terperinci di media sosial, ia boleh menarik minat pemburu haram,” katanya.
Menurut Yayasan Hijau Malaysia, harimau Malaya adalah haiwan yang dilindungi sepenuhnya.
Sesiapa yang disyaki terlibat dengan pemburuan haram, boleh didakwa di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh di denda maksimum RM500,000.00 dan penjara lima tahun.
Menurut Tabung Alam Sedunia (WWF) populasi harimau Malaya atau panthera tigris malayensis semakin berkurangan.
Hasil cerapan yang dijalankan melalui 1st National Tiger Survey di hampir 75% plot kajian habitat harimau bermula tahun 2016-2018 telah menunjukkan bilangan harimau Malaya yang direkodkan adalah kurang dari 200 ekor. Data ini menunjukkan populasi Harimau Malaya berada pada tahap yang amat membimbangkan.
Selain pemburuan haram, perdagangan hidupan liar sebagai hidangan eksotik, kehilangan habitat dan kekurangan sumber makanan juga menjadi ancaman.
5 FAKTA MENGENAI HARIMAU MALAYA
1- Ia merupakan salah satu subspesies harimau belang yang masih wujud di dunia dan ianya hanya terdapat di Semenanjung Malaysia dan tidak terdapat di Sabah dan Sarawak.
2- Harimau Malaya secara puratanya bersaiz 2.4 meter panjang dan beratnya boleh mencapai 120 kilogram.
3- Harimau Malaya adalah bersifat pemangsa utama ekosistem, sumber makanan utamanya ialah babi hutan, kijang, rusa, napuh, landak, seladang dan pelanduk.
4-Harimau Malaya hidup bersendirian kecuali ketika hendak mengawan atau masih beranak kecil. Proses mengawan berlaku sepanjang tahun dan menghasilkan dua hingga tiga ekor anak.
5-Anak harimau Malaya akan tinggal bersama ibunya untuk tempoh dua tahun.
Baca juga: Gorila pernah viral kerana swafoto, mati dalam pelukan penjaga
Baca juga: Ular tedung masuk rumah, 5 kucing jadi hero, kepung hingga anggota penyelamat sampai
Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram!
Sumber: Yayasan Hijau Malaysia, harimau.my, WWF-Malaysia
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang