KUCING adalah haiwan peliharaan yang menjadi pilihan ramai. Tidak hanya menjadi penghibur dan memberikan manfaat kepada mental dan fizikal, ia juga mampu melindungi pemiliknya.

Kucing mempunyai persamaan dengan anjing yang memiliki sifat pelindung kepada orang atau haiwan lain yang biasa berinteraksi dengannya setiap hari.

Pendedahan seorang wanita, Lyn Azlina tentang kucing-kucing peliharaannya yang membantu mengepung ular tedung yang memasuki rumah tular di sebuah grup di Facebook.

Lima ekor kucing bersaudara itu bernama Dobot, Joy, Kochi, Marble dan Tart. Kelima-limanya berjaya mengepung ular tedung yang memasuki rumah sehingga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba.

Biarpun dikatakan nakal hingga menyebabkan langsir terkoyak dan pasu pecah sebelum ini namun selepas kejadian itu, Azlina berasa kagum dengan kucing-kucingnya.

Kejadian tersebut difahamkan berlaku semasa dia dan suaminya baru sahaja pulang dari pasar dan berasa pelik kenapa kucing-kucingnya tidak menunggu di depan pintu seperti biasa.

“Masa di dapur, suami panggil saya sebab dengar sesuatu yang pelik kerana penglihatan suami saya tak berapa jelas sebab baru sahaja menjalani pembedahan mata. Jadi, dia minta saya tengokkan.

“Saya terus hubungi 999 sambil itu saya bercakap dengan anak-anak (kucingnya) jangan bunuh ular tu. Dan senjata paling kuat pada masa itu adalah doa Nabi Sulaiman,”tuturnya.

Kochi (kiri), Joy dan Dobot.

Difahamkan kira-kira 10 minit kemudian APM tiba di kediaman Azlina dan menangkap ular berbisa itu.

Menurut Azlina, ular berkenaan dipercayai memasuki rumahnya menerusi lubang kecil pada tingkap.

Tart (kiri) dan Marble.

“Saya berharap kepada mereka yang memelihara kucing, peliharalah ia dengan penuh kasih syaang kerana binatang kesayangan Rasulullah ini pembawa rahmat.

“Manalah tahu antara tangan-tangan dan doa untuk kita ke syurga itu mungkin dari kucing-kucing ini. Kalau tidak mampu menjaga, janganlah menyakiti mereka,” katanya ketika dihubungi SinarPlus.

Perkongsian wanita itu meraih perhatian warganet. Rata-rata berasa kagum dengan keberanian kucing-kucing belaan Azlina yang bijak dan sanggup mempertaruhkan nyawa melindungi keluarga tuannya.

Iklan

Iklan

Baca juga: Gorila pernah viral kerana swafoto, mati dalam pelukan penjaga

Bca juga: [VIDEO] Raih 14 Juta Tontonan, Aksi Ular Besar Melingkar Atas Kabel Elektrik Tengah Bandar

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: Lyn Azlina