Zakat fitrah jangan lupa, berikut kadar setiap negeri dan waktu pembayarannya
Zakat fitrah jangan lupa, berikut kadar bayaran setiap negeri dan waktu pembayarannya
Bagi umat Islam, mengeluarkan zakat fitrah adalah wajib. Menuju ke pertengahan Ramadan, ramai yang sedang merancang pembayaran zakat fitrah sama ada secara dalam talian mahupun secara berdepan dengan amil.
Antara syarat-syarat yang mewajibkan seseorang itu mengeluarkannya ialah beragama Islam, mampu mengeluarkan zakat fitrah dan masuknya waktu untuk mengeluarkannya. Rasulullah SAW menekankan bab zakat ini dalam sabda baginda melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ، صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam dengan satu gantang tamar, satu gantang tepung barli sama ada yang merdeka atau hamba sahaya, lelaki atau perempuan dalam kalangan umat Islam.”
(Riwayat Muslim: 984)
Perintah menunaikan zakat fitrah ini sebenarnya bermula pada tahun kedua Hijrah iaitu tahun diwajibkan puasa pada bulan Ramadan untuk mensucikan orang Islam yang berpuasa dari kata-kata dan perbuatan yang tidak berguna.
Ia juga untuk memberi makanan kepada orang-orang miskin dan mencukupkan keperluan dan permintaannya pada Hari Raya Aidil Fitri.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada 23 Oct 2003 telah membincangkan tentang zakat fitrah dan memutuskan hukum zakat fitrah adalah wajib sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah berikut:
1-Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
2-Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.
3-Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya.
3-Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadan.
Baca juga: Segera bayar zakat fitrah, walau sudah masuk waktu haram. Ikuti penjelasan MAINS
WAKTU MEMBAYAR ZAKAT FITRAH
Waktu wajib: Mazhab Syafie mengikut yang azhar dan Hanbali berpendapat bahawa waktu wajib zakat fitrah bermula dengan tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan (malam Raya). Ia juga pendapat sebahagian Mazhab Maliki.
Waktu sunat: Mazhab Syafie berpendapat sunat dikeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya dan makruh mentakhirkannya sehingga selesai solat.
Waktu haram: Al-Hasan bin Ziyad dari ulama Hanafi berpendapat waktu menunaikannya bersifat setempat dan terhad seperti hari korban. Justeru siapa yang menunaikannya selepas hari raya tanpa uzur, ia dianggap sebagai berdosa. Pendapat ini juga adalah pendapat Mazhab Maliki, Syafie, dan Hanbali. Tetapi tetap wajib ditunaikan segera zakat fitrah dan pada waktu itu ia dikira sedekah. Sekiranya masih dilengahkan, maka akan bertambahlah dosanya.
Baca juga: Jangan culas bayar zakat fitrah, harta. Raih pahala berganda 10 akhir Ramadan
KADAR BAYARAN ZAKAT FITRAH MENGIKUT NEGERI
Menjelang Ramadan, Jawatankuasa Syariah atau Fatwa Negeri akan memutuskan nilai harga beras semasa mengikut daerah jenis dan gred beras yang dimakan oleh penduduk. Kemudian diputuskan dengan mengambil kira nilaian sebanyak segantang beras iaitu hampir kepada 2.60 kg.
Di negeri yang mempunyai lebih daripada satu kadar, pembayar boleh memilih kadar zakat mengikut kemampuan atau kadar bayaran itu dipilih berdasarkan gred atau harga beras yang menjadi makanan harian mereka.
Berikut adalah kadar zakat fitrah setiap negeri di Malaysia pada tahun ini:
Perlis
-RM7
Kedah
-Beras super spesial tempatan (10 peratus hancur) : RM6.50
-Beras Super Spesial Tempatan (5 peratus hancur) : RM7
-Beras Super Import/ Beras Perang/ Beras Pulut/ Herba Ponni/
-Beras Wangi : RM14
-Beras Basmathi, Beras Jepun, Beras Merah: RM 21
Pulau Pinang
-Beras super spesial tempatan (10 peratus dan 5 peratus hancur), beras tempatan standard, beras tempatan premium, beras hancur, beras merah atau beras hancur: RM7
-Beras wangi, beras pulut, beras rebus atau beras import: RM13
-Beras basmati, herba ponni, beras Jepun (Calrose): RM20
Perak
-Beras super special tempatan 5 peratushancur: RM7,
-Beras wangi, beras putih import, beras perang, beras pulut, beras herba ponni dan seumpama dengannya: Rm14
-Beras basmathi, beras Jepun, beras merah, dan seumpamanya: RM21
Selangor
-Beras super special tempatan 5 peratus hancur- RM7
-Beras wangi, beras putih import, beras perang, beras pulut, beras herba poni: RM14
-Beras basmathi, beras Jepun, beras merah: RM21
Wilayah Persekutuan
-Beras super tempatan dan senilai dengannya: RM7
-Beras super import, super wangi AAA dan senilai dengannya: RM14
-Beras Basmathi dan senilai dengannya: RM21
Negeri Sembilan
-Beras super special tempatan SST 5 peratus hancur: RM7
-Beras super import, super wangi dan herba ponni : RM10,
-Beras super basmati: M21
Melaka
-Beras super special tempatan 5 peratus hancur-RM7
-Beras super import, beras perang, beras pulut, beras herba poni, beras wangi, beras Jepun dan beras merah: RM14
-Beras basmati: RM21
Johor
-Beras super special tempatan 5 peratus hancur:RM7
-Selain beras super special tempatan 5 peratus hancur: RM13
Pahang
-Beras super special tempatan 5 peratus hancur: RM7
-Beras putih import, beras perang, beras pulut, beras herba poni, beras wangi: RM14
-Beras Jepun, beras basmati dan beras merah: RM21
Terengganu
-RM8
-Beras super import (Siam) atau setara dengannya fitrahnya: RM10
-Beras basmati atau setara dengannya fitrahnya: RM24
Kelantan
-RM7, RM14, RM 21
Sarawak – RM7
Sabah – RM7
Sesungguhnya zakat menyucikan diri dan harta. Semoga zakat yang ditunaikan menyebabkan rezeki kita semakin berkat, insya-ALLAH.
Baca juga: Suami menganggur, perlu ke bayar zakat fitrah?
Sumber: PPZMAIWP, Pejabat Mufti Wilayah
Kredit foto utama: Penolong Amil Zakat Selangor
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang