11 anak dalami bidang agama, 4 huffaz al-Quran, Dr Nurwanis kongsi doa & amalan ibu bapa. Wajar dijadikan contoh!

A
A
A

MEMILIKI 11 orang anak tidak menjadi penghalang buat pasangan ini mencorakkan didikan baik sehingga masing-masing meraih kejayaan dalam pendidikan. Lebih menyejukkan hati, tujuh puteri dan empat puteranya memilih untuk mendalami bidang agama iaitu Usuluddin dan Tahfiz Qiraat hingga ada dua daripadanya meraih ijazah kedoktoran (PhD).

Penulis tertarik dengan perkongsian Dr Siti Nurwanis Mohamed di Facebook baru-baru ini. Hantaran tular mengenai kejayaan kakaknya, Dr Siti Nuroni Mohamed yang berjaya meraih PhD dalam bidang Usuluddin (Hadis) hingga menerima 4,500 tanda suka dan 3,900 perkongsian.

Ujar Nurwanis, kakak ketiganya itu orang pertama yang membuka jalan adik beradik lain menyambung pelajaran sampai ke peringkat tertinggi.

Bercerita tentang liku-liku perjalanan dan pengorbanan Siti Nuroni sepanjang melanjutkan pelajaran dan kesanggupan menangguh pengajian demi menjaga adik yang sakit, penulis tahu bukan calang-calang didikan diberikan ibu ayah mereka.

Tidak hanya berjaya dalam bidang akademik, malah memiliki akhlak dan pekerti mulia.

Biarpun menjadi kakak pertama menyambung PhD, Siti Nuroni mengambil masa tujuh tahun untuk menyudahkannya kerana banyak berkorban untuk keluarga.

Baca juga: Qari cilik Ahmad Azfar Johan Musabaqah Mazamir Dawud di Algeria, berani sahut cabaran pada usia muda

Foto: Ihsan Dr Nurwanis

"Kenapa sampai tujuh tahun? Sedangkan kakak saya ini boleh dikatakan 'best student' dari sekolah sehingga zaman kampus.

"Sentiasa mendapat keputusan cemerlang. Hebat berpidato dan fasih berbahasa Arab. Malah beliau sangat suka membaca

"Sebenarnya kakak boleh sahaja menyiapkan dengan cepat tetapi kerana banyak berkorban itu ini untuk famili dan pelbagai ujian hebat juga ALLAH berikan, menjadikan pengajiannya itu semakin panjang," jelasnya.

Selain itu, Nurwanis bersyukur kerana ibu bapa mereka, Mohamed bin Omar, 70, dan Siti Rushana binti Awang Besar, 65, memiliki kesedaran tentang kepentingan pelajaran dan menanamkannya dalam diri anak-anak.

Hasil didikan, kesemua 11 cahaya mata berjaya melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dan mengkhususkan dalam bidang agama. Malah lebih menyejukkan hati, empat daripada mereka adalah huffaz al-Quran.

Anak pertama, Siti Nursima berkelulusan Ijazah Sarjana Usuluddin (Tafsir) Universiti Malaya (UM), anak kedua, Muhammad Rusydi atau Abang Bikai memiliki Master Usuluddin (Tafsir) UM, ketiga Siti Nuroni PhD Usuluddin (Hadis) UNISHAMS.

Nurwanis sendiri memegang PhD dalam bidang PhD Usuluddin UM.

Foto: Ihsan Dr Nurwanis

Manakala anak kelima, Siti Nurkhusna memiliki Ijazah Sarjana Usuluddin (Hadis) UM, keenam, Mohd Arham pula sedang menyambung pelajaran peringkat PhD dalam bidang Usuluddin (Hadis) UNISHAMS, ketujuh, Siti Nur Jannati juga sedang menyambung pengajian peringkat PhD Usuluddin (Dakwah) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Anak kelapan Mohd Hikam, memegang Ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti Madinah, kesembilan Abdul Hayyu memegang Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Qiraat, UNISHAMS, anak kesepuluh, Siti Nurhuzun pula sedang menyambung Ijazah Sarjana Tahfiz Qiraat, UNISHAM manakala anak bongsu, Siti Nurhusaini adalah pelajar jurusan Tahfiz Qiraat di universiti yang sama.

"Alhamdulillah kerana kami adik-beradik mempunyai ibu bapa yang menerapkan kepentingan pendidikan. Umi ayah saya adalah ibu bapa biasa tetapi cara berfikir mereka luar biasa.

"Umi seorang guru bahasa Inggeris, bukan Ustazah. Ayah pula peniaga, bukan ustaz. Tetapi tingginya harapan mereka nak anak-anak belajar sehingga peringkat tertinggi dalam bidang agama, mahu kami berjaya dunia akhirat," kongsi Siti Nurwanis.

Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Penulis percaya, kecenderungan untuk belajar dan mendalami bidang agama sehingga peringkat tertinggi tentu bermula dari rumah.

Menjawab soalan tentang usaha oleh ibu bapa untuk melihat anak meraih kecemerlangan, pemegang PhD dalam bidang Usuluddin itu menambah doa dan amalan ini diamalkan.

Baca juga: Wanita hebat, Iman Asri terpilih Syahadah Ula al-Fateh, lulus semakan 30 juzuk dalam 17 jam, 5 info mengenainya

Foto: Ihsan Dr Nurwanis

"Umi istiqamah amalkan setiap hari sejak mengandung lagi iaitu rajin membaca surah Yusuf, Luqman dan Maryam sambil berdoa agar anak-anak menjadi cerdik dan cerdas serta berjaya dunia akhirat.

"Selain itu, amalan istimewa Umi dan Ayah ialah melazimi solat tahajud. Mereka juga mengejutkan anak-anak seawal 5 pagi untuk melakukan solat tersebut sejak kami sekolah menengah lagi.

"Kemudian selepas solat tahajud, kami adik-beradik meluangkan masa duduk bersama untuk menghafaz al-Quran dan mata pelajaran berbahasa Arab," jelasnya.

Selain membaca al-Quran dan amalan-amalan sunat, keluarga besar ini mempunyai rutin solat berjemaah. Malah solat sunat hajat akan dilakukan setiap kali peperiksaan menjelang.

"Rutin setiap hari, kami solat berjemaah Subuh, Maghrib dan Isyak serta solat hajat.

"Solat hajat dibuat secara berjemaah dengan mendoakan hajat setiap anak. Contohnya pada musim peperiksaan, memohon ALLAH SWT menerangkan hati anak-anak dapat menjawab semua soalan serta beroleh keputusan yang cemerlang.

Baca juga: “Emak tulang belakang terkuat, didikan bapa bentuk diri.” – Ustazah Asma’ raih anugerah Tokoh Sayidatina Aishah

"Paling istimewa, Umi dan Ayah mendoakan kejayaan pembelajaran anak-anak sehingga sampai ke peringkat PhD di tanah suci Makkah. Mereka berpendapat bahawa doa mustajab yang banyak ALLAH kabulkan ialah ketika mereka berdoa di Makkah," ujarnya.

Membaca jambatan ilmu. Tidak hanya itu, ia menambah dan memperkaya pengetahuan. Kecintaan kepada amalan ini diterapkan oleh Siti Rushana dari awal dengan menyediakan bahan bacaan di rumah.

"Nilai dan prinsip yang Umi tanamkan dalam diri anak-anak sejak kecil ialah memupuk minat suka membaca. Galakan tersebut dengan cara membeli buku-buku cerita dan menyuruh kami meminjam pelbagai genre buku di perpustakaan sekolah.

"Selain itu, Umi suka memberikan motivasi dan kata-kata yang baik untuk anak-anak. Setiap kali peperiksaan, Umi akan memberikan semangat dan dorongan untuk kami capai keputusan cemerlang.

"Kami turut dididik untuk saling membantu adik-beradik yang lain yang tidak faham sesuatu mata pelajaran, kena tolong ajarkan dan tidak boleh mementingkan diri sendiri atau berjaya seorang sahaja," jelasnya.

Bagi seorang ibu, mendidik anak pelbagai peringkat usia tentunya sesuatu yang mencabar apatah lagi jika berkerjaya.

Pun begitu, keluarga ini berjaya mendidik 11 cahaya mata mereka meraih kejayaan dan mendalami bidang berkaitan agama. Ibu dan ayah semestinya harus kuat dan bersedia.

Baca juga: Pilih bidang agama, pelajar yatim piatu 11A teruskan Tingkatan 6 dan duduki STAM

Foto: Ihsan Dr Nurwanis

Kepada SinarPlus, Siti Rushana sempat menitipkan nasihat khususnya buat ibu-ibu muda.

"Ada ketika perlu tegas, ada ketika perlu lembut dan sabar dalam mendidik.

"Jangan mengeluarkan kata-kata yang buruk atau kesat kepada anak-anak terutama ketika marah kerana setiap patah kata yang keluar dari mulut itu akan menjadi doa daripada seorang ibu.

"Selain itu, jangan pilih kasih, perlu sayang dan layan sama rata. didik anak-anak agar saling menyayangi serta saling tolong-menolong antara adik beradik.

"Didikan agama dan akhlak yang baik ditunjukkan oleh ibu bapa sejak kecil menjadikan anak-anak mudah patuh dan lembut hati.

"Di samping itu, perlu sentiasa memberikan galakan dan motivasi contohnya hadiah kepada anak-anak yang mendapat kejayaan cemerlang setiap kali peperiksaan.

"Berikan semangat kepada anak-anak untuk terus menyambung ke peringkat lebih tinggi sehingga PhD. Duit boleh dicari, tetapi faham (mendalami) ilmu agama membawa kepada berjaya dunia dan juga akhirat," jelasnya.

Melihat kepada bidang yang dipilih, rata-rata keluarga ini mendalami bidang Usuluddin dan Tahfiz. Ujar Nurwanis, keputusan itu banyak didorong bapa.

"Ia keputusan tegas daripada ayah yang mewajibkan kami semua menceburi bidang agama. Memandangkan Ayah berasal dari keluarga yang miskin dan tidak mampu menyambung pengajian ke peringkat tertinggi, maka besarlah impian Ayah ingin melihat kesemua anaknya belajar agama sehingga ke peringkat PhD.

"Ayah selalu mengulang impiannya kepada kami. Kata ayah, khanya ilmu agama yang akan membawa kepada kejayaan di dunia dan akhirat.

"Selain itu, ayah ingin kami semua benar-benar mengenal Tuhan dengan mengukuhkan ilmu tauhid (Usuluddin) dalam diri," tuturnya.

Tahniah dan syabas buat keluarga ini kerana menyuntik semangat buat para pembaca.

Semoga usaha dan didikan pasangan Mohamed dan Siti Rushana ini menjadi inspirasi ibu bapa lain dalam mendidik serta mencungkil potensi anak-anak bidang yang diminati.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca