Arina masih lemah dan jalani rawatan kemoterapi - Kanser medulloblastoma 'usik' saraf tunjang
IMPAK sakit kepala yang dihidapi Che Ku Arina Sabrina Encik Ku Asmadi, 20, bukan sembarangan. Denyutan kepalanya itu telah menyebabkan beliau longlai sehingga kehilangan berat badan secara drastik.
Situasi itu juga menyebabkan empunya badan yang dahulunya seorang yang ceria dan periang tiba-tiba tidak bersemangat untuk meneruskan pengajian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam jurusan Keusahawanan (Peruncitan).
Seperti yang diceritakan oleh ibu tiri gadis itu, Lailawati Abdul Halim, 45, impian Che Ku Arina yang berhasrat untuk terus berada di menara gading nampaknya masih belum kesampaian.
“Beliau masih kekal tidak berdaya untuk bangun sendiri dengan keadaan separuh strok pada sebelah kiri badannya,“ katanya kepada SinarPlus.
Che Ku Arina ketika ini masih belum terbuka untuk berkongsi tentang keadaan dirinya dengan pihak media. Bagaimanapun, beliau membenarkan Lailawati bercakap bagi mewakili dirinya.
Kepada SinarPlus Lailawati berkata, sememangnya dugaan yang dihadapi oleh anak kelahiran Temerloh, Pahang itu cukup berat. Sakit kepalanya itu sebenarnya merupakan simptom awal dirinya menghidap kanser medulloblastoma (tahap empat) yang telah mengganggu saraf tunjang gadis itu.
Artikel berkaitan: Nampak benda jadi dua dan selalu sakit kepala, jangan abaikan simptom ini…
“Keadaan saraf pada matanya membengkak dan kini dia tidak mampu bergerak sendiri. Sehingga ke hari ini, Arina masih menjalani rawatan kemoterapi untuk kitaran kedua di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada 15 Mac lalu,“ katanya.
Dugaan berat
Mengimbau keadaan Che Ku Arina sebelum itu, Lailawati berkata, pada mulanya ahli keluarga berfikir anak kedua daripada lapan beradik itu hanya migrain.
“Sebelum ini, dia pernah mengadu sakit kepala tetapi bukanlah hari-hari sakit. Cuma sejak awal tahun, ketika mahu ambil keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, keadaannya sangat lain.
“Bila ditanya, dia kata dia sakit kepala dan jadi kurus sebab tak minum air manis, tetapi hairannya, dia kerap mengadu yang matanya kabur dan kelam. Kadang-kadang nampak satu ‘benda‘ jadi dua,“ katanya yang terus membawa Arina ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu selepas selepas anaknya berjalan terhuyung-hayang.
Selepas pemeriksaan dilakukan, Lailawati berkata, keluarganya terkejut apabila pakar mengesahkan Che Arina merupakan pesakit kanser tahap empat.
“Hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan kami, dahlah suami saya ketika itu baru saja menjalani pembedahan perut. Kami terima berita sedih dengan hati yang berat dan segera buat yang terbaik untuk Arina termasuk membenarkan pembedahan buang ketumbuhannya. Jika tak, Arina berisiko lumpuh seumur hidup,“ katanya dengan nada pilu.
Berdasarkan rekod, Che Ku Arina telah ‘berkampung‘ selama 50 hari untuk menjalani rawatan radioterapi sebanyak 31 kali di HKL. Pun demikian, gadis itu tetap memiliki semangat yang kuat untuk terus berjuang.
Rupa-rupanya selepas penulis bersembang lama dengannya, Lailawati mendedahkan bahawa dirinya turut memiliki anak sindrom down yang sangat memerlukan perhatiannya.
“Ya, saya berdepan dengan situasi berat, Arina bergelut dengan masalah kanser, suami pula belum sembuh dan pada masa sama, saya sedang menjaga anak sindrom down.
“Bukan mudah sebenarnya, namun kami suami isteri kuatkan hati. Walaupun dia (suami) tak sihat mana tetapi demi anak, dia sanggup ulang-alik dari Terengganu ke Kuala Lumpur untuk rawatan Arina,“ ungkapnya.
Meskipun Lailawati seorang diri menanggung keluarga dengan gaji sebagai penjawat awam yang tidak seberapa, namun wanita itu tetap menerima takdirnya dengan perasaan tabah.
“Besar harapan saya agar orang ramai dapat terus mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga,“ katanya.
Justeru, kepada pembaca SinarPlus yang ingin membantu meringankan beban keluarga berkenaan, boleh salurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional 1111 5411 0001 0445 (Che Ku Arina Sabrina Ku Asmadi).
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang