'Ayah suka masak ayam kicap.' Sambut Ramadan tanpa ibu bapa dan adik-beradik, perkongsian Attar Azim jentik hati
BARU berusia sembilan tahun, namun si kecil bernama Attar Azim Syukran Jamil ini sudah diduga dengan ujian cukup hebat.
Kehilangan empat ahli keluarga sekelip mata dalam satu kemalangan jalan raya meragut kebahagian famili ini.
Cukup sukar dibayangkan bagaimana perasaan seorang anak apabila ayah dan ibu serta dua adiknya yang selama ini menjadi tempat bermanja pergi buat selama-lamanya.
Tragedi tersebut memberi tamparah hebat, sementelah umat Islam kini menyambut Ramadan.
Meluahkan rasa rindu yang tidak berbelah bahagi, anak sulung daripada tiga beradik yang mesra dipanggil Attar itu dikatakan sering mengimbau kembali momen manis bersama ahli keluarganya, terutama makanan kegemaran dan aktiviti bersama adik-beradiknya sebelum tidur.
"Mimi suka ikan patin tempoyak. Ayah pula suka masak yang simple seperti ayam masak kicap." ucapnya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Malaysia Hari Ini sambil ditemani bapa saudaranya, Noorhisham Ab Hamid.
"Waktu kejadian (kemalangan) saya baru nak tidur, dengar bunyi macam ada orang eksiden, saya diam saja," cerita Attar.
PESANAN IBU
Dia dalam pada itu berkongsi pesanan ibunya yang mesra disapa mimi sehingga kini masih terngiang-ngiang di telinganya.
"Kalau belajar nombor satu tapi tak hormat ibu bapa tiada gunanya. Selalu mimi cakap begitu,"ungkap Attar sambil menitiskan air mata.
Ditanya bagaimana mereka sekeluarga menangani emosi anak saudaranya, beliau mengakui rasa sakit hati dengan segelintir netizen yang memuat naik gambar atau video tanpa mengambil kira perasaan keluarga.
"Dunia sekarang semakin canggih dan lebih ramai nak jadi wartawan segera. Kalau setakat ambil gambar kereta itu tidak mengapa, tetapi kalau arwah terbujur tepi jalan tak perlu lah ambil.
"Bila waris nampak memang sakit hati namun tidak boleh buat apa-apa. Setakat ini Attar masih kecil dan tiada Facebook dan sebagainya. Cuma, dia ada minta nak tengok video kemalangan tetapi saya cakap tidak simpan," ulasnya.
NAK JADI USTAZ
Attar juga mengakui mahu mengikut jejak langkah arwah ayahnya sebagai seorang ustaz suatu masa kelak.
"Semoga ALLAH masukkan kedua adik dan ibu bapa saya ke dalam syurga, itu sahaja. Saya juga sentiasa mendoakan mereka.
"Saya juga nak jadi ustaz macam abah," ujarnya penuh makna.
Untuk rekod, empat beranak maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Gua Musang - Kuala Krai dekat Kampung Pahi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu, mangsa yang maut ialah pasangan suami isteri, Syukran Jamil Ab Hamid, 35, dan Noor Aisyah Razali, 35, manakala anak mereka, Lufya Adeena Syukran Jamil berumur setahun.
Seorang lagi anak mereka Ahya Rafiqi, 6, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang