Isteri 'terberanak' masa traffic jam raya, lelaki syukur hajat sambut kelahiran anak dimakbulkan, kisah unik Baby Triton tular
Isteri terberanak masa traffic jam raya, lelaki syukur termakbul hajat sambut anak keempat, kisah unik Baby Triton raih perhatian warganet
PROSES kelahiran adalah situasi cemas yang melibatkan dua nyawa iaitu ibu dan bayi. Saat mendebarkan itu terpaksa dilalui seorang lelaki, Mohd Safiq Jamaluddin, 36, apabila isterinya Nor Anis Mohd Arif, 37, bersalin ketika dalam perjalanan ke Hospital Rembau yang jaraknya 8 kilometer dari rumah mereka.
Menurut Mohd Safiq, sakit bersalin mula dirasakan oleh Nor Anis sejak pagi hari raya ketiga lagi namun wanita itu enggan ke hospital kerana menganggap ia hanya sakit biasa. tambahan pula tarikh jangkaan bersalin pada 8 Mei 2023 masih berbaki lebih dua minggu lagi.
Baca juga: Baru bergerak 2km ke hospital, wanita bersalin dalam kereta raih perhatian warganet
Bagaimanapun sakit yang berterusan menyebabkan Mohd Safiq mengajak isterinya ke hospital pada jam 9.45 malam. Disebabkan keadaan jalan yang agak sesak berikutan orang ramai keluar beraya menyebabkan perjalanannya ke hospital dirasakan jauh.
“Keluar je ke jalan utama, jalan jam. Ramai habis cuti raya. Tol pun free masa tu. Ramai ambil peluang untuk balik ke ibu kota. Pasang lampu hazard tapi tiada siapa pun nak layan.
“Isteri siap posisi menonggeng dalam kereta sebab sudah nak bersalin. Mana laluan yang boleh dilalui saya lalu je tapi tidak semua bagi laluan walaupun tangan puas melambai dan tanda isyarat dibuat.
“Pukul 10.00 malam saya dengar air ketuban pecah. Aku masa tu Ya ALLAH. Saya minta isteri tahan kejap tetapi dia meneran,” kongsi Mohd Safiq.
Pada kira-kira jam 10.05 malam isterinya memberitahu beberapa kali bahawa bayi telah pun lahir. Ketika itu perjalanan mereka hanya berbaki 1 km untuk sampai ke Hospital Rembau.
“Aik, tak ada bunyi baby menangis pun. Saya berangapan isteri panik ketika tu. Saya pun raba kerusi sebab dan rasa ada benda. Saya selak, Ya ALLAH kepala budak. Anak saya sudah ada di atas kerusi kereta dan 'auto' menangis apabila nampak cahaya lampu. Pada masa itu aku terus masuk ke laluan bertentangan sambil memasang lampu tinggi kerana tiada siapa yang memberi laluan,” jelasnya.
Baca juga: Wanita harungi detik cemas, bersalin dalam kereta beberapa jam selepas hospital minta balik ke rumah
Sebaik tiba, pengawal keselamatan bertanya apa yang berlaku dan mereka mula berhubung dengan walkie-talkie sebelum kakitangan hospital lain memberikan rawatan. Tali pusat bayi terlebih dahulu dipotong dan kemudian isterinya pula dirawat.
Baca juga: Wanita dibuang kerja terima pampasan RM39,000 gara-gara hamil lagi ketika cuti bersalin
Mohd Safiq mendedahkan beliau tidak dapat berada di sisi isteri tercinta semasa kelahiran anak pertama, kedua dan ketiga atas pelbagai faktor termasuk kelahiran secara pembedahan caesarean dan terpaksa berjauhan kerana tugas kepada negara.
"Tapi tak sangka dapat juga saya sambut kelahiran anak keempat ini walaupun dalam keadaan yang agak mencemaskan.
"Sebelum ini saya ada terfikir kalau anak keempat ini saya tak dapat juga sambut, nampaknya kami kena tambah anak lagi," katanya secara berseloroh.
Apa yang melucukan, beliau turut mendedahkan ramai yang menggelar anak keempatnya itu sebagai Mat Triton kerana dilahirkan ketika berada dalam kenderaan pacuan empat roda itu.
“Ramai panggil anak aku Mat Triton, ada juga nama jadi Muhammad Triton Syawal nanti ni. Tolong bagi idea nama anak yang sesuai,” coret Mohd Safiq.
Warga maya mengucapkan tahniah buat pasangan itu dan berharap bayi berkenaan membesar dengan sihat.
- "Kalau lahir dalam kapal terbang dapat terbang seumur hidup percuma.Sila rujuk dengan T&C."
- "Congratulations to the family's wish the baby in good health."
- "Ya ALLAH. Alhamdulillah selamat semuanya. Tahniah dapat baby raya."
Baca juga: Tarikh jangka sudah lepas belum bersalin lagi, ibu hamil overdue lebih 42 minggu ini puncanya
KELAHIRAN ANAK KEDUA DAN SETERUSNYA LEBIH MUDAH? INI SEBABNYA
Untuk pengetahuan anda, proses kelahiran yang tidak dipantau kakitangan terlatih dan bertauliah adalah berisiko.
Ia mendedahkan ibu dan bayi kepada pelbagai risiko seperti tumpah darah, bayi lemas, jangkitan kuman dan sebagainya.
Menurut Halodoc, proses bersalin anak kedua akan mengambil masa yang lebih cepat daripada anak pertama kerana bahagian serviks akan terbuka lebih lebar saat melahirkan anak kedua.
Otot dan ligamen menjadi lebih santai dan bersedia. Ini kerana semuanya sudah diregangkan dan mudah lentur kerana 'jalan lahir' sudah ada. Oleh sebab itu juga tempoh bersalin lebih pendek dan singkat, malah keletihan tidak akan ketara dirasai oleh ibu.
Pun begitu, setiap wanita hamil untuk kehamilan kedua, ketiga atau seterusnya, perlu sentiasa bersedia untuk berdepan proses kelahiran yang lebih mencabar berbanding sebelumnya.
Sumber: Mohd Safiq, Sinar Harian, Hello Doktor 1, Halodoc
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang