Kreatif! Daripada ukiran batu nisan ke kanvas seni

No Image Caption
A
A
A

SEJAK berusia 12 tahun lagi, Aleng Tohara sudah berjinak-jinak dalam seni bermula dengan ukiran kerawang dan nama pada batu nisan di sebuah bengkel milik jirannya di Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor, Selangor.

Hampir setiap malam dan hujung minggu, masa terluangnya diisi dengan membantu Allahyarham bapanya menyiapkan tempahan batu nisan. Bermula dari saat itu, minat mendalam dalam bidang seni lukis mula terpupuk.

Mengimbas kembali sejarah penglibatan dalam bidang seni, pemilik nama sebenar Abdul Jalil Toha @ Tohara yang berusia 45 tahun itu tidak menafikan, dorongan kuat juga datang daripada arwah abang dan bapa saudaranya.

“Keterujaan mengekperimentasikan seni abstrak pada kanvas polos disemarakkan dengan kejayaan hasil seni arwah abang yang ketika itu melanjutkan Ijazah Sarjana Muda (Seni Halus) UiTM.

“Semangat saya ketika itu cukup tinggi lebih-lebih lagi bapa saudara pula seorang pensyarah bidang sama di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Meskipun bersekolah agama, namun minat mendalam tidak menghalang untuk saya belajar seni secara sendiri,” ujarnya.

alengALENG TOHARA bersama sebahagian koleksi seni yang dihasilkan dengan cerita tersendiri.

Menariknya, meskipun anak kelahiran Sabak Bernam Selangor itu tidak memiliki sebarang pendidikan formal dalam bidang seni lukis namun pemilik jenama Paintalengtohara tersebut mampu berdiri setanding pelukis terkemuka negara.

“Meskipun saya memiliki diploma pendidikan, ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan maklumat dan kini sedang melanjutkan pendidikan ke peringkat sarjana, semua itu tidak menghalang saya untuk terus berkarya.

“Karier saya dalam bidang seni mula berkembang pada tahun 2003 selepas teruja melihat karya lukisan yang tergantung di rumah pelanggan dan ketika itu, saya aktif sebagai jurumekap majlis perkahwinan secara sambilan,” katanya.

Tutur bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sabak Bernam, ketika itu, dirinya mula memahami erti seni sebenar dan mula jatuh cinta dengan lukisan abstrak.

“Sebenarnya, saya sukakan kelainan. Lebih memilih medium campuran dan abstrak kerana warnanya yang kekal serta vibrant selain lebih cepat kering berbanding warna minyak.

“Lagi satu, saya terdorong untuk terus aktif apabila melihat ramainya artis tempatan yang kreatif menghasilkan rona unik penuh cerita di pameran-pameran sekitar Lembah Klang,” kongsi anak kedua daripada enam beradik itu.

alengANTARA mahakarya milik Aleng Tohara yang menaikkan seri kamar tidur.

Mahakarya

Mengulas lebih lanjut mengenai karya Aleng Tohara, hasil contengan dan oles warna berdasarkan cerita hati itu berjaya menarik perhatian pencinta seni lain bahkan karya seninya terjual pada awal pembabitan seni abstrak.

“Saya bagaikan tidak percaya apabila karya seni pertama saya dibeli orang. Mungkin elemen puitis dan imaginasi berdasarkan cerita kerana setiap hasil ciptaan memiliki jalan ceritera tersendiri.

“Salah satu keunikan seni abstrak ini, saya hanya menggunakan tangan, jari dan kuku untuk menghasilkan satu mahakarya tanpa sebarang penggunaan berus,” katanya yang turut menghasilkan lima antologi puisi dan buku kanak-kanak.

alengKARYA Fauziah 2015 yang dihasilkan daripada kisah adik Aleng mempunyai cerita tersendiri.

Berkongsi mengenai resipi kejayaan dalam bidang seni, bicaranya, bakat yang ada dalam setiap insan adalah sesuatu yang luar biasa namun jika tiada usaha, ia tidak akan ke mana.

“Ini kerana minat, bakat dan usaha adalah kunci kejayaan bahkan prinsip tersebut menjadi tunjang utama hidup saya untuk mengembangkan lagi keupayaan seni sehingga ke seantero dunia.

“Nasihat saya, jangan malu untuk berkarya dan carilah kreativiti atau keunikan diri sendiri yang lain daripada lain supaya nilai seni dapat dimartabatkan,” katanya.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca