Pencapaian luar biasa buat anak Orang Asli, kisah Edmund tamatkan pengajian di luar negara cetus inspirasi
MEMBANGGAKAN. Itulah reaksi masyarakat apabila anak Malaysia berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara untuk peringkat sarjana mahu pun doktor falsafah sekali gus mengharumkan nama negara.
Antara nama yang sering menjadi sebutan di media sosial dengan pencapaian cemerlang adalah seperti Dr. Amalina Che Bakri, Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim dan ramai lagi.
Sebenarnya, bukan mudah untuk menamatkan pengajian tanpa kesungguhan diri, namun semua kerja keras selama tiga hingga empat tahun atau lebih itu berbaloi sebaik sahaja dapat pulang dengan segulung ijazah, master atau PHD.
Lebih mengujakan jika antara insan-insan berjaya tersebut datangnya daripada anak-anak Orang Asli.
Baru-baru ini, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) berkongsi satu berita yang cukup menggembirakan di laman Facebook rasminya.
Dalam perkongsian berkenaan, agensi kerajaan tersebut merakamkan ucapan tahniah kepada anak jati Perak dari suku Semai, Edmund Ross Williams Hunt.
Pemuda itu berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang teater muzikal dengan kepujian di Goldsmiths University of London.
Lebih membanggakan, Edmund yang juga salah seorang daripada 38 penerima tajaan Anugerah Biasiswa Chevening oleh Foreign, Commonwealth and Development Office (FDCO) United Kingdom pada tahun 2020.
Untuk anugerah berkenaan, hanya seramai 1,300 sarjana sahaja yang terpilih daripada 60,000 permohonan di seluruh dunia. Hebat bukan?
Dalam perkongsian JKOA, terdapat banyak lagi pencapaian yang direkodkan Edmund dalam bidang seni kreatif.
Antaranya, beliau pernah mengikuti kursus Creative Producing di CGO Institute pada tahun 2021 secara separuh masa dan berjaya merangkul diploma.
Berikut antara portfolio tambahan yang dikongsikan:
1. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Pemakanan dan Kesihatan Komuniti) di Universiti Putra Malaysia.
2. Pemegang Ijazah Kepimpinan Pendidikan (Lulus dengan Kepujian) di Universiti Malaya.
3. Beliau turut pernah mengikuti kursus pendek dalam bidang teater dan seni persembahan di National Institute of Dramatic Art, Sydney, Australia dan Royal Conservatoire of Scotland, Glasgow, United Kingdom.
4. Pernah berkhidmat sebagai Pegawai Sains (Pemakanan) di Kementerian Kesihatan Malaysia dan Penolong Pendaftar di Universiti Malaya.
Baca juga [VIDEO] Gadis Orang Asli nangis terharu, terima telekung cantik. Belum ada rezeki beli sendiri
Boleh dikatakan memang beliau kuat study kerana dalam tempoh pengajian sarjana itu, Edmund juga mengambil peluang mengikuti kursus-kursus lain.
Boleh jadi, kejayaan yang dicapai boleh dijadikan inspirasi kepada anak muda yang lain untuk belajar bersungguh-sungguh dalam semua bidang yang diceburi.
Selain dana pembiayaan kerajaan, terdapat juga biasiswa luar negara yang disediakan untuk mereka yang berminat untuk menyambung pengajian.
Baca juga [VIDEO] Straight 'A' UPSR hingga SPM, pelajar cemerlang jadi pengawal keselamatan demi rezeki halal
Tepuk dada, tanya selera. Jika ada kesungguhan dan kemampuan, semua yang diinginkan boleh dicapai.
Tidak hanya Edmund, senarai nama anak Orang Asli yang berjaya dalam pelajaran juga dikongsi di portal rasmi JKOA sebagai sumber inspirasi kepada semua.
Nama-nama yang diraikan seperti berikut:
1. Zumika Azmi dan Sasha Azmi
Pasangan adik beradik yang berasal dari suku kaum Temiar di Gua Musang Kelantan. Mereka aktif bersukan sehingga berjaya mewakili Malaysia sebagai skuad kebangsaan dalam sukan kriket.
2. Jay Nurivanna Asrienza Jaya
Anak sulung dari suku kaum Temuan yang berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Muda Sains Komputer di Universiti Putra Malaysia.
3. Norashikin Mohamad Sayed
Merupakan anak Orang Asli pertama yang mewakili negara dalam sukan layar dan meraih pingat perak (Sukan Asia China 2010), pingat emas (Kejohanan Kapal Layar Asia China 2010), pingat gangsa (Sukan SEA Myanmar 2012), pingat emas (Sukan SEA Singapura 2015) dan pingat perak (Sukan SEA KL 2017).
Jangan lupa follow kami di Instagram!
4. Muhammad Nasri Mamat dan Zaidi Rashid
Antara anak Orang Asli yang berjaya mencipta nama dalam arena bola sepak selepas dilamar Persatuan Bola Sepak Kelantan untuk mencuba nasib dalam pemilihan pemain skuad Piala Presiden Kelantan.
5. Emaliana Bah Ali
Muncul sebagai anak Orang Asli pertama di Perak yang meraih keputusan cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan 3.75.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang