Pernah digelakkan pelajar PhD Malaysia di Melbourne, ini nasihat Azizulhasni
SEMUA maklum dan mengenali jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang banyak kali mencipta kemenangan dan mengharumkan nama negara di pentas dunia.
Malah, tiga hari lalu beliau turut mengungguli kedudukan carta dalam saingan Kejohanan Trek Elit Victoria yang berlangsung di Velodrome Pusat Sukan Antarabangsa Darebin di Melbourne.
Terbaharu, beliau turut berkongsi pengalaman terhadap isu yang sedang hangat diperkatakan rakyat negara kita sekarang iaitu 'komunikasi berbahasa Inggeris'.
Apa yang SinarPlus paling tertarik dengan perkongsian beliau yang juga dikenali 'Pocket Rocketman' itu adalah apabila dua pelajar Doctor of Philosophy (PhD) Malaysia berbangsa Melayu memperlekehkan penguasaan bahasa Inggerisnya ketika kali pertama menjejakkan kaki di
Melbourne.
"Tahun 2007 masa saya baru-baru sampai ke Melbourne dulu, saya ingat lagi saya dan rakan sepasukan menghadiri ‘bbq party’ dengan sebuah komuniti Melayu di Melbourne . Ni bukan party cucuk langit ye korang, ini aktiviti biasa di perantauan, buat bbq di mana-mana taman (park) dan berkumpul untuk beramah mesra dan kenal antara satu sama lain.
"Dalam komuniti tersebut ramai yang melanjutkan PhD, kira hebat dan bukan bishe-bishelah. PhD yang saya maksud tersebut bukanlah perasaan hasad dengki tetapi adalah Doctor of Philosophy ye.
"Jadi saya ni macam biasalah, suka 'take part in conversation' walaupun tak kenal atau baru-baru kenal dengan orang. Ini adalah kerana saya ingin tingkatkan kemahiran komunikasi serta penguasaan bahasa Inggeris saya yang ketika itu berada pada tahap bishe-bishe saje.
"Entah macam mana 'our conversation' adalah berkenaan dengan Chromosome, DNA dan RNA semua ni lah. Dalam kepala saya teringat kereta Proton Gen2 di pasaran Malaysia. Kite sebut Gen2 adalah 'Jen Tu' kan. Jadi saya dengan yakinnya menyebut 'Jen' untuk merujuk kepada 'Gene' (terdiri dari DNA-boleh google kalau tak tahu) dan sebutan saya itu salah. Sebutan yang betul adalah 'Jin' (tak ada kaitan dengan jin pakai toncet ye kawan-kawan).
"Terus saya digelakkan oleh dua pelajar PhD yang berbangsa Melayu. Yang si perempuan tu gelakkan sambil berpusing ke belakang dan meletakkan tangan ke dahinya. Dan yang lelaki pula acah-acah tersembur air dari mulutnya yang ketika itu tengah minum air sirap merah,"
katanya.
Menurutnya, mereka tidak memberitahu akan kesilapan tersebut.
"Kedua-keduanya langsung tidak memberitahu akan kesilapan saya itu dan saya tahu pun selepas ada antara rakan mereka itu menceritakan kepada saya setelah di canang-canang kisah tersebut."Saya langsung tidak sakit hati dan marah, kerana saya tahu tahap saya dan saya masih lagi dalam proses untuk belajar. Itulah sikap orang Melayu kita kawan-kawan yang dikasihi sekalian.
"Itu sekitar tahun 2007 tu, ni kita dah masuk era baru tahun 2021 pun, masih ramai di kalangan kita yang mempunyai perangai menggelabah seperti itu," ujarnya.
Tambah Azizul, berbeza pula situasi apabila berada di kalangan orang barat kerana mereka membantu perbetulkan dan tiada langsung ketawa mempersendakan dirinya.
"Berbeza pula apabila saya berada di kalangan Mat Salleh (orang Barat). Bukannya nak puji mereka, tapi akhlak mereka sangat jauh terpuji dari bangsa kita."Banyak kali saya tersilap ketika berkomunikasi, tetapi mereka membantu perbetulkan sama ada dari segi 'grammar' mahupun sebutan dan sebagainya.
"Langsung tidak ada gelak-gelak memperlekeh dan jauh sekali mereka memerli. Berdasar pengalaman saya, 100% daripada mereka semuanya begitu dan belum pernah saya digelakkan mereka kerana membuat kesilapan ketika berkomunikasi.
"Dan di kalangan rakan-rakan Mat Salleh saya, ada antara mereka yang mempunyai 'grammar' berterabur juga walaupun mereka itu lahir dalam keluarga Mat Salleh.
"Ada juga yang tidak fasih mengeja dan mereka siap rujuk kepada saya untuk ejaan. Dan perlu diketahui yang bahasa Inggeris ini mempunyai terlalu banyak ‘slang’ atau loghat yang berbeza-beza sebutannya.
"Pengalaman mengembara seluruh dunia dan khususnya ketika berada di Sukan Olimpik, di situ ada pelbagai bangsa dari pelbagai negara, siap ada negara yang kita tak pernah tahu kewujudannya.
"Apabila berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, mereka juga mempunyai kesulitan untuk memahami loghat masing-masing, tetapi mereka ni tetap menghormati antara satu sama lain dan inilah contoh yang kita perlu pelajari," katanya.
Namun, Azizul turut mengatakan perkongsian ini bukan bertujuan mempertahankan mereka yang membuat kesilapan dalam bahasa tersebut.
"Saya bukannya nak mempertahankan mereka yang membuat kesalahan dalam bahasa Inggeris ini, tetapi jangan kita memperlekeh dan merendahkan orang lain atas sebab itu."Mereka yang kurang fasih ini juga, nasihat saya jangan bangga kerana korang tidak fasih, tetapi sentiasa cari ruang untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan jangan cepat putus asa.
"Mereka yang pandai pula, bantulah mereka yang kurang pandai ini. Bukankah satu perasaan yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit apabila kita berjaya membantu orang lain.
"Dan jika semua daripada kita mempunyai sikap yang sama seperti ini, tidak ada sebab untuk masyarakat kita tidak melangkah maju ke hadapan. Kalau kita lihat dari segi pembangunan negara, kita sudah tidak jauh untuk mencapai status ‘Developed Country’ akan tetapi jika kita lihat dari segi sikap dan mentaliti pula, saya minta maaf, kita masih sangat jauh di belakang.
"Minta maaf, minta ampun rakan-rakan sekalian jika saya ada tersilap kata atau menyakiti sesiapa di luar sana. Saya harap nukilan ini membantu untuk membuka mata masyarakat kita untuk ke arah yang lebih baik," pesan beliau.
Beliau turut berkongsi kata-kata Jackson Brown Junior,"Never make fun of someone who speak broken English. It means they know another language".
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang