Tak kisah kalau nak bercuti, tapi jaga bajet, perbelanjaan sekolah anak-anak perlu diutamakan
Tak kisah kalau nak bercuti, tapi jaga bajet, perbelanjaan sekolah anak-anak perlu diutamakan
IMPAK virus Covid-19 bukan biasa-biasa. Satu dunia lumpuh. Antara yang paling terkesan adalah sektor pelancongan.
Pun demikian, itu semua cerita lama. Kini, peraturan semakin longgar dan kita semua sudah boleh ke sana dan ke mari.
Susulan itu, trend orang ramai pergi melancong semakin 'kencang'. Bukan sahaja destinasi popular, malah lokasi yang sebelum ini kurang dikenali penuh dengan orang ramai.
Pada hujung tahun ini, pasti lebih gamat. Ibu bapa akan tinggalkan ofis buat seketika untuk membawa anak-anak bercuti.
Meninjau kepada graf dinamik permintaan sektor pelancongan yang semakin meningkat, saya berharap sektor pelancongan yang lebih inklusif dan berdaya tahan perlu dibina.
Bukan apa, implementasi itu sesuai dengan situasi terkini negara yang masih hidup dengan virus Covid-19.
Menjengah kepada statistik semasa, sebanyak 1,649 kes baharu Covid-19 dicatatkan dengan 16 kes kematian baharu. Lihat, inilah buktinya.
Justeru, kepada anda yang mahu keluar rumah, harus mengambil langkah berhati-hati kerana kita belum menang lagi. Bukan hanya di Malaysia, bahkan negara lain juga masih mengambil pendekatan yang sama.
Pada pandangan saya, tidak salah jika mahu membawa keluarga untuk bercuti, namun pastikan amalan norma baharu seperti pemakaian pelitup muka dipraktikkan setiap masa. Elakkan tempat yang terlampau sesak dengan orang dan pastikan cecair pembasmi kuman sentiasa digunakan.
Satu perkara yang ingin saya tegur, ibu bapa atau penjaga janganlah terlalu ghairah mahu berlibur sehingga sanggup mengheret anak-anak yang tidak sihat bersama.
Mungkin ada yang memberi alasan kononnya sudah membeli tiket dan sebagainya, namun jangan sesuka hati pertaruhkan nyawa anak sendiri dan juga orang lain demi kepentingan diri!
Ia merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Duit boleh dicari, tetapi nyawa tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
Fikir dulu sebelum melakukan sesuatu perkara yang bukan sahaja menyusahkan keluarga kita, malah kepada pihak lain yang tidak bersalah. Ingat, lebih baik gadaikan tiket yang sudah dibeli daripada nyawa zuriat sendiri.
SOP MASIH DIPERLUKAN
Saya tidak nafikan, kebanyakan negara di dunia ini sudah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP). Cuma di China, mereka mengekalkan SOP yang ketat lantaran peningkatan kes yang drastik.
Pendekatan itu nampaknya telah membuatkan sebahagian rakyatnya melakukan protes kerana menganggap keputusan tersebut menggugat kebebasan mereka.
Sebenarnya, bagi saya, SOP masih diperlukan, cuma perlu dilonggarkan mengikut kewajaran.
Ia penting untuk dilakukan bagi membantu memulihkan ekonomi termasuk dalam industri pelancongan. Paling asas, tolong hadkan jumlah orang di sesuatu kawasan dan pemakaian pelitup muka mesti diberi penekanan sebagai 'sangat digalakkan' apabila keluar rumah.
Bukan apa, saya lihat, kadang-kadang di satu-satu lokasi tumpuan, orang bersesak-sesak dan ada yang berani tidak memakai pelitup muka.
Saya takut jika negara kita terpaksa kembali hidup dalam SOP yang lebih ketat dan tidak mustahil Perintah Kawalan Pergerakan akan dikuat kuasakan sekali lagi.
Kita kena beringat bahawa ekonomi Malaysia masih dalam situasi genting. Tekanannya sudah dirasai sekarang. Hasil pembacaan saya, terdapat pakar meramalkan bahawa negara di seluruh dunia bakal mengalami kemerosotan ekonomi yang teruk pada tahun depan.
Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai agar lebih berjimat-cermat terutama dalam bab bercuti.
Tak perlulah mengejar trend. Janganlah cepat terpengaruh dengan taktik pemasaran agensi pelancongan yang terlalu beria-ia. Tak salah untuk berlibur, tetapi kena ukur baju pada badan sendiri.
Saya sendiri, sebelum melancong akan buat kira-kira untuk semua bajet yang digunakan. Kemudian, saya akan bandingkan semua harga sebelum membuat keputusan.
Sedikit tip daripada saya, kepada anda yang mahu melancong ke luar negara boleh gunakan kemudahan Sky Scanner ataupun kiwi.com untuk membeli harga tiket penerbangan yang murah.
'Trik' yang saya kongsi itu haruslah dipraktikkan oleh masyarakat terutamanya pada masa kini. Jadilah seorang warga yang bijak.
KETEPIKAN EGO DAN NAFSU
Bercakap soal cuti lagi, ibu bapa jangan lupa bahawa sesi persekolahan baharu bakal dibuka pada Mac 2023. Kos pendidikan sekarang bukan macam dulu lagi. Ia meningkat saban tahun dan sudah pasti perbelanjaan yang banyak perlu disediakan terutama mereka yang mempunyai bilangan anak yang ramai.
Utamakan yang lebih penting, bercuti bila-bila masa pun boleh. Masa hadapan anak-anak yang wajib diutamakan.
Cabarannya bukan setakat itu sahaja, masyarakat beragama Islam juga bakal menyambut Ramadan pada penghujung Mac, disusuli Hari Raya Aidilfitri sebulan kemudian.
Sekali lagi, kebijakan kita dalam menabung sangat didambakan. Perlu ada strategi dalam mengendalikan kewangan. Letak tepi ego dan nafsu dalam membeli benda-benda yang tidak perlu. Mengapa mahu menanggung beban yang akhirnya akan menyusahkan kita sendiri?
Kalau tanya saya, untuk menghiburkan anak-anak ada banyak caranya. Tidak semestinya dengan melancong sahaja. Anda boleh mencuba aktiviti yang lebih berkesan dan menceriakan di rumah ataupun di lokasi-lokasi menarik yang berdekatan.
Ibu bapa perlu lebih kreatif dalam menyemarakkan percutian agar anak-anak rasa lebih gembira. Sebagai contoh, anda boleh menghantar mereka mengikuti kursus pendek untuk belajar kemahiran yang lebih mendatangkan manfaat.
Di sini, saya juga ingin kongsikan cara saya menyimpan. Usai tamat pengajian, saya sediakan tabung khusus untuk pendidikan. Hasil tabungan tersebut saya gunakan untuk belajar hal-hal yang baharu.
Nasihat saya buat keluarga yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, anda boleh cuba kaedah itu. Cuma bergantung berapa banyak yang anda mampu untuk simpan.
Lebih untung dan selamat jika tabungan itu disimpan dalam bank. Dengan situasi sekarang, lebih baik sediakan payung sebelum hujan.
Sebelum saya menutup tirai bicara pada tahun 2022 ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua. Ya, dalam masa kurang daripada 20 hari lagi kita akan menuju tahun 2023.
Pastinya, masing-masing mempunyai azam baharu. Soalan saya, bagaimana dengan visi dan misi tahun 2022, sudah tercapaikah?
Jika ya, tahniah diucapkan. Kalau belum, apa kata ia kita perbaharui dan melakukan penambahbaikan. Pada saya, usaha itu lebih penting dan perlu ada integriti untuk memastikan azam tersebut tercapai.
Apa-apapun, saya berharap pembukaan tahun baharu akan membawa lebih kejayaan kepada kita semua.
Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang