Hamil, berpantang dan duduki final exam serentak, Syasya Rizal buktikan kemampuan — 'Ada hari tertanya, boleh ke survive?'
BAGI penyanyi muda, Syasya Rizal, satu semester pengajian yang lalu menjadi saksi bagaimana seorang wanita boleh melalui fasa paling mencabar dalam hidupnya tanpa memilih untuk mengalah.
Bayangkan, dalam tempoh beberapa bulan yang sama, dia mengetahui dirinya hamil, meneruskan rutin ke kelas, berdepan alahan pagi yang memenatkan, menyiapkan tugasan ketika perut semakin membesar, melahirkan anak, menduduki peperiksaan akhir dan melalui tempoh berpantang, semuanya dalam satu semester.
Menerusi perkongsian di Threads, bekas ahli kumpulan gadis Malaysia, Dolla tersebut menyifatkan semester tersebut sebagai sesuatu yang 'gila', bukan dalam erti kata negatif, tetapi kerana terlalu padat dengan peristiwa besar yang mengubah hidupnya.
“Semester lepas memang 'gila'. Saya dapat tahu saya hamil, pergi kelas dengan alahan pagi, hantar tugasan dengan perut yang makin membesar, melahirkan anak, duduk peperiksaan akhir dan melalui tempoh berpantang.
"Semuanya dalam SATU semester,” tulisnya.
Kehamilan bukan sekadar perubahan fizikal. Ia melibatkan hormon yang tidak menentu, emosi yang mudah tersentuh dan tenaga yang sering kali merosot.

Dalam keadaan biasa pun, ia sudah memerlukan sokongan dan rehat yang mencukupi. Apatah lagi jika digabungkan dengan komitmen akademik yang tidak pernah menunggu.
Pemilik nama sebenar, Norsyasya Afiqah Shahrizal itu mengakui ada hari-hari dia mempersoalkan kemampuan diri sendiri.
“Ada hari saya tanya diri sendiri, ‘boleh ke aku survive ni?’ Fizikal memang penat, emosi rapuh, hormon pun tunggang-terbalik.
"Tapi entah macam mana, ALLAH bagi kuat,” kongsinya.
Ayat itu sederhana, tetapi cukup menggambarkan realiti ramai wanita yang berjuang dalam diam. Kuat bukan bermaksud tidak pernah lemah, tetapi tetap melangkah walaupun hati penuh persoalan.
Apabila keputusan peperiksaan diumumkan, kebiasaannya perkara pertama yang dicari adalah gred.

Namun bagi Syasya, detik itu membawa makna yang jauh lebih mendalam.
“Bila keputusan keluar hari ini, saya tak nampak gred dulu. Saya nampak perjalanan itu,” luahnya.
Perjalanan yang dimaksudkan bukan sekadar hadir ke kelas atau menjawab soalan peperiksaan. Ia tentang bangun pagi walau tubuh terasa berat.
Tentang menyiapkan tugasan ketika emosi tidak stabil. Tentang memilih untuk terus komited walaupun kehidupan peribadi sedang berubah sepenuhnya.
Dalam perkongsian sama, Syasya turut memuat naik tangkap layar keputusan akademiknya yang memperlihatkan CGPA 3.48 dan GPA 3.59, satu pencapaian yang bukan sahaja membanggakan, malah membuktikan bahawa cabaran besar tidak semestinya menjadi penghalang untuk cemerlang.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

