3 dari 10 orang hidap tekanan darah tinggi, jangan berhenti makan ubat walau rasa sihat, garam & obesiti bukan satu-satunya punca

A
A
A

HIPERTENSI atau tekanan darah tinggi adalah penyakit yang kerap mengancam kesihatan.

Penyakit ‘senyap’ ini boleh membawa kepada komplikasi dan kematian jika tidak dirawat.

Di Malaysia, tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi II menunjukkan prevalens sebanyak 24 peratus untuk penyakit ini.

Bersempena Hari Hipertensi Sedunia yang disambut pada 17 Mei setiap tahun, kini adalah masa yang tepat untuk kita mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai perkara-perkara yang kurang diketahui yang boleh menyebabkan paras tekanan darah kita meningkat.

Dengan lebih 30 peratus orang dewasa Malaysia menghidapi penyakit ini, maka sudah tiba masanya kita serius dalam memastikan tekanan darah kita terkawal.

Baca juga: Roslan Shah rebah kerana tekanan darah tinggi, ini faktor pembunuh senyap berlaku

Kredit foto: Freepik

Banyak perkara yang rakyat Malaysia gemari, antaranya makanan dan cuti umum. Namun, ada satu lagi persamaan yang kebanyakan daripada kita hidapi, iaitu hipertensi atau tekanan darah tinggi.

Betullah apa yang anda baca itu. Kadar hipertensi di Malaysia adalah sangat tinggi di mana tiga daripada 10 orang dewasa terjejas oleh situasi yang kronik ini.

Sayang sekali, biarpun keadaan ini semakin meluas, ramai yang tidak begitu mengambil serius mengenainya, malah kira-kira separuh daripada mereka tidak menyedarinya kerana hipertensi tidak dikaitkan dengan sebarang gejala yang ketara.

Pakar Perubatan Keluarga, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Profesor Madya Dr Verna Lee Kar Mun

“Hipertensi atau tekanan darah tinggi dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana kebanyakan orang berasa sihat walaupun menghidapinya.

“Namun begitu, sikap tidak mengendahkannya boleh membawa kepada komplikasi serius seperti strok dan kegagalan organ dalam badan.

“Sebaik sahaja munculnya tanda-tanda amaran seperti penglihatan yang kabur, pening-pening, sakit dada dan kesukaran untuk bernafas, ini bermakna komplikasi sudah pun berlaku,” jelas Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Profesor Madya Dr Verna Lee Kar Mun.

Baca juga: Ibu hamil punyai tekanan darah tinggi, diabetes lebih mudah diserang strok

Kredit foto: Freepik

Faktor-faktor risiko termasuklah sejarah keluarga yang menghidapi hipertensi, obesiti, gaya hidup yang tidak aktif dan diet tidak sihat yang mengandungi kandungan garam yang tinggi.

Sekiranya kesemua faktor itu berkaitan dengan anda, besar kemungkinan anda berisiko untuk mendapat hipertensi.

Berikut adalah tiga perkara yang perlu anda lakukan untuk memastikan tekanan darah (blood pressure-BP) anda dalam julat normal, sekaligus mengurangkan risiko anda untuk mendapat komplikasi.

Baca juga: Amalan makan suku suku separuh boleh susut berat badan, kawal tekanan darah

Periksa BP selalu

Jangan takut untuk memeriksa tekanan darah anda. Anda sepatutnya berusaha untuk memeriksa tekanan darah sekurang-kurangnya setahun sekali walaupun anda sihat, nasihat Dr Verna.

Bagi memudahkan urusan, dapatkan pemeriksaan tekanan darah setiap kali anda berjumpa doktor semasa mendapatkan konsultasi apabila batuk atau selesema.

Walaupun tekanan darah lazimnya akan sedikit naik semasa anda tidak sihat, ia sepatutnya tidak akan melepasi 140/90.

Hanya bacaan yang melebihi 140/90 secara konsisten walaupun tiada penyakit akan didiagnosis sebagai menghidap hipertensi, terang Dr Verna.

Sebab itulah penting untuk memeriksa tekanan darah dengan kerap, sama ada di rumah atau di klinik supaya anda dan doktor anda tahu apakah tekanan darah normal anda.

Bagi orang yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap hipertensi, mereka lebih berisiko tinggi untuk menghidapinya dan perlu lebih kerap mendapatkan pemeriksaan supaya tekanan darah tinggi dapat diteliti oleh doktor.

Kekerapan pemeriksaan juga dapat mengesan hipertensi lebih awal, di mana perubahan gaya hidup dan rawatan berkemungkinan lebih berkesan.

Sementara itu, orang yang sudah pun didiagnosis menghidap hipertensi, perlulah mempunyai alat untuk memantau tekanan darah di rumah.

Berbincanglah dengan doktor anda mengenai kekerapan pemeriksaan tekanan darah yang perlu anda lakukan supaya doktor dapat menyemak dan memerhati jika keadaan anda diurus dengan baik.

Baca juga: 7 perkara yang anda tak sangka boleh tingkatkan tekanan darah termasuk bersendirian, ujar kajian pakar

Ambil tahu punca tekanan darah tinggi

Kredit foto: Freepik

Dr Verna mengingatkan agar mengambil perhatian akan perkara yang boleh menaikkan BP.

“Hipertensi, iaitu tekanan yang meningkat, terjadi apabila saluran darah makin sempit yang mana meningkatkan daya tahan. Apabila ini berlaku, ia memaksa jantung bekerja lebih keras untuk meningkatkan jumlah dan mengekalkan aliran darah yang mencukupi ke semua organ-organ utama.

"Banyak penyebab hal ini berlaku, antaranya pengambilan garam yang tinggi, obesiti dan gaya hidup yang tidak aktif.

"Walaupun kebanyakan orang menyedari yang mereka perlu mengurangkan pengambilan garam, bersenam dan mengekalkan berat badan sihat, terdapat juga perkara lain yang tidak diketahui menjadi penyumbang kepada tekanan darah tinggi,” katanya.

Kredit foto: Freepik

  • Apnea tidur okstruktif

Antaranya ialah hipertensi sekunder disebabkan oleh keadaan kesihatan lain. Paling biasa adalah apnea tidur okstruktif (OSA) yang lazimnya dialami orang obes.

“OSA menyebabkan pesakit berhenti bernafas beberapa ketika yang membawa kepada hipoksia atau kekurangan oksigen dalam otak.

“Ini mencetuskan banyak tindak balas kepada badan yang mana salah satunya adalah penyempitan saluran darah. Lama-kelamaan, keadaan ini akan membawa kepada hipertensi sekunder,” Dr Verna menjelaskan.

  • Masalah tiroid & penyakit buah pinggang kronik

Satu lagi penyebab hipertensi sekunder adalah masalah tiroid dan penyakit buah pinggang kronik seperti radang buah pinggang.

Tiroid menghasilkan hormon-hormon yang membantu mengawal banyak fungsi dalam badan, termasuklah emosi kita, tahap kecergasan, selera makan, tidur dan kadar denyutan jantung serta tekanan darah.

Oleh itu, adalah penting untuk merawat kedua-dua masalah tiroid dan hipertensi supaya tahap tekanan darah dapat diuruskan dengan lebih berkesan.

  • Penggunaan ubat-ubatan tertentu

Ubat-ubatan tertentu, seperti ubat pelega (dekongestan), yang berfungsi menyempitkan saluran darah, dan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs), yang membawa kepada pengekalan garam dan air dalam badan, yang mana masing-masing meningkatkan tekanan darah.

Walaupun pengambilan jangka pendek ubat-ubatan ini dianggap selamat, ia lebih baik diambil mengikut nasihat doktor.

Baca juga: Pening kepala dan pengsan tiba-tiba, awas penyakit tekanan darah rendah

Kredit foto: Freepik

  • Tabiat pemakanan

Garam adalah punca utama hipertensi. Kebanyakan daripada kita tahu kicap dan kuah dalam makanan mengandungi natrium yang tinggi. Tetapi, adakalanya makanan yang tidak begitu masin pun boleh tinggi kandungan natrium. Berita baiknya, apabila kita makan makanan yang secara semulajadinya tinggi kandungan potasium seperti pisang, kekacang dan buah-buahan sitrus, ia dapat membantu kerana mineral tersebut dapat mengawal tahap tekanan darah.

Bantu doktor membantu menguruskan BP anda

Kata Dr Verna, kadang-kala pesakit tidak betul-betul berlaku jujur dengan doktor mereka.

Ada yang keberatan memaklumkan suplemen herba tertentu atau ubat tradisional yang mereka ambil. Sementara itu, ada juga yang takut untuk mengakui sudah berhenti mengambil ubat ditetapkan untuk mereka oleh doktor.

Lazimnya kerana mereka sudah berasa sihat atau takut akan kesan sampingan.

Kredit foto: Freepik

“Membina hubungan antara pesakit dan doktor itu mengambil masa. Menjadi kebiasaan kepada mereka untuk tidak berkongsi maklumat-maklumat tertentu semasa perjumpaan pertama.

“Rakyat Malaysia ada cara rawatan di rumah tersendiri atau ada kawan dan ahli keluarga yang mencadangkan perubatan alternatif.

“Selalunya selepas beberapa sesi konsultasi penjelasan, barulah saya dapat memahamkan mereka yang setiap perkara ada kesan sampingannya termasuklah suplemen herba.

“Malah ada di antara mereka yang tidak mahu mengakui sudah menghidap hipertensi kerana berasa sihat. Namun, akhirnya mereka ingin mengetahui cara untuk mengawal tekanan darah mereka,” kata beliau.

Bersikap terbuka tentang kesihatan secara keseluruhan, sejarah hipertensi dalam keluarga dan tabiat gaya hidup akan membantu doktor membantu anda.

Sebagai contoh, jelas Dr Verna, situasi seperti kebimbangan atau kemurungan yang boleh menjejaskan emosi seseorang sehingga membuatkan tekanan darah naik atau menjadikan hipertensi lebih sukar dikawal.

Walaupun dua situasi tersebut tidak menyebabkan hipertensi, adalah penting untuk mendapatkan rawatan untuk merawatnya.

Baca juga: 10 petua mengawal tekanan darah dan mengurus stres

Sasaran 

Doktor boleh membantu untuk menetapkan sasaran yang boleh diukur dengan menggunakan bacaan tekanan darah, selain merancang pelan pengurusan berat badan.

Kedua-dua perkara tersebut dapat menyokong keberkesanan ubat-ubatan yang ditetapkan.

“Ada sinar harapan apabila kita bercakap mengenai hipertensi. Ia boleh sembuh dengan mengubah gaya hidup.

“Mulakan perlahan-lahan seperti menggunakan tangga dan bukannya lif, memarkir kenderaan lebih jauh dari destinasi supaya anda boleh banyak bergerak dan berjalan dan mengurangkan pengambilan sos dan kuah dalam pemakanan seharian kerana kandungan natriumnya yang tinggi.

“Walaupun ia memerlukan disiplin dan masa, tidak mustahil untuk menguruskan tekanan darah tanpa makan ubat dalam jangka masa yang panjang.

“Sementara itu, makanlah ubat yang ditetapkan doktor. Penting untuk tidak mengubah dos atau kekerapan pengambilannya mengikut kehendak anda.

“Hipertensi adalah keadaan yang kronik dan ubat harian penting untuk mengurusnya,” terang Dr Verna.

Amalan makan suku suku separuh boleh susut berat badan, kawal tekanan darah

Dr Verna turut meyakinkan pesakit bahawa ada pelbagai jenis atau kelas ubat untuk merawat hipertensi.

Katanya doktor akan mencadangkan rawatan atau ubatan alternatif sekiranya pesakit mengalami sebarang kesan sampingan seperti alahan, batuk, mati pucuk, sakit kepala, bengkak atau penahanan air.

Akhir sekali, Dr Verna mengingatkan pesakit hipertensi supaya tidak leka hanya kerana mereka berasa sihat.

“Doktor tidak dapat meramalkan jenis komplikasi yang mungkin anda alami.

Oleh itu, rajinlah mengawal atau menguruskan paras tekanan darah kerana ia sangat penting. Selain itu, pastikan anda sentiasa sihat dengan mengambil makanan seimbang, cukup bersenam dan mengekalkan berat badan yang sihat,” jelasnya.

Ayuh buat pemeriksaan kesihatan kerana penyakit ini boleh daripada ahli keluarga.

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, jika kedua ibu bapa anda menghidap hipertensi, kemungkinan anak-anak akan mewarisinya ialah sebanyak 50 peratus.

Jika salah seorang dari mereka mengidap darah tinggi, anak-anak masih boleh menwarisinya.

Baca juga: Jantung bengkak boleh sebabkan kegagalan jantung. Pesakit diabetes, hipertensi antara yang kena waspada

Kredit foto utama: Freepik

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca