PROSES kehamilan merupakan satu pengalaman yang cukup indah dan bernilai bagi kaum Hawa yang menantikan peluang bergelar seorang ibu.

Di sebalik keterujaan itu, ramai wanita terlupa bahawa fasa kehamilan menghadirkan beberapa risiko yang adakalanya mengundang situasi yang tidak diingini.

Secara realitinya, bukan semua kehamilan yang dianugerahkan itu serupa. Setiap wanita akan mengharungi peringkat yang berbeza-beza bergantung kepada kondisi kesihatan, sejarah keluarga dan imuniti tubuh badan. Antara yang paling ditakuti adalah strok ketika hamil.

Sempena Hari Strok Sedunia, SinarPlus akan mengupas lebih lanjut mengenai topik tersebut bersama Pakar Perbidanan dan Sakit Puan juga merangkap Pakar Laktasi, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Cheras, Selangor, Dr Nor Elyana Noordin.

Dr Nor Elyana.

Beliau akan menjawab persoalan seperti siapakah kelompok ibu hamil yang cenderung untuk mendapat serangan strok dan adakah masalah itu boleh meragut nyawa ibu dan anak?

Terlebih dulu, pakar itu berkata, strok terjadi apabila otak tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi untuk berfungsi dengan baik.

“Keadaan itu akan menyaksikan oksigen yang dibawa oleh salur darah kepada otak akan terhenti, lalu tercetuslah strok berkenaan,“ terangnya.

Berdasarkan statistik sahih, dilema itu berlaku kepada 30 orang ibu mengandung untuk setiap 100,000 orang.

“Dalam kebanyakan kes iaitu mencecah 90 peratus berlaku selepas seseorang bersalin,“ katanya.

Jejas kesihatan ibu, bayi

Memang pilu untuk diungkapkan, namun hakikatnya, implikasi strok ketika hamil cukup menyayat hati. Masakan tidak, kadar kematian boleh mencapai hingga 20 peratus.

“Strok sememangnya boleh menjejaskan kehamilan. Daripada perangkaan, 30 peratus wanita mengandung mengalami keguguran, 6.1 peratus bayi lahir dengan kematian, manakala 5 peratus wanita mengandung pula melahirkan bayi pramatang,“ jelasnya.

Kepada SinarPlus, Dr Nor Elyana memaklumkan, terdapat beberapa kelompok ibu hamil yang berisiko untuk diserang strok dengan mudah. Antaranya:

i) Tekanan darah tinggi atau hipertensi ketika mengandung.

  • Sesetengah wanita mempunyai sejarah menghidap penyakit darah tinggi sebelum berbadan dua. Penting untuk diketahui, tekanan darah yang tinggi adalah punca utama ibu-ibu mengandung diserang strok.
  • Menurut Journal of the American Heart Association bertajuk Waspada Risiko Terkena Strok Saat Hamil, jika seseorang secara relatifnya sihat sebelum hamil, maka risiko strok saat mengandung tidak akan terlalu tinggi.

ii) Mendapat preeklamsia.

  • Preeklamsia adalah merujuk kepada kondisi peningkatan tekanan darah disertai dengan protein dalam urin. Ia biasanya terjadi setelah usia kehamilan lebih daripada 20 minggu.
  • Keadaan itu akan menyebabkan komplikasi yang lebih serius. Ini disebabkan tekanan darah tinggi boleh memudaratkan organ-organ lain. Jika tidak dirawat, preeklamsia boleh menyebabkan sawan dan seterusnya strok.

iii) Menderita penyakit kencing manis.

  • Ibu-ibu yang menghidap kencing manis sebelum mengandung atau mendapat kencing manis ketika hamil, boleh meningkatkan risiko untuk mengalami masalah darah tinggi dan seterusnya strok.

iv) Masalah darah beku.

  • Jika wanita hamil mempunyai penyakit seperti sindrom antiphospholipid (penyakit autoimun) dan anemia sel sickle (gangguan sel darah), pembekuan darah yang berlebihan juga boleh menyebabkan strok.

Lazimnya, jika setiap ciri-ciri itu berlaku, pesakit akan terlantar dan boleh mengalami kelumpuhan. Situasi tersebut pula boleh ‘menerbitkan‘ komplikasi-komplikasi lain yang agak berbahaya.

Iklan

Berikut adalah huraiannya:

  1. Pneumonia: Masalah pernafasan boleh berlaku kerana kelumpuhan.
  2. Kencing kotor: Biasanya tercetus akibat pemakaian tiub kencing yang lama disebabkan kelumpuhan dan fungsi pundi kencing terganggu.
  3. Sawan: Impak daripada keadaan otak yang tidak normal.
  4. Kemurungan: Kelumpuhan akan menyebabkan seseorang itu hilang upaya untuk berfungsi secara normal.
  5. Ulser: Keadaan tersebut boleh menyebabkan tekanan yang berterusan kepada bahagian badan dan menyebabkan ulser.

Bagaimanapun, ujar Dr Nor Elyana, sebilangan pesakit boleh pulih sepenuhnya, namun sesetengahnya tidak dapat mengelak daripada mengalami kecacatan yang berpanjangan atau kekal.

“Ya, mereka boleh kembali sihat, tetapi terdapat beberapa masalah yang mungkin berlanjutan. Antaranya lumpuh atau lemah separuh badan, berdepan dengan masalah ingatan, pemikiran dan pertimbangan serta berhadapan kesukaran untuk bertutur termasuk untuk memahami pertuturan.

Sehubungan itu, pakar tersebut mengesyorkan agar pesakit strok perlu menjalani rehabilitasi untuk mendapatkan semula fungsi badan yang telah terjejas.

“Rawatan rehabilisatasi boleh melibatkan beberapa terapi. Pertama, terapi pertuturan yang antara lain membantu mereka belajar semula bercakap dan memahami percakapan.

“Terapi fizikal pula dilakukan bagi membolehkan pesakit bergerak dan mengimbangi semula badan, sementara terapi cara kerja akan menolong golongan itu melakukan tugas harian seperti mengurus diri, membaca, menulis termasuk makan dan minum,“ jelas beliau.

Risiko tiga kali ganda

Iklan

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pakar Neurologi dan Pakar Perunding Perubatan Dalaman, Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA, Sungai Buloh, Selangor, Dr Nor Amelia Mohd Fauzi turut berkongsi pandangan.

Dr Nor Amelia.

Ujar Dr Nor Amelia, meskipun jumlah kes strok dalam kalangan ibu hamil tidak begitu tinggi kehamilan boleh meletakkan seseorang wanita berada pada tahap tiga kali ganda lebih berisiko untuk mendapat strok berbanding mereka yang tidak mengandung (antara umur 15 hingga 44 tahun).

“Mereka yang berbadan dua kebiasaannya akan mengalami transisi fisiologi dan fizikal. Antaranya termasuklah perubahan hormon, kecenderungan darah untuk membeku dan pertambahan berat badan yang boleh meningkatkan kemungkinan strok,“ beritahunya.

Seperkara, ujar beliau, sebenarnya strok boleh berlaku pada mana-mana fasa kandungan, tidak semestinya pada trimester kehamilan seperti yang selalu digembar-gemburkan.

Minyak zaitun terbaik! Ini makanan tambahan sihat ibu hamil

“Namun, risiko paling tinggi adalah pada ketika tempoh kelahiran dan sejurus selepas kelahiran bayi hingga lebih kurang enam minggu dari tempoh melahirkan,“ terangnya.

Justeru, ujar Dr Nor Amelia, peri pentingnya para ibu mengenali gejala-gejala strok bukan sahaja sepanjang kehamilan, tetapi juga selepas kelahiran.

“Ramai ibu yang tersalah sangka simptom seperti pening kepala atau kebas tangan dan kaki dengan gejala biasa kehamilan atau selepas kelahiran. Kena fahami ia berlaku secara akut atau tiba-tiba,“ jelasnya.

Berikut antara antara simptom atau gejala strok yang perlu diberi perhatian:

i) Kebas atau lemah pada muka, tangan dan kaki terutamanya melibatkan sebelah badan.

ii) Masalah bertutur atau memahami pertuturan.

iii) Masalah berjalan atau hilang kesimbangan untuk berjalan.

iv) Masalah visual atau kabur penglihatan.

v) Pening kepala yang teruk tanpa sebab dan berlarutan.

“Semuanya itu dikenali sebagai gejala neurologis. Jika ciri-ciri yang dinyatakan berlaku, nasihat saya, segeralah datang ke hospital. Jangan berlengah-lengah untuk berjumpa doktor terutamanya kepada mereka yang baru melahirkan bayi dan sudah pulang ke rumah.

“Kena ingat, sudah pasti pada waktu itu, para ibu tidak cukup tidur dan sibuk menguruskan bayi yang baru lahir sehingga mengabaikan kesihatan sendiri. Lebih cepat mendapatkan rawatan, lebih tinggi peluang untuk sembuh,“ pesannya.