Banglo 'kayangan' khas untuk kucing tersayang. Diperbuat daripada kayu palet bikin si bulus selesa
Banglo 'kayangan' khas untuk kucing tersayang. Diperbuat daripada kayu palet bikin si bulus selesa
SETIAP orang pasti mempunyai minat dan hobi untuk mengisi masa lapang. Sesetengah daripada kita sanggup berbelanja mewah demi melunaskan keinginan yang selama ini dihajati.
Kadangkala ia bukan sekadar hobi, tetapi secara tidak sengaja boleh menjana pendapatan yang tidak disangka-sangka. Bukankah itu sebagai satu bonus?
Seorang tukang kayu dari negeri utara tanah air, Mohd Khasfullizam Md Saad yang dulunya pernah berkhidmat sebagai jurugambar, nekad membulatkan hati untuk mencuba cabang kerjaya baharu.
Ternyata pertaruhannya memang menjadi. Berbekalkan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki, penghasilan perabot menggunakan kayu yang diusahakan sejak tujuh tahun lalu menggunakan label The Kayu Pallet begitu membuahkan hasil.
Mana tidaknya, The Kayu Pallet kini telah memiliki empat cawangan yang terletak di Alor Setar, Kulim dan Sungai Petani di Kedah termasuk di Ipoh, Perak.
“Alhamdulillah, sekarang saya sudah bekerja sepenuh masa sebagai tukang kayu dan menghasilkan perabot. Saya mula memilih untuk terlibat dalam bidang ini selepas pulangan pendapatan yang diterima melebihi gaji tetap sebagai jurugambar.
“Bermula dari detik itu, saya sudah tak menoleh ke belakang lagi dan terus melakukan sahaja apa yang telah diusahakan sehingga pada hari ini,“ ujarnya saat mengimbau langkah awal bertukar bidang sekitar tahun 2016.
Mengulas mengenai penghasilan produknya, Mohd Khasfullizam tidak menafikan, kelebihan media sosial dan Pinterest banyak membantu beliau menggarap idea yang lebih pelbagai.
Ujarnya, platform digital itu juga telah mempengaruhi rekaannya, sekali gus dapat memenuhi cita rasa pengguna yang biasanya boleh ditelah.
"Saya lihat rata-rata pelanggan lebih gemarkan hiasan dalaman bercirikan Scandinavian. Mana tidaknya, konsep itu sangat elegan dan mewah walau bersifat minimalis.
Bagaimanapun, kami tetap menyuntik elemen tempatan dan sentiasa berusaha memberikan kelainan dengan reka bentuk lebih segar,“ katanya.
Beritahu Mohd Khasfullizam, selain sofa, rak rempah, tempat menyimpan barang di dapur, meja sisi dan rak simpanan koleksi hotwheels antara item yang sentiasa mendapat permintaan tinggi. Ia juga laku keras dijual jika dijual secara online.
Biarpun boleh dikategorikan dalam golongan mahir, Mohd Khasfullizam tetap mementingkan pandangan pengguna.
“Saya tak mahu menghasilkan produk ‘syok sendiri‘ dan akhirnya gagal terjual. Setiap kali ingin menghasilkan sesuatu produk baharu, saya akan meminta pendapat dan melakukan undian secara dalam talian terutama di platform Instagram.
“Dengan itu, kita boleh melihat apa sebenarnya yang diinginkan pelanggan.Sebilangannya gemar perabot 100 peratus kayu, manakala ada yang suka gabungan besi,“ katanya yang berpendapat 'gandingan' dua bahan itu secara tidak langsung boleh mewujudkan nuansa eksklusif di ruang kediaman.
ISTIMEWA UNTUK SI BULUS
Selain perabot kediaman dan premis perniagaan, sasaran Mohd Khasfullizam seterusnya adalah menghasilkan ‘rumah‘ buat kucing.
Seperti yang ramai maklum, perasaan sayang pemilik terhadap haiwan peliharaan itu membuatkan ramai pihak sanggup berbelanja besar asalkan si bulus dapat mengecapi kehidupan yang selesa.
Menurut usahawan tersebut, banglo kucing memang menjadi trend masa kini. Kekemasan binaan dan kekuatan bahan mentah (kayu palet) yang diperoleh dari Eropah biasanya menjadikan kediaman haiwan itu nampak gah.
“Kayu palet ini memiliki sifat tahan lasak dan mampu kekal lebih lama meskipun harganya sedikit mahal berbanding kayu palet kitar semula yang perlu dibuang paku serta diketam untuk melicinkan permukaan,“ katanya.
Mengenai harga, Mohd Khasfullizam akan menjual perabot, item besar atau kecil bermula RM50 hingga RM500. Sementara, banglo kucing pelbagai saiz pula bernilai RM50 hingga RM5,000 seunit.
Selain mendapat tempat di pasaran tempatan, perusahaan bekas jurufoto itu turut digemari oleh pembeli dari Singapura dan Brunei menerusi jualan dalam talian.
Tidak hanya berasaskan kayu sahaja, malah Mohd Khasfullizam juga menghasilkan perabot rotan dengan bahan mentahnya diambil dari Indonesia.
Justeru, kepada penggemar hiasan dalaman klasik atau pusat peranginan di Bali, tidak perlu terbang jauh, segalanya terdapat di The Kayu Pallet.
Baca lagi Penampilan sulung karya anak dalam koleksi fesyen terbaru, Melinda Looi luah rasa bangga dan terharu
Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang