Jutaan wanita Malaysia hidap penyakit kencing manis. Mereka boleh hamil, lahirkan bayi, tetapi...
Jutaan wanita Malaysia hidap penyakit kencing manis. Mereka boleh hamil, lahirkan bayi, tetapi...
BARANGKALI ramai sudah maklum bahawa Malaysia merupakan penduduk tertinggi di Asia yang menderita kencing manis atau diabetes mellitus.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, peratusan pesakit diabetes di negara ini telah meningkat daripada 13.4 peratus pada tahun 2015 kepada 18.3 peratus (2019).
Dari segi nisbah, satu daripada lima individu dewasa berumur 18 tahun ke atas menghidap penyakit itu atau bersamaan dengan 3.9 juta penduduk.
Pada tahun 2016, Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan, 1.78 juta penghidap diabetes ialah wanita!
Kajian mendapati, kaum Hawa berisiko terkena diabetes atas beberapa faktor seperti jenis hormon dan gaya hidup.
Di peringkat global, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendedahkan, diabetes merupakan punca langsung kepada 1.5 juta kematian. Daripada statistik itu, 48 peratus pesakit menemui ajal sebelum berumur 70 tahun.
WHO turut mendedahkan, di negara berpendapatan sederhana rendah, angka yang maut meningkat kepada 13 peratus.
Keseriusan penyakit tersebut tidak boleh dinafikan lagi. Menurut Healthline, diabetes memberi kesan kepada tubuh badan secara menyeluruh.
Bukan sahaja akan mengganggu buah pinggang dan penglihatan, tetapi sistem saraf seseorang akan turut terjejas termasuk menyebabkan penyakit arteri periferi (salur darah menjadi semakin sempit).
Bagi menyuntik kesedaran ramai tentang betapa bahayanya diabetes, SinarPlus membawa topik tersebut untuk dibincangkan dalam program DNA.
Bertajuk Diabetes: Jangan Sampai Potong Kaki, Pakar Perubatan Keluarga, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim menjawab beberapa persoalan penting yang diutarakan oleh pengacara, Juliana Ramle.
Ujar Dr Megat Mohamad, terdapat dua alasan signifikan mengapa seseorang menghidap diabetes.
Pertama, ia merujuk kepada faktor yang tidak boleh diubah iaitu sejarah keluarga yang memiliki penyakit berkenaan. Ini bermakna, kecenderungan generasi seterusnya mendapat kencing manis adalah tinggi.
Seterusnya adalah gaya hidup yang diamalkan sehari-hari.
Sekiranya seseorang suka makan dan minum minuman manis, makan lewat malam dan kurang melakukan aktiviti fizikal, kelompok ini berisiko didiagnosis dengan masalah itu,“ katanya.
Gejala berbeza
Mengenai gejala, Hello Doktor berkata, simptom yang dialami oleh wanita dan lelaki tidak sama.
Berikut antara gejala yang boleh dialami oleh kaum Hawa:
Jangkitan kulat faraj: Pertumbuhan yis yang berlebihan disebabkan oleh spesies kulat candida boleh menyebabkan terjadinya jangkitan yis faraj dan yis oral.
-Apabila infeksi berlaku, penghidap akan rasa gatal, pedih dan hangat di kawasan sulit itu. Masalah keputihan juga boleh terjadi dan penghidap akan berasa sakit ketika bersenggama dengan pasangan.
Jangkitan saluran kencing: Risiko jangkitan saluran kencing lazimnya lebih banyak dalam kalangan wanita yang menghidap diabetes. Ini kerana tahap gula dalam darah yang tinggi boleh melemahkan sistem imun.
Disfungsi seksual wanita: Neuropati diabetes berlaku apabila tahap gula darah tinggi, tidak terkawal dan akhirnya merosakkan saraf. Ia boleh mengakibatkan kesemutan dan hilang rasa pada bahagian tubuh badan terutama sekali tangan dan kaki.
Sindrom ovari polisistik (PCOS): Ia boleh menjadi punca atau simptom diabetes. Masalah ini berlaku apabila seseorang wanita menghasilkan hormon lelaki dalam jumlah yang lebih tinggi daripada normal.
-PCOS juga boleh menyebabkan kerintangan insulin yang menjurus kepada peningkatan kadar gula darah.
Persoalannya, adakah wanita yang menghidap penyakit tersebut boleh hamil? Menurut laman perubatan newkidscenter.com, golongan itu tetap boleh mengandung dan melahirkan bayi yang sihat.
Pun demikian, terdapat sejumlah hal penting yang perlu diperhatikan.
Komplikasi paling umum diabetes biasanya mempengaruhi kesihatan ginjal, mata dan sistem saraf. Sehubungan itu, ibu hamil disarankan selalu berbincang dengan doktor sepanjang kehamilan," kata laman web itu.
Menurut sumber berkenaan lagi, antara masalah yang mungkin terjadi kepada ibu penghidap diabetes adalah seperti jangkitan pada saluran pundi kencing, tekanan darah tinggi, pembengkakan pada anggota tubuh dan wajah termasuk risiko melahirkan anak pramatang.
Bayi yang dikandung ibu juga berisiko mengalami beberapa permasalahan. Antaranya si kecil boleh berdepan dengan isu seperti kadar gula darah tinggi yang menyebabkan penumpukan lemak pada bahu.
"Selain itu, mereka boleh mengalami jaundis, paras gula darah yang rendah setelah dilahirkan, berpotensi untuk obes dan turut berkemungkinan mendapat penyakit kencing manis ketika dewasa," kata laman web perubatan itu.
Kerintangan insulin
Secara umumnya, terdapat tiga jenis diabetes yang perlu dibezakan. Ia terdiri daripada diabetes jenis 1, 2 dan gestational.
Ujar Dr Megat Mohamad, pengelasan itu dibuat bukanlah untuk menunjukkan tahap keterukan seseorang menghidap penyakit tersebut, tetapi adalah untuk membezakan punca ia terjadi. Berikut huraiannya:
Diabetes jenis 1:
Ia terjadi disebabkan oleh hormon insulin di dalam badan kurang dihasilkan atau tidak dapat dihasilkan oleh pankreas.
Diabetes jenis 2:
Diabetes jenis ini sering berlaku kepada mereka yang banyak lemak dalam organ. Insulin mereka wujud, tetapi tidak dapat menurunkan kandungan gula dalam darah.
Diabetes gestational (GD):
Ia berlaku seandainya seseorang wanita mempunyai kandungan gula yang tinggi semasa mereka hamil. Hormon yang dihasilkan oleh plasenta mungkin akan menghalang insulin lalu menyebabkan GD.
Menurut Centers for Disease Control and Prevention, Amerika Syarikat, sekurang-kurangnya 9 peratus wanita mengandung akan mengalami GD.
Mengulas lanjut mengenai GD, ujar Dr Megat Mohamad, sebenarnya tidak semua ibu hamil boleh menghidap GD.
Biasanya, ia terjadi kepada mereka yang ada sejarah keluarga kencing manis, pernah ada GD sewaktu kehamilan sebelumnya atau mereka yang mempunyai berat badan berlebihan.
“Jika semua ciri-ciri itu ada, doktor akan melakukan saringan dengan meminta minum air gula. Jika selepas dua jam saringan mendapati kadar kandungan gula dalam darah lebih tinggi daripada sebelum pemeriksaan, mereka dikategorikan mengalami kerintangan insulin.
“Oleh yang demikian, ibu hamil perlu diberi rawatan segera supaya dapat mengelakkan komplikasi seperti buta, kegagalan buah pinggang dan kelahiran bayi pramatang,“ beritahunya.
Suntikan insulin & hormon
Bagi mendapatkan pandangan mengenai rawatan yang biasa diberikan kepada pesakit, SinarPlus mewawancara Pakar Perubatan Dalaman, Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Nurazam Omar.
Maklum Dr Nurazam, kaedah rawatan yang ditawarkan adalah bergantung kepada punca penyakit itu berlaku. Berikut perinciannya:
Suntikan insulin: Ia diberikan kepada pesakit yang mengalami diabetes jenis 1. Pesakit yang memerlukan suntikan itu tidak mampu menghasilkan insulin yang cukup untuk menurunkan kandungan gula dalam darah.
Pemberian ubat-ubatan: Ubat seperti kapsul biasanya diberikan kepada mereka yang menghidap diabetes jenis 2. Ubat tersebut berfungsi untuk mengurangkan kandungan gula dalam darah dan merangsang sel serta otot supaya menggunakan gula sebagai tenaga.
Suntikan hormon: Ia sejenis rawatan baharu yang diberikan kepada pesakit untuk mengawal pengeluaran insulin di dalam badan.
Apa akan jadi jika pesakit menolak semua rawatan yang disyorkan doktor? Jawab Dr Nurazam, implikasinya berbahaya kerana ia boleh meragut nyawa.
“Jika kandungan gula dalam darah begitu tinggi dan tidak terkawal, pesakit boleh berhadapan dengan komplikasi cepat seperti koma, berlaku penyahhidratan dan akhir sekali boleh membawa maut.
“Bagi komplikasi kronik pula seperti kerosakan pada organ terutamanya buah pinggang, kegagalan jantung, serangan jantung, strok, masalah pada saraf dan kaki boleh melanda pada bila-bila masa," jelasnya. -MAZLINA ABDUL MAJID dan SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA
#kesresponden
Hidap kencing manis pada usia 17 tahun, Amanda alami depresi
MENGHIDAP kencing manis pada usia 17 tahun memberi tamparan hebat buat Amanda (bukan nama sebenar).
Masakan tidak, diri masih muda remaja, tetapi telah didiagnosis diabetes jenis 1. Ironinya, tiada seorang pun ahli keluarga Amanda memiliki penyakit itu.
Namun, gaya hidup yang suka meneguk air manis hampir setiap hari, akhirnya menghadirkan impak yang buruk kepada beliau.
"Sebelum saya tahu penyakit ini, saya sedang membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Ketika itu, saya kerap sakit perut pada sebelah kiri dan kesakitan itu selalu berulang.
Disebabkan tidak mahu ia (rasa sakit) mengganggu konsentrasi saya menjawab ujian, saya kuatkan hati dengan pergi ke klinik kesihatan berhampiran untuk menjalani pemeriksaan,“ ujarnya.
Keputusan yang diperoleh amat mengejutkan apabila doktor memaklumkan gula dalam darah anak kelahiran Perak itu menunjukkan bacaan yang tinggi iaitu mencecah 28mmol/L.
Bacaan normal adalah kurang daripada 7mmol/L.
Disebabkan itu, beliau terus dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pada awalnya, saya diberi ubat mengawal darah tinggi. Bagaimanapun, pemberian ubat kapsul itu tidak serasi dengan saya kerana bacaan gula tidak menunjukkan perubahan yang ketara.
“Setelah saya diperiksa dengan teliti, barulah pihak hospital sahkan yang saya menghidap diabetes jenis 1. Rawatannya adalah suntikan insulin yang bertujuan mengawal gula dalam darah,“ kongsinya.
Dalam pada itu, cerita Amanda, berita tentang penyakit yang dialami itu telah menjadi bebanan dalam hidupnya.
“Kalau nak diikutkan, saya lagi tertekan bila tahu ditimpa penyakit kronik pada usia muda. Namun, apa yang memeranjatkan saya, ada rakan dan saudara yang menjauhkan diri serta menyisihkan saya sebaik tahu mengenai kondisi saya.
“Bagi mereka, diabetes adalah penyakit orang tua. Mereka pertikaikan bagaimana saya yang masih belasan tahun ditimpa penyakit ini,“ katanya yang pernah berputus asa untuk mendapatkan rawatan akibat depresi teruk.
Pun demikian, semangat untuk merawat diri hadir kembali setelah usia Amanda meniti usia 24 tahun.
“Ya, memang ambil masa untuk saya dapatkan rawatan yang konsisten.
"Akibat dicerca orang sekeliling, saya sanggup biarkan diri saya tak bermaya dan badan bengkak-bengkak. Namun, bila difikirkan balik, kedegilan saya hanya memakan diri. Lebih baik saya pergi jumpa doktor agar tubuh saya sihat sentiasa,“ katanya.
BACA JUGA: 3 mitos tentang diabetes yang menjadi punca kes makin tinggi. Ini yang perlu pesakit elak
BACA JUGA: Makanan yang dijual di sekolah punca anak-anak hidap kencing manis? Ini kata pakar
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang