Kertas dinding serlahkan ruang. Berikut tip pilih material ini agar tak serabut, kekal lama
KERTAS dinding atau wallpaper memainkan peranan penting dalam mempengaruhi aura sesebuah kediaman.
Kepada anda yang mungkin bercadang untuk memasangnya, keputusan itu adalah bertepatan. Masakan tidak, bukan sahaja warna, malah pelbagai paten tidak kira bunga-bungaan ataupun bercorak geometri boleh dipilih.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Mamyhome Sdn Bhd yang juga perunding hiasan dalaman, Mohd Amin Mohd Yussoff, selain mencantikkan ruang, kertas dinding adalah penyelesaian ampuh bagi menampakkan sesebuah rumah kelihatan lebih luas dan memberi pencahayaan yang jelas.
Itu sebab kata Mohd Amin, rata-rata pelanggannya akan memilih corak yang minimalis dan berstruktur bagi memberi impak yang memuaskan.
"Bagi orang bandar, mereka cenderung dengan konsep oriental moden, sementara corak ala mewah dan sarat, lebih menarik perhatian pelanggan biasa yang mahu melihat rumah mereka lebih mewah dengan bersandarkan kertas dinding," katanya.
Menurut usahawan itu lagi, terdapat beberapa perkara yang perlu difahami sebelum memilih item tersebut. Antaranya seperti berikut:
- Pastikan konsep dan keadaan rumah mempunyai asas dan rekaan yang sempurna.
- Jangan memasang kertas dinding ketika proses pengubahsuaian rumah sedang dilakukan.
- Elak meletakkan kertas di dinding yang salah.
- Pilih kertas dinding yang tahan dan utuh daripada pembakaran seperti PU backing.
- Pastikan kertas dinding telah tersedia untuk kemasan terakhir bagi mengelak ia terkupil dan tercabut.
Berdasarkan pengalaman, Mohd Amin berkata, terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh orang ramai ketika memilih kertas dinding.
"Kesilapan paling utama adalah pemilihan corak tak sesuai dengan keadaan ruang. Sebagai contoh, cuba elak campur adukkan corak bulat dengan petak.
"Selain itu, ramai juga suka dengan pemandangan alam semula jadi dan kartun yang dikatakan boleh mewujudkan rasa seronok, namun lama-kelamaan, mereka akan rasa tertekan. Jadi, fikir dulu sebelum memasangnya,” ujar beliau.
Baca ni Cara cuci oven tanpa perlu sental, mudah dan berkesan. Hasilnya pun berkilat!
Sehubungan itu, bagi membantu pembaca SinarPlus yang mungkin berhasrat memasang kertas dinding, Mohd Amin menitipkan pesanan.
“Saya menasihatkan anda memilih kertas dinding yang bertekstur tebal agar garisan sambung tidak kelihatan. Elakkan memilih corak yang memualkan atau sama seperti pusat karaoke.
“Pemilik kediaman juga harus tahu kepentingan menyelenggara kertas dinding. Dalam tempoh enam bulan sekali, anda wajib meninjau untuk memastikan kertas dinding sentiasa kelihatan rapi.
"Terakhir, jika mahu meletakkan kertas dinding di siling, pastikan tidak menggunakan cat kapur, tetapi cat jenis emulsi agar tidak tertanggal,” terangnya.
Baca lagi Sheila Rusly tayang ruang dapur bikin ramai kagum. Kemas & cantik macam showroom!
Beritahu Mohd Amin, Mamyhome menerapkan beberapa elemen untuk mendapatkan kesan mewah dan elegan daripada kertas dinding.
“Pertama, tampal kertas dinding di dinding dalam kabinet terbuka. Cara ini bagi memastikan tempat itu (kabinet) sentiasa kelihatan unik dan terserlah dengan corak dan tekstur yang dilimpahi cahaya lampu di bawah rak.
"Kertas dinding juga secara tak langsung boleh menjadi penutup kecacatan dinding yang retak atau tidak rata yang tak boleh dilakukan oleh cat. Jadi, sekali lagi saya ingatkan, pilih jenis bertekstur agar kesan kasar atau retak dapat disembunyikan,” kongsinya lagi.
Kepada Mohd Amin, kami turut bertanya tentang tip terbaik memilih cat dinding, sementelah beliau juga arif dalam bab tersebut.
Ujarnya, sebaik-baiknya tuan rumah digalakkan memilih kod warna yang ceria seperti biru.
"Apabila rona itu (biru) dicampur 30 peratus dengan warna kelabu dengan putih, ia boleh hasilkan beberapa warna biru yang mempunyai aura tenang dan ceria. Antaranya seperti boheiman blue, windmill, taupe dan ash mode,” katanya.
PROFIL
Nama penuh: Mohd Amin Mohd Yussoff
Nama karier: Perunding Hiasan Dalaman
Jawatan: Ceo Mamyhome Sdn Bhd
Facebook: Mamyhome interior design & mohd Amin mohd Yussoff
Instagram: @ amin yussoff
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang