Lemah jantung vs serangan jantung. Situasi kegagalan jantung yang sering menjadi kekeliruan umum
MASYARAKAT umum sering keliru atau kurang jelas dengan masalah lemah jantung.
Mereka menyamakan penyakit tersebut dengan situasi serangan jantung.
Bagi mengetahui perbezaan antara kedua-dua keadaan tersebut, Pakar Jantung Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr Mohd Al-Baqlish Mohd Firdaus ada penjelasannya.
Kata pakar tersebut, lemah jantung (heart failure) merupakan satu kondisi iaitu jantung gagal untuk mengepam darah beroksigen secukupnya ke organ-organ penting di dalam badan.
“Ia adalah salah satu komplikasi daripada serangan jantung.“Pun begitu, tidak semua pesakit lemah jantung pernah menghidap serangan jantung,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, pesakit lazimnya menunjukkan beberapa simptom sekiranya mereka mengalami situasi lemah jantung.
Berikut merupakan enam gejala utama penyakit tersebut:
- Susah bernafas atau lelah terutama ketika melakukan aktiviti lasak dan tugas harian.
- Bengkak kedua-dua belah kaki.
- Tidur dalam keadaan duduk atau perlu lebih daripada satu bantal.
- Kerap terjaga pada waktu malam akibat kesukaran untuk bernafas.
- Berdebar-debar atau denyutan nadi yang laju.
- dengan kahak berbuih dan berwarna merah.
Baca juga: Waspada jika alami 12 keadaan ini petanda sakit jantung termasuk dengkur & batuk tak henti
Komplikasi jantung koronari
Menyambung hujah, Dr Mohd Al-Baqlish berkata, majoriti pesakit yang mendapat penyakit itu disebabkan oleh komplikasi masalah jantung koronari.
“Kadangkala pesakit didapati mengalaminya setelah doktor mengesahkan mereka menghidap lemah jantung.
“Pun begitu, penyakit jantung koronari bukanlah satu-satunya penyebabnya,” tuturnya.
Antara sebab utama lain yang boleh menjadi punca penyakit lemah jantung adalah masalah injap jantung (valvular heart disease), otot jantung (cardiomyopathy) dan ritma jantung yang tidak sekata.
Ujarnya, keadaan itu juga boleh berlaku akibat kesan jangka panjang bagi rawatan kanser atau implikasi daripada pengambilan alkohol.
Seseorang juga boleh mengalami lemah jantung akibat keradangan pada otot jantung dan masalah tiroid.
Baca juga: Jantung tersumbat, Dr Malar terang bagaimana prosedur angiogram dan angioplasty dilakukan
Siapakah yang berisiko tinggi untuk menghidap masalah tersebut?
Bagi menjawab persoalan itu, pakar berkenaan menjelaskan golongan yang berisiko, antaranya:
- Penghidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi.
- Mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap masalah lemah jantung.
- Mereka yang mempunyai masalah berat badan berlebihan dan obesiti.
- Perokok dan mereka yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat.
- Golongan lelaki dan wanita yang telah putus haid.
- Golongan berusia.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Al-Baqlish berkata, penyakit kronik tersebut memerlukan rawatan berkala dan bersesuaian.
“Langkah pertama untuk merawat masalah lemah jantung adalah dengan mengesahkan pesakit mempunyai masalah tersebut sebelum mengenal pasti punca terjadinya situasi itu.“Doktor akan melakukan ujian awal seperti saringan darah, electrocardiogram dan ekokardiogram,” katanya.
Dalam kes-kes tertentu, siasatan lebih lanjut akan dijalankan dengan melakukan imbasan CT, pengimejan resonans magnetik (MRI) dan angiogram koronari.
Setelah itu, pesakit lazimnya akan diberikan ubat-ubatan.
"Sesetengah pesakit bagaimanapun perlu menjalani rawatan coronary angioplasty, pembedahan injap jantung atau memasang alat peranti pada jantung.
"Pun demikian, ia bergantung kepada sebab atau punca pesakit mendapat masalah lemah jantung," jelas beliau panjang lebar.
Dalam pada itu, doktor juga akan mengawal rawatan penyakit kronik lain seperti kencing manis dan darah tinggi.
Malah katanya, kebanyakan pesakit dapat menjalani kehidupan yang hampir normal jika mereka mendapatkan rawatan optimum.
“Pesakit lazimnya dinasihatkan supaya berhenti merokok dan mengurangkan pengambilan bendalir.
“Mereka juga disaran agar mengehadkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam dan lemak tepu,” ujarnya.
Baca juga:Buah gajus baik untuk kesihatan jantung, diabetes & turunkan berat badan! Ini cara pengambilannya…
Selain itu, pakar tersebut menggalakkan setiap individu untuk kekal aktif dengan terus melakukan aktiviti riadah dan bersukan.
Pun demikian, penghidap yang mengalami masalah lemah jantung sangat teruk dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti sukan yang boleh membebankan fungsi organ tersebut.
“Perbuatan tersebut akan meningkatkan risiko kematian mengejut kepada pesakit.
“Justeru, mereka digalakkan melakukan aktiviti bersama rakan atau keluarga dan mengelak daripada melakukan hal yang berisiko tinggi seperti mendaki gunung atau berenang sendirian,” tuturnya.
Pesakit juga harus tahu kemampuan diri sendiri dan mendapatkan nasihat pakar sebelum melakukan sebarang kegiatan yang berisiko tinggi.
Dalam pada itu, sebarang ubat-ubatan atau suplemen pula tidak boleh diambil tanpa rujukan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang