Pesakit diabetes kena dapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa, elak risiko koma, sawan dan pengsan

A
A
A

APABILA bulan Ramadan menjelma, kebanyakan pesakit kronik berada dalam dilema. Mereka terpaksa menilai kembali kondisi kesihatan masing-masing untuk menunaikan ibadah itu.

Begitu juga dengan penghidap diabetes. Bagi golongan tersebut, berpuasa boleh meningkatkan risiko hipoglisemia iaitu kadar gula dalam darah terlalu rendah ataupun mengalami dehidrasi.

Bukan itu sahaja, mereka juga boleh berdepan dengan hiperglisemia yang merujuk kepada tahap gula dalam darah yang tinggi berikutan makan berlebihan ketika bersahur dan berbuka.

Merujuk Kajian Epidemiologi Kencing Manis dan Ramadan, kemasukan pesakit diabetes atau kencing manis jenis 2 ke hospital adalah sebanyak 7.5 kali ganda akibat hipoglisemia dan lima kali ganda disebabkan hiperglisemia.

Sebanyak 78.2 peratus daripada mereka direkodkan dapat berpuasa lebih 15 hari sepanjang Ramadan.

Baca juga Ibu hamil boleh berpuasa? Doktor ini kongsi tip, golongan tak digalakkan

Bagi memperhalusi lebih terperinci keupayaan pesakit diabetes untuk berpuasa, SinarPlus menghubungi dua pakar tempatan untuk mengulasnya. Apakah manfaat yang diperoleh mereka apabila berpuasa turut dijawab dalam artikel pertama sempena Ramadan pada tahun ini.

Terlebih dulu, kami mendapatkan pandangan Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Gastroenterologi, Hospital KPJ Rawang, Dr Rushdan Abdul Aziz.

Sawan & kematian

Kepada SinarPlus, Dr Rushdan berkata, para penghidap harus mengenali diri masing-masing berada dalam kategori risiko yang mana satu jika memutuskan untuk berpuasa. Berikut panduan yang perlu diperhalusi:

i) Puasa dengan risiko yang tinggi

-Diabetes yang tidak terkawal iaitu paras gula yang terlalu tinggi.

-Pesakit diabetes yang mengalami kegagalan buah pinggang.

-Mereka yang bersendirian di rumah terutamanya yang memerlukan suntikan insulin.

-Pesakit warga emas yang mempunyai masalah kesihatan yang lain.

-Kumpulan pesakit yang turut mengalami angin ahmar atau serangan jantung.

ii) Puasa dengan risiko sederhana

-Mempunyai paras gula yang terkawal dan mereka yang mengambil suntikan insulin.

iii) Puasa risiko rendah

-Pesakit yang sentiasa mengawal paras gula dalam darah dan mengamalkan pemakanan seimbang.

-Tidak mempunyai masalah sampingan seperti kegagalan buah pinggang atau angin ahmar.

“Daripada penjelasan itu, secara amnya, mereka yang mempunyai risiko sederhana dan rendah tiada masalah untuk berpuasa. Bagaimanapun, kategori yang berisiko tinggi tidak digalakkan berbuat demikian,“ tegasnya.

Seperti yang dinyatakan pada awal penulisan, para pesakit kencing manis boleh berdepan dengan masalah hipoglisemia atau hiperglisemia.

Baca juga Mira Filzah dan ibu hamil harus kenali tubuh dan kandungan sebelum berpuasa

Portal MyHealth dan Hello Doktor telah menyenaraikan beberapa petanda hipoglisemia. Antaranya seperti:

i. Pesakit akan berpeluh dengan banyak dan rasa sejuk. Menggeletar, letih dan lesu.

ii. Terdapat perubahan tingkah laku atau tidak sedarkan diri.

iii. Aras glukos rendah semasa pemantauan sendiri menggunakan glukometer.

iv. Situasi itu akan berlaku apabila aras gula pesakit di bawah 3.9 mmol/L.

Sementara, gejala indikator hiperglisemia pula adalah:

i. Peningkatan rasa dahaga dan sakit kepala.

ii. Mempunyai masalah untuk menumpukan perhatian dan penglihatan menjadi kabur.

iii. Kencing yang kerap termasuk rasa letih.

iv. Pengurangan berat badan dan gula darah lebih daripada 180 mg/dL.

Situasi itu tidak boleh dipandang enteng kerana ia boleh membuatkan seseorang pengsan, koma, sawan sehingga membawa kepada kematian, kata Dr Rushdan.

Kepentingan sahur

Pakar tersebut mempunyai satu peringatan khusus kepada penghidap diabetes tentang peri pentingnya amalan bersahur dan berbuka.

“Begini, apabila kita mula berhenti makan dan minum selama beberapa jam, paras gula dalam darah akan menjadi rendah. Justeru, saya sarankan pesakit untuk melewatkan waktu sahur, sebaiknya hampir dengan waktu imsak dan percepatkan masa berbuka,“ katanya.

Bagaimana pula dengan ubat-ubatan dan insulin? Menjawab pertanyaan itu, SinarPlus merujuk artikel yang dikongsi MyHealth.

Jelas portal berkenaan, pada tahap normal, insulin mempunyai peranan untuk mengatur kadar gula dalam darah iaitu sekitar 4 hingga 6 mmol/l dalam keadaan berpuasa dan di bawah 8 mmol/l, dua jam selepas makan.

Baca juga Waspada, kanak-kanak 10 tahun kini sudah derita diabetes angkara obesiti

Lazimnya, keadaan penyakit diabetes berlaku kerana organ pankreas dalam badan kurang menghasilkan insulin atau badan tidak dapat menggunakan glukos dengan berkesan. Itu punca paras gula di dalam badan akan meningkat.

Dalam pada itu, Pegawai Perubatan, Hospital Duchess of Kent, Sabah, Dr Nur ‘Adilah Faisal Sabri berkata, ubat jenis tablet yang kerap digunakan oleh pesakit diabetes ialah metformin. Ia mempunyai dua kategori iaitu jenis biasa dan extended release (XR).

“Bagi pesakit yang mengambil metformin jenis biasa tidak perlu menukar dos dan diambil dua kali sehari, manakala metformin XR, pesakit hanya perlu mengambil dos penuh pada waktu berbuka sahaja,“ beritahunya.

Berlainan pula dengan pesakit yang mengambil insulin. Kumpulan itu mempunyai dos yang berlainan sama ada sekali, dua kali atau empat kali sehari.

“Sebagai contoh, untuk pesakit dos dua kali sehari (premix insulin), dos pagi diambil pada waktu berbuka dan dos petang diambil pada waktu sahur.

“Namun, dos insulin pada waktu sahur kebiasaannya perlu dikurangkan sebanyak 20 hingga 50 peratus daripada dos biasa untuk mengelakkan hipoglisemia,“ beritahunya.

Air kosong & buah-buahan

Sebagai seorang yang mempunyai beberapa orang rakan yang menghidap diabetes, penulis melihat mereka tidak menjaga makan dan minum tidak kira sama pada bulan Ramadan atau hari-hari lain.

Mengulas mengenainya, Dr Nur ‘Adilah berkata, golongan itu sememangnya harus menikmati menu yang seimbang demi mengawal paras glukosa agar kekal stabil.

Berhubung pandangan yang mengatakan bahawa minum air kosong dan makan buah-buahan sebelum menjamah nasi boleh menjadikan paras gula lebih baik, berikut jawapan pakar tersebut: “Ya, beberapa kajian telah membuktikan bahawa pengambilan air kosong 30 minit sebelum makan akan membantu kalori jadi lebih rendah.

“Ini kerana kita akan rasa lebih kenyang dan serentak dengan itu, tahap gula dan berat menjadi lebih terkawal,“ jelasnya.

Pengambilan buah-buahan yang mengandungi serat tinggi sebelum makan hidangan berat juga sangat dialu-alukan, kata Dr Nur ‘Adilah.

Selain itu, senaman juga penting buat pesakit diabetes. Dengan beraktiviti, seseorang dengan mudah dapat membakar lemak, mengawal glukosa dalam darah, tekanan darah dan berat badan termasuk menguatkan jantung.

“Bagaimanapun, tiada senaman khusus untuk pesakit diabetes, tetapi mereka boleh melakukan pergerakan yang ringan secara berterusan dan bersesuaian dengan kemampuan sendiri,“ ujarnya.

Merujuk American Heart Association, Dr Nur ‘Adilah berkata, setiap individu hendaklah melakukan senaman sekurang-kurangnya 150 minit dalam seminggu atau 30 minit dalam tempoh lima hari. Ini bermakna, dalam sehari mereka perlu bersenam selama 21 minit.

Jaga makan waktu sahur dan berbuka, suntik insulin, sentiasa bersenam

BULAN Ramadan yang sentiasa dirindui menjadikan setiap daripada kita ingin menunaikan ibadah yang mulia itu.

Begitu juga dengan seorang pesakit diabetes, Marhayu Kadiman, 56.

Kepada SinarPlus, Marhayu berkata, selama berpuasa, beliau jarang mengalami masalah yang terlalu kritikal.

“Disebabkan saya berpenyakit, saya akan memastikan diri sentiasa berdisiplin. Pertama sekali dan yang paling penting, saya akan makan secukupnya terutamanya ketika waktu bersahur.

“Pada waktu itu, biasanya saya akan minum air kosong, makan sayur-sayuran dan akhir sekali buah-buahan yang akan memberikan saya tenaga hingga waktu azan Maghrib bergema,“ katanya.

Sempena Ramadan kali ini, wanita tersebut bernekad untuk mengehadkan masa membuat tempahan kuih raya.

“Saya bercadang untuk melakukannya pada sebelah pagi saja. Bukan apa, saya kena berwaspada kerana pada waktu petang kebiasaannya memang perut sudah terasa lapar dan mulai letih,“ jelasnya.

Ditanya sama ada pernah menghadapi situasi hipoglisemia atau hiperglisemia, beliau mengakui pernah berdepan dengan keadaan itu beberapa tahun lalu.

“Sebenarnya, ketika kejadian, saya belum lagi menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital, jadi saya hanya menganggap situasi berkenaan disebabkan keletihan. Selepas minum air manis, tubuh badan saya bertambah baik.

“Bagaimanapun, setelah disahkan mempunyai kencing manis, saya lebih mengawal pemakanan dan memang kurangkan pengambilan makanan yang manis untuk kawal kadar gula dalam darah,“ tambah beliau yang pada masa sama akan memastikan minum air yang secukupnya dan tidak berlebihan.

Ujar wanita itu lagi, walaupun pada bulan puasa, janji temu dengan doktor masih perlu dipenuhi bagi memastikan tahap kesihatan beliau stabil termasuk bacaan gula dalam darah perlu sentiasa ‘cantik‘.

“Sebagai seorang pesakit diabetes, saya juga membeli alat periksa gula untuk menyemak sendiri kandungan paras gula dalam darah sebelum dan selepas makan,“ katanya.

Dari segi pengambilan ubat-ubatan, Marhayu memberitahu, beliau akan mengambil dua dos insulin.

“Biasanya pada bulan puasa saya akan mengambil satu dos yang disuntik waktu sahur dan satu dos lagi selepas berbuka,“ ujarnya yang gemar memilih untuk melakukan aktiviti berkebun di sekitar rumah untuk mengeluarkan peluh.

Meskipun sudah mengikut nasihat dan saranan doktor, Marhayu memberitahu SinarPlus, beliau akan segera berbuka puasa jika badannya menunjukkan perubahan ketara seperti menggigil dan kesejukan.

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca