CUTI hujung minggu ni, pasti ramai yang berkira-kira untuk keluar berjalan, balik kampung, bercuti dan sebagainya. Maklum sajalah, sejak kelonggaran diberikan untuk merentas negeri, ramai yang merencanakan aktiviti masing-masing bersama keluarga.

Mungkin ada orang teringin sangat nak berjalan jauh selepas hampir tiga bulan ‘berkurung’ saja di rumah dek Perintah Kawalan Pergerakan tempoh hari.

Tak kiralah apa saja tujuannya, tapi jangan lupa patuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan. Jaga diri masing-masing kerana kita masih belum menang dalam usaha melawan Covid-19 ini.

Bila berjalan jauh, sudah tentu kita akan menggunakan rukhsah yang diberikan dalam Islam iaitu solat jamak dan qasar.

Ramai sedia maklum, kemudahan ini yang lazimnya dilakukan ketika seseorang itu bermusafir.

Tapi kalau dah lepas masuk waktu solat, kemudian kita baru nak memulakan perjalanan, boleh ke tunaikan solat jamak dan qasar juga? Kena solat jamak takdim ke jamak takhir kalau begini situasinya?

Dalam hal ini, sebenarnya ada khilaf dalam kalangan ulama. Tapi tak perlulah kita risau sangat sebab pendapat yang muktamad menyebut bahawa rukhsah berkenaan dibenarkan dalam semua keadaan di atas.

Firman ALLAH SWT: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang…” (Surah al-Nisa’, ayat 101)

Kata Imam al-Nawawi: “Maka ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb ‘ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu bandar, maka dia boleh qasar apabila dia berpisah dari bangunan yang dinisbah kepada bandar tersebut.

“Jika pagar kebun-kebun bersambung dengan pagar bandar maka dengan berpisah dari bangunan bandar sudah mengharuskan qasar, kerana kebun-kebun itu bukan daripada bandar, dan jika ada dua kampung bersebelahan maka seseorang yang keluar dari kampungnya (masuk ke kampung sebelah) sudah boleh qasar,” jelas Imam al-Nawawi sebagaimana disebutnya dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab (4/346)

Disebabkan itu, para ulama fiqh mensyaratkan, solat qasar hanya boleh dilakukan apabila sudah tahqiq (dipastikan) musafir dengan keluar dari kawasan bermukim.

Bila kita sudah keluar dari kawasan tempat tinggal kita, maka berlakulah hukum-hakam permusafiran. Berdasarkan fakta ini, maka seseorang yang keluar bermusafir setelah masuknya waktu solat dibenarkan untuk mengqasarkan solat.

Perkara itu disebut dalam al-Mu’tamad: “Adapun jika masuk waktu solat sebelum seseorang itu musafir, dan dia boleh sahaja menunaikannya ketika itu jua, tetapi dia keluar musafir, dia dibenarkan untuk mengqasarkan solat. Ini kerana hukum diambil berdasarkan sifat solat semasa keadaannya semasa ditunaikan, bukan keadaan semasa diwajibkan. Justeru, orang yang menunaikan solat sebagai musafir dibenarkan untuk qasar solat. Permusafiran itu hanya memberi kesan pada bilangan rakaat, bukan pada gugurnya kewajiban solat. Inilah perbezaan dengan hukum datang haid setelah masuk waktu.”

Namun begitu, ada sebahagian ulama tidak bersetuju dengan pandangan berkenaan kerana berpendapat, wanita yang haid selepas masuk solat perlu menggantikan solatnya sebagaimana dinyatakan oleh pengarang al-Bayan.

(Artikel berkaitan: Pulang beraya di kampung, berapa hari sebenarnya kita boleh solat jamak dan qasar?)

BOLEH tunaikan solat qasar dan jamak sekalipun kita keluar memulakan perjalanan musafir selepas masuk waktu solat yang pertama.

Bagaimana pula dengan solat jamak? Adakah ia boleh dilakukan jika musafir selepas waktu solat?

Sebenarnya, ia dibolehkan kerana salah satu syarat sah solat jamak ialah musafir dan tiada penghalang untuk mengatakan sebaliknya. Syeikh Hasan al-Kaf menyebut fakta ini di dalam al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm. 321):

Iklan

“Apabila seseorang itu mendapati waktu solat pertama telah masuk tetapi dia tidak menunaikannya, kemudian dia bermusafir pada waktu pertama itu, maka dibenarkan baginya untuk jamak takhir dengan syarat dia berniat jamak selepas dia keluar berpisah daripada umran (bandar/kampung/kawasan permukiman), dan tidak wajib ke atasnya untuk menunaikan solat pertama pada waktunya.”

Ini menunjukkan bahawa boleh baginya untuk jamak takdim mahupun jamak takhir.

Justeru, harus bagi orang yang bermusafir selepas masuk waktu solat yang pertama menunaikan solat-solat yang boleh dijamakkan. Tiada masalah untuk menggunakan rukhsah jamak dan qasar kerana hukum rukhsah berkenaan diambilkira selepas berlakunya permusafiran.

Kita kena ingat bahawa apabila solat itu dijamakkan atau diqasarkan, ia tidak sekalipun menggugurkan kewajipan solat ke atas kita meskipun dalam keadaan musafir.

Iklan

Namun begitu, mengambil langkah keluar daripada khilaf ulama itu adalah jalan terbaik jika tiada keperluan.

Semoga penjelasan ini boleh menjadi panduan kepada kita apabila ingin berjalan jauh nanti.

Jalan-jalan ni tiada masalah nak ke mana pun, asalkan jangan kita lupakan kewajipan kita kepada ALLAH SWT.

Sumber: Al-Kafi #1688: Musafir Selepas Masuk Waktu Solat: Adakah Boleh Jamak Qasar?, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan