HARI ini sudah memasuki 4 Syaaban. Selain bulan Ramadan, masyarakat kita sering berpuasa pada bulan Islam yang satu ini.

Apa tidaknya, Syaaban antara bulan yang digalakkan untuk kita banyak berpuasa.

Malah, ibadah itu juga seringkali dilakukan oleh Rasulullah SAW. Cuma, baginda tidaklah berpuasa penuh seperti pada bulan Ramadan dan meninggalkan satu atau dua hari sebelum berakhirnya bulan Syaaban. 

Daripada Aisyah RA berkata: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW melakukan puasa satu bulan kecuali puasa bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat beliau berpuasa lebih banyak berbanding bulan Syaaban. Terkadang hampir baginda berpuasa Syaaban sebulan penuh.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Antara hikmah di sebalik kebiasaan Rasulullah SAW memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban adalah kerana kedudukan bulan berkenaan dan puasa wajib Ramadan, yang mana ia seperti solat sunat qabliyah bagi solat wajib.

Pandangan berkenaan dijelaskan oleh kebanyakan ulama. Puasa sunat bulan Syaaban akan menjadi pelengkap bagi kekurangan bulan Ramadan.

Menurut Imam al-Nawawi, “Nabi Muhammad SAW tidaklah berpuasa sebulan penuh pada bulan selain Ramadan agar umatnya tidak menganggap perkara itu wajib.” (Syarh Muslim)

Iklan

Apa pun, semua itu terpulang kepada kemampuan masing-masing. Andai kata kita tidak mampu berpuasa, tidak perlu puasa.

Sebaliknya, jika mampu, bolehlah kita lakukan bersama-sama keluarga di rumah. Ambillah peluang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan untuk melatih anak-anak kita berpuasa.

Iklan

Nanti bila tiba bulan Ramadan, mereka sudah terlatih dan mampu berpuasa penuh, insya-ALLAH.

(Sumber: 100 Amalan Sunnah Rasulullah, Muhd Nasruddin Dasuki)