PEMAKANAN yang sihat amat penting lebih-lebih lagi sepanjang tempoh ‘berkurung’ di rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mendatarkan keluk penularan Covid-19.

Dalam masa yang sama, perlu diketahui bahawa tiada makanan yang spesifik untuk meningkatkan imuniti badan. Begitupun, pilihlah makanan yang seimbang.

Dengan itu, barulah zat boleh bekerjasama bagi menguatkan sistem imuniti  tubuh apalagi pada musim wabak ini. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan corak pemakanan yang baik untuk kesihatan diri?

Berikut perkongsian Pegawai Dietetik Klinikal, Pusat Perubatan Pakar Tawau, Sabah, Bebiyana Bidin mengenainya:

  • Seimbang, sederhana

Makanan sama sekali tidak merawat atau menghalang virus daripada tersebar atau memasuki tubuh. Akan tetapi, makanan yang sihat mampu membantu badan menjadi lebih kuat bagi melawan virus.

Cukuplah dengan makan makanan yang cukup dari segi komposisi nutriennya seperti karbohidrat, protein, serat, vitamin dan mineral daripada sumber buah-buahan dan sayur-sayuran.

Kurangkan makanan terproses dan tinggi garam seperti sosej, makanan dalam tin dan makanan segera. Makanan sebegitu boleh membuatkan individu berasa dahaga lebih cepat.

Elakkan juga makanan yang terlampau berminyak dan lebihkan jenis masakan bersup seperti singgang dan tomyam.

Kurangkan makanan bergula bagi mengelakkan peningkatan berat badan secara mendadak sepanjang PKP berlangsung.

  • Minum air secukupnya

Air adalah satu keperluan bagi setiap orang. Ia berfungsi sebagai pelarut makanan, serta sumber garam mineral dan vitamin. Air juga penting untuk mengawal suhu badan dan melancarkan peredaran darah.

Justeru, digalakkan untuk memastikan tubuh memperoleh air yang cukup, lebih kurang enam hingga lapan gelas mengikut keperluan tubuh bagi mengelakkan hidrasi. Penting untuk diketahui bahawa apabila tekak kering, mukus tekak tiada.

Oleh itu, bagi golongan yang terdedah kepada cuaca panas, disarankan minum lebih air bagi menggantikan cecair tubuh yang hilang melalui peluh.

Minuman lain seperti jus buah atau jus sayur tanpa gula yang kaya dengan antioksida, vitamin, mineral dan serat juga boleh diambil. Jangan lupa kurangkan pengambilan minuman mengandungi kafein. Kopi dan minuman beralkohol misalnya, mempunyai kesan diuretik seterusnya mengakibatkan pembuangan air kencing yang kerap sekali gus menyebabkan dehidrasi.

Banyakkan minuman suam atau sejuk, bergantung kepada kehendak masing-masing.

Sebenarnya, badan manusia sendiri mempunyai mekanisme yang boleh mengatur perubahan suhu air agar mengikut suhu tubuh.

Mitos bawang putih dan vitamin C

1. Bawang putih

Dari segi imuniti tubuh, pertahanan pertama yang akan melawan kemasukan patogen  seperti bakteria dan virus ialah sel darah putih.

Sel darah putih tidak spesifik atau kadang-kadang tidak cukup kuat. Justeru, sekiranya patogen tersebut berjaya melepasi sistem pertahanan tubuh yang pertama itu, antigen yang spesifik akan dicipta oleh tubuh manusia untuk melawan patogen tersebut.

Dari segi pemakanan, pelbagai jenis nutrien akan bekerjasama untuk menguatkan sistem imuniti badan. Nutrien tidak boleh berfungsi dengan sendiri tanpa sokongan daripada nutrien-nutrien lain.

Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), satu sudu kecil bawang putih hanya mempunyai empat gram (g) kalori, 0.18g protein, lima miligram (mg) kalsium, 0.05mg zat besi dan 0.9mg vitamin C.  Itu menunjukkan bahawa komposisi nutrien dalam bawang putih adalah sedikit dan masih memerlukan sokongan nutrien-nutrien lain.

Iklan

Justeru, lebih baik ambil makanan yang pelbagai dalam jumlah yang betul supaya tubuh mendapat semua nutrien yang diperlukan.

2.Dos vitamin C

Tubuh manusia juga tidak memerlukan suplemen megados seperti vitamin C sehingga 1,000mg sehari. Keperluan tubuh hanya lebih kurang 70mg vitamin C setiap hari bagi golongan berumur 19 tahun ke atas.

Sebanyak 80mg vitamin C pula diperlukan oleh wanita mengandung dan 95mg bagi wanita yang menyusukan bayi.

Selain vitamin C, buah-buahan turut mempunyai antioksida dan sumber vitamin lain.

Sebagai contoh, 100g jambu batu memiliki 152mg vitamin C, manakala 100g betik mengandungi 70.9mg vitamin C yang mencukupi untuk kegunaan tubuh seharian.

Semua nutrien yang diperlukan tubuh manusia hanya boleh diperoleh melalui makanan yang seimbang.

Iklan

Cukuplah dengan mengambil sumber karbohidrat seperti nasi, roti, oat dan mi serta sumber protein, ditambah dengan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Penting sekali, orang ramai perlu mengelakkan daripada mengambil produk haiwan seperti telur, daging dan susu yang tidak dimasak dengan sempurna.

PROFIL

Bebiyana Bidin

Pegawai Dietetik Klinikal

Pusat Perubatan Pakar Tawau, Sabah