Oleh RAFIUDDIN MOHD YUSOF

LUMRAH setiap insan mahukan dirinya disayangi dan menyayangi orang lain. Apatah lagi sesama ahli keluarga yang menjadi darah daging kita.

Setiap dalam kalangan kita datang daripada latar belakang keluarga yang berbeza. Barangkali ada yang mempunyai ahli keluarga ramai, begitu juga sebaliknya.

Berapa pun bilangan adik beradik kita, pastinya semua inginkan kegembiraan dan kasih sayang. Namun begitu, ada satu perkara yang sering kali kita terlepas pandang dalam kehidupan berkeluarga. Ia adalah sikap pilih kasih atau berat sebelah yang masih lagi wujud dalam kalangan masyarakat.

Ketahuilah, perbuatan tersebut hanya akan merosakkan keharmonian dalam sesebuah keluarga. Masakan tidak, apabila berlaku suatu perkara, tanpa kita sedar tingkah laku, pujian mahupun percakapan yang tidak menunjukkan keadilan atau kebersamaan antara satu sama lain akan dizahirkan.

Secara tidak langsung, tindakan itu boleh menyebabkan seseorang akan menganggap dirinya terasing atau dipinggirkan, seterusnya terasa hati serta memberikan kesan yang negatif kepada pemikiran serta dirinya.

Hakikatnya, Islam tidak mengajar umatnya untuk membeza atau membandingkan antara satu sama lain terutama sesama ahli keluarga. Sikap itu hanya akan menyebabkan wujudnya sifat dendam, iri hati dan sebagainya. Tidak kiralah sama ada dengan anak sendiri, menantu, cucu dan lain-lain.

Pilih kasih
BERI layanan sama rata kepada anak-anak kerana Islam mengajar kita agar membandingkan antara satu sama lain terutama sesama ahli keluarga.

Daripada Nu’man bin Basyir RA bahawasanya ayahku memberikan hadiah kepadaku. Lalu ibuku (‘Amrah binti Rawahah) berkata: “Aku tak meredai dan bersetuju dengan tindakan kau menghadiahi kepadanya sehinggalah kau meminta penyaksian (meminta kebenaran dan sokongan) daripada Rasulullah SAW.” Lalu ayahku berjumpa Nabi Muhammad SAW dan menceritakan kes yang berlaku lantas berkata: “Aku memberikan kepada anak lelakiku sebuah hadiah, tetapi isteriku menyuruh agar meminta kepastian daripadamu terlebih dahulu wahai Rasulullah SAW. Lalu, baginda SAW melontarkan persoalan: “Adakah anakanak yang lain kau berikan hadiah yang sama seperti ini?” Bapanya menjawab: “Tidak.” Lalu Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bertakwalah kepada ALLAH dan berlakulah adil terhadap kesemua anakmu.” Kemudian, ayah pulang dan meminta semula hadiah yang telah diberikan.” (Riwayat al-Bukhari)

(Artikel berkaitan: Ini hukumnya bila ibu bapa pilih kasih yang perlu kita tahu)

Membeza-bezakan layanan

Antara perkara lazim yang acap kali menjadi titik perbezaan yang membawa kepada sikap pilih kasih dalam masyarakat adalah dalam bidang akademik. Anak-anak yang lebih pandai akan dijulang. Bahkan, namanya sering kali meniti pada bibir ahli keluarganya berbanding anak yang lemah dalam pelajaran.

Begitu juga halnya jika ia bersangkutan dengan sikap rajin atau malas. Mereka juga akan dibeza-bezakan dalam keluarga. Malah, ada segelintirnya pula membuat ramalan nasib anak tersebut pada masa akan datang.

Siapakah kita yang boleh meramal masa hadapan seseorang walaupun anak kita sendiri? Sudah tentu ALLAH SWT lebih MAHA MENGETAHUI.

Selain itu, ada juga segelintir orang membezakan layanan bersandarkan kemewahan harta benda yang dimiliki oleh seseorang. Mereka yang dikurniakan kebendaan yang melimpah-ruah akan sentiasa disebut-sebut dan menerima layanan baik.

Bagi mereka yang hidup sekadar cukup makan, akan dipandang rendah. Malah, layanan yang diberikan pula jauh berbeza daripada mereka yang kaya.

Di samping itu, ada sebilangan ibu dan ayah melayan anak ataupun menantu tidak sama rata. Sebagai contoh, mereka akan memberi layanan istimewa kepada anak atau menantu yang rapat dengan mereka. Mereka akan bersikap sebaliknya pula dengan anak atau menantu yang lain.

Iklan

Melihat kepada situasi yang menyakitkan itu, sewajarnya kita bermuhasabah diri. Tiada keperluan untuk berbuat demikian, apalagi tindakan itu akan membuatkan hubungan keluarga bertambah renggang.

Sebaiknya, berbincanglah sekiranya terdapat perselisihan atau salah faham dalam keluarga. Jangan pula kita sering merasakan bahawa hanya diri sendiri sahaja betul.

Pilih kasih
USAH bersikap pilih kasih atau membanding-bandingkan anak sendiri dengan anak orang lain kerana tindakan itu boleh mendera emosi mereka kelak.

Ingatlah bahawa setiap manusia diciptakan oleh ALLAH SWT dengan perangai dan sikap yang berbeza.

Dengan kuasa ALLAH, tidak mustahil seseorang yang kita tidak suka atau mereka yang tidak mendapat layanan yang baik daripada kita kelak yang akan menjadi orang paling rapat dan penting dalam membantu kita.

Firman ALLAH SWT: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Apa-apapun, janganlah kita bersikap pilih kasih dan membanding-bandingkan anak sendiri, apatah lagi dengan anak orang lain. Situasi itu boleh menyebabkan anak-anak kita akan mengalami masalah emosi akibat sering kali dipandang rendah dan menatijahkan sesuatu yang buruk kepada masa depan mereka.

Iklan

Justeru, sebagai seorang yang mempunyai iman serta akal fikiran, janganlah kita terikut-ikut dengan hasutan syaitan yang mahukan hubungan sesebuah keluarga itu berantakan.

Sebaliknya, jadilah seorang yang adil dalam setiap tindak-tanduk kita kerana Islam adalah agama yang sangat mementingkan keadilan. Bersikap adil dalam keluarga demi mengekalkan keharmonian antara satu sama lain.

Sentiasalah menyayangi antara satu sama lain dan membantu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi secara bersama. Insya-ALLAH, kita akan memperoleh keluarga yang bahagia dan memahami antara satu sama lain.

***Rafiuddin Mohd Yusof ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Johor

Foto: Freepik