HEADLINES

Tak sempat sembelih haiwan korban hari ini, boleh ke buat hari lain?

Korban dalam negara dan luar negara
July 31, 2020
Nurulfatiha

PADA hari ini, seluruh umat Islam di dunia akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Ia jatuh pada hari Jumaat, penghulu segala hari.

Walaupun suasananya mungkin berbeza, tidak semeriah tahun-tahun sebelum ini dengan kehadiran ramai orang ketika ibadah korban kerana wabak Covid-19, namun ia sedikit pun tidak mencacatkan sambutan hari raya korban.

Dengan petugas yang terhad pada tahun ini dan prosedur operasi standard yang ditetapkan, pasti ada pihak yang gusar tidak sempat untuk menyempurnakan proses sembelihan haiwan korban berkenaan.

Bolehkah korban dilakukan selepas Hari Raya Aidiladha pertama? Sebenarnya, bilakah waktu terbaik untuk melakukan ibadah korban ini?

Firman ALLAH SWT: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (Surah al-Khautar, ayat 2)

Kata Al-Imam al-Qurtubi RA dalam al-Jami’li Ahkam al-Quran: “Dimulakan dengan solat (solat Hari Raya Aidiladha) sebelum melakukan ibadah korban.”

Ini bermakna, waktu sembelihan haiwan korban bermula selepas timbulnya matahari iaitu pada hari ke-10 Zulhijah iaitu hari ini.

Kadar timbulnya matahari itu dikira selepas selesainya solat sunat Hari Raya Aidiladha dan dua khutbah yang ringan iaitu tidak panjang berjela.

Pun begitu, tidak semestinya sembelihan itu dilunaskan dalam masa satu hari. Ini kerana waktu berkenaan adalah panjang iaitu bermula timbulnya matahari 10 Zulhijah hinggalah hari Tasyrik.

Hari Tasyrik itu bersamaan dengan 11, 12 dan 13 Zulhijah. Ini bermakna, kita mempunyai empat hari untuk menyempurnakan ibadah korban berkenaan.

Andai kata, proses sembelihan korban dilakukan sebelum daripada waktu yang dinyatakan itu, maka ia tidak dianggap sebagai korban. Sebaliknya, ia hanya dikira sebagai sedekah sahaja iaitu sembelihan untuk mendapat daging semata-mata.

Begitu juga jika sembelihan dilakukan selepas tamat hari Tasyrik. Ia tidak dikira sebagai sembelihan korban.

Ia sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang mana baginda bersabda: “Perkara pertama yang kami mulakan pada hari ini, (hari raya) ialah kami bersembahyang. Kemudian kami pulang dan menyembelih korban. Oleh itu, sesiapa yang melakukan perkara tersebut maka dia telah melaksanakan sunah kami. Dan sesiapa telah menyembelih sebelum itu, maka ia adalah daging untuk ahli keluarganya, bukan untuk ibadat korban sedikit pun.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berkenaan waktu afdal untuk menyembelih haiwan korban, menurut pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji, waktunya adalah selepas selesai solat sunat Hari Raya Aidiladha.

Kepada individu yang telah bernazar untuk melakukan ibadah korban, mereka perlu melakukan sembelihan itu sebelum berakhirnya hari Tasyrik.

Jika tidak, ia dikira sebagai qada. Qada berkenaan tidak akan gugur dengan sendiri meskipun telah berlalunya waktu.

Demikian penerangan yang dipetik daripada kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e yang dikarang oleh Prof Dr Muhammad al-Zuhayli.

Justeru, tiada masalah andai kita melakukan sembelihan pada hari ke-11, 12 dan 13 Zulhijah iaitu 1, 2 dan 3 Ogos ini.

Sumber: Irsyad al-Fatwa Haji dan Korban Siri 15: Waktu Terbaik Melakukan Korban, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Gratitude yummi.club

About Nurulfatiha

Biodata Penulis