ISTERI digigit dek seekor ular, si suami terus menangkap dan membawa sekali haiwan berbisa itu ke hospital.
Begitu tindakan pantas seorang lelaki di India yang mencuri perhatian ramai apabila membawa seekor ular yang menggigit isterinya ke hospital.
Menurut laporan Gulf News, kejadian tersebut berlaku di Afzal Nagar, negeri Telangana, India.
Bagaimanapun setelah wanita dikenali Ramendra Yadav itu digigit, ular berkenaan sama sekali tidak dipukul atau dihalau keluar, si suami bertindak menangkap haiwan berkenaaan sebelum memasukkannya ke dalam botol.
Susulan daripada itu, dia membawa isterinya ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan dan doktor ketika itu sempat bertanyakan tujuan asal dia membawa ular tersebut.
Ujar lelaki terbabit, tindakan itu sebagai persediaan sekiranya doktor bertanya ular jenis apa yang menggigit isterinya.
"Saya boleh terus tunjukkan kepada mereka. Saya akan lepaskan ular ini kembali ke hutan selepas isteri saya dibenarkan keluar hospital," ujarnya.
Baca juga Sayang, enggan berpisah jasad anak, ibu sorok mayat seminggu hingga berbau
Sementara itu, ini langkah awal yang perlu dibuat jika anda digigit ular.
Menerusi portal myhealth, risiko kematian dapat dielakkan sekiranya langkah-langkah berikut dapat diambil dengan segera, seperti ;
1. Bertenang atau tenangkan mangsa.
2. Hadkan pergerakan bahagian atau anggota yang dipatuk bagi mencegah bisa merebak ke dalam tisu dan ke seluruh badan. Sekiranya dipatuk pada bahagian tangan atau kaki maka penggunaan splint pada anggota berkenaan adalah disyorkan.
3. Minta bantuan (jika berseorangan) atau hubungi anggota perubatan di klinik atau hospital berdekatan menggunakan talian 999.
4. Jika berlaku perdarahan, berikan tekanan ke atas luka menggunakan kain bersih.
5. Gunakan papan atau papah mangsa sekiranya mangsa perlu dipindahkan.
6. Sekiranya, bantuan lambat tiba, bawa mangsa ke pusat rawatan berdekatan.
7. Cuba sebaik mungkin untuk mengenal pasti jenis ular yang mematuk atau menggunakan kamera atau telefon bimbit untuk mengambil gambar ular.
8. Membawa ular yang telah mati ke pusat rawatan bagi membantu mengenal pasti jenis ular (pastikan keselamatan sentiasa diutamakan).
Baca juga Kanak-kanak 3 tahun maut tertembak, abang 5 tahun main pistol 'bodyguard'
9. Pemakaian"torniquet” adalah tidak digalakkan.
10. Jangan sesekali menyedut atau memotong bahagian luka patukan ular.
11. Doktor akan memberikan rawatan perubatan seperti berikut;
- Suntikan antivenom akan diberikan bagi mengelak komplikasi akibat racun (toksin) yang ada di dalam bisa ular (jika perlu).
- Suntikan anti-tetanus akan diberikan bagi mengelak serangan kancing gigi (jika perlu).
- Pemberian ubat penahan sakit (jika perlu).
- Pemberian ubat antibiotik (jika perlu).
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.