DUA beradik berdepan pergaduhan apabila masing-masing berebut harta peninggalan mendiang ibunya yang bernilai kira-kira RM3,995,600.
Sejak tahun 2014, ibu mereka, Margaret Baverstock disahkan menghidap Demensia (nyanyuk) yang menyebabkan tahap kesihatannya kian merosot.
Keadaan itu menyebabkan anak perempuannya, Lisa Baverstock Lisa mula berpindah masuk ke rumah bagi menjaga ibunya yang berada di penghujung usia sekitar 2019.
Namun, menurut adiknya, Mark Baverstock, kakaknya mula bersikap mencurigakan termasuklah menghalangnya daripada berada di kediaman berkenaan. Di sebalik layanan buruk berkenaan, beliau mengesyaki kakaknya cuba ‘menyingkirkan’ kewujudannya daripada pandangan mak.
Pada Mac 2021, Margaret yang semakin tenat dipaksa oleh Lisa untuk menandatangani sekeping dokumen pemindahan harta pusaka. Perangai jahat itu terbongkar melalui sebuah rakaman video yang terlihat beliau menggenggam tangan ibunya dan menekan mata pen ke atas dokumen berkenaan.
Walhal dari segi undang-undang, orang yang tidak sihat dan tidak mampu memahami klausa dalam dokumen tidak seharusnya menurunkan persetujuan mereka. Hasil perbuatan tersebut, keseluruhan harta pusaka terbabit akhirnya beralih kepada Lisa seorang.
Walau bagaimanapun, Mark yang tidak berpuas hati dengan perkara itu telah memfailkan tuntutan sivil bagi mendapatkan haknya. Lisa kemudiannya berkata dialah anak yang menjaga ibunya seorang diri hingga sanggup meninggalkan segala-galanya di saat Mark langsung tidak mempedulikan kebajikan ibunya sejak 2017 lagi.
Tambah wanita itu lagi, ibunya memang mahu menyerahkan seluruh harta beliau yang sudah menjaganya selama ini.
Setelah meneliti video tersebut, mahkamah berpendapat tandatangan yang diturunkan oleh Margaret atas paksaan Lisa adalah tidak sah. Segala harta itu akhirnya dibahagi kepada 2 bahagian dan Lisa turut diarahkan membayar kos guaman sebanyak RM456,640 kepada pihak Mark.
Sumber : Dailymail