Kos rawat pesakit kanser akibat nikotin cecah RM150,000. KKM wujudkan pelan generasi tak kenal rokok

Iklan
rokok

TREND merokok alaf baharu yang dikaitkan dengan penggunaan vape dalam kalangan anak muda cukup membimbangkan. Masakan tidak, kanak-kanak seawal usia lima tahun dilaporkan sudah mula terjebak dengan ketagihan nikotin.

Impaknya bukan biasa-biasa. Kemunculan Evali iaitu penyakit berkaitan paru-paru akibat rokok elektronik atau vape sudah mula dikesan sejak dua tahun lalu.

Iklan
Iklan

Berdasarkan statistik Centers for Disease Control and Prevention, Amerika Syarikat, sebanyak 2,807 kes kerosakan paru-paru disebabkan Evali dan 68 kematian direkodkan setakat Februari 2020.

Iklan

Bukan itu sahaja, bahana vape juga boleh membuatkan seseorang mendapat kanser. Hal itu bukan sekadar kata-kata kerana ia merujuk kepada bukti epidemiologi beberapa kajian yang dijalankan sejak tahun 2005 lagi.

Melihat situasi negatif itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah proaktif dengan membentangkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok serta mewujudkan peruntukan berkaitan Generasi Penamat (GEG) di Parlimen baru-baru ini.

Iklan

Mengulas mengenai pelan tindakan KKM itu, Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Tenaga Nasional, Muhammad Aqil Mirza Mohd Shafiee berkata, pelaksanaan GEG dilihat sebagai satu inisiatif terbaik dalam usaha mengawal selia produk tembakau.

"Dalam hal ini, saya tak nafikan vape sudah menjadi satu trend dalam kalangan anak muda khususnya mahasiswa universiti.

"Justeru, sudah menjadi misi dan perjuangan MPP untuk membantu kerajaan bagi memastikan kita semua hidup dalam satu persekitaran yang lebih bersih tanpa amalan membahayakan termasuk merokok," katanya.

Baca juga Generasi akan datang tak akan kenal rokok, vape bila pelaksanaan Generasi Penamat (GEG) diperkenalkan

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel jemputan untuk Program Wacana Sinar Harian bertajuk Akta Tembakau: Apa Kata Anak Muda yang berlangsung di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf baru- baru ini.

Turut hadir Pakar Perubatan kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Noraryana Hassan dan Pengarah Perubatan, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Dr M Murallitharan.

Muhammad Aqil Mirza pada masa sama melontarkan idea agar kempen bersepadu GEG dengan pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan juga digembleng bersama.

"Selain itu, saya lihat program berkonsepkan Peer to Peer bersama rakan sebaya boleh diketengahkan supaya mudah untuk mereka berkongsi cerita dan mendengar penerangan mengenai bahaya merokok dengan lebih mendalam.

"Kita memahami kecenderungan remaja untuk mencuba merokok dengan kaedah konvensional atau elektronik memang tinggi. Daripada mula mencuba, mereka akhirnya terperangkap dan sukar untuk berhenti," ujarnya.

Mengakui jihad untuk memotivasi anak muda bukan satu tugas mudah, kata pemimpin pelajar itu, perjuangan tersebut mesti diteruskan walaupun mengambil masa yang agak panjang.

"Ini adalah langkah pertama untuk langkah seterusnya. Sudah tentunya apabila kita bercakap tentang GEG, kita akan menerima perspektif 360 darjah dan berbeza daripada banyak pihak.

"Oleh yang demikian, kami (MPP) bersedia menjadi salah satu platform untuk memotivasikan anak muda demi mencapai solusi lebih baik," katanya.

Bermula dari rumah

Bagi Dr Murallitharan, GEG merupakan polisi konkrit dalam menoktahkan tabiat merokok belia menjelang tahun 2040.

Sebagai pakar perubatan, beliau secara jelas dapat melihat beban pesakit kanser kesan daripada tembakau di negara ini yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Orang muda kata merokok hanyalah sekadar untuk untuk menghilangkan tekanan, tetapi sebenarnya ia boleh menyebabkan mereka ketagih dengan nikotin.

"Vape sememangnya boleh menjadi 'perantara' ketagihan tembakau. Tidak mustahil, para belia mula mengejar nikotin dalam pelbagai bentuk tanpa memikirkan kesan buruk terhadap kesihatan," terangnya.

Pandangan tersebut turut disokong Dr Noraryana dengan menambah, amalan merokok alaf baharu telah dan bakal mengganggu produktiviti negara.

Baca juga Generasi lahir 2004 haram merokok! New Zealand mahu wujud negara bebas asap

"Itu sebabnya apabila berbicara mengenai GEG, saya bukan sahaja bercakap berkaitan akta semata-mata, tetapi mahu mewujudkan ekosistem komprehensif bermula daripada institusi kekeluargaan lagi," katanya.

Bagi merancakkan lagi usaha, beritahu beliau, KKM turut melaksanakan Program MyHOUSE.

MyHOUSE merupakan kempen mempromosikan suasana rumah bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok secara sukarela.

Ia digerakkan secara bersama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Baca juga Doktor kongsi pendekatan paling mudah terbaik untuk berhenti merokok. Mereka yang ada niat, kena cuba

"Usaha ini sudah pun dijalankan. Kita mahu menjayakan misi bebas rokok bermula dari rumah lagi. Serentak dengan itu, kempen ini antara lain membantu ibu bapa (perokok sekunder dan tertier) yang mahu berhenti merokok untuk jangka masa lima tahun.

"Jika tidak dibendung dari sekarang, kos yang ditanggung untuk membiayai nilai rawatan penyakit kanser paru-paru cukup tinggi. Bagi seorang pesakit, biasanya jumlahnya dianggarkan lebih kurang RM150,000," jelasnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan