APABILA Tinjauan Kesihatan Remaja oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2017 mendedahkan, penggunaan rokok konvensional dalam kalangan remaja perempuan semakin meningkat, ia merupakan suatu fenomena yang amat mendukacitakan.

Seiring dengan perkembangan semasa, kelompok itu dilihat semakin menjadi-jadi apabila beralih kepada produk merokok alaf baharu iaitu rokok elektronik atau vape pula.

Buktinya, penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia yang melakukan kajian ke atas 422 pelajar di tiga buah sekolah menengah di Kuala Lumpur mengesahkan, 42.2 peratus antara mereka menggunakan peranti itu untuk melepaskan ketagih.

Berdasarkan penyelidikan Adolescent Health Survey pula, seramai 211,000 orang (lelaki, 17 peratus dan wanita, 2.8 peratus) dilaporkan melakukan perbuatan serupa.

Itu satu situasi. Kajian oleh Tobacco and E-Cigarette Survey Among Malaysia Adolescents yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Umum pada tahun 2016 memperlihatkan, seramai 330,000 remaja berumur (antara 13 hingga 17 tahun) merokok dengan lelaki sebanyak 27.8 peratus, manakala perempuan 2.6 peratus.

Pada tahun berikutnya, melalui kajian Adolescent Health Survey mendapati, trend menghisap rokok konvensional untuk kumpulan sasaran sama menunjukkan penurunan iaitu seramai 295,000.

Dr Noraryana Hassan yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Kawalan Tembakau & Urusetia Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Kawalan Tembakau (FCTC), Bahagian Kawalan Penyakit, KKM meluahkan kekhuatirannya kepada SinarPlus terhadap keadaan kurang sihat itu.

Beritahu beliau, hasil dapatan kementerian, peratusan merokok di Malaysia secara keseluruhannya menunjukkan penurunan yang sangat sedikit. Melalui Tinjauan Morbiditi Kebangsaan, kadar yang sangat perlahan dapat dilihat dengan jelas dari tahun 2015 (22.8 peratus) kepada 21.3 peratus pada tahun 2019.

“Pada masa sama, trend penghisap vape juga semakin membimbangkan. Jika dikira berdasarkan jumlah penduduk, penggunaan vape meningkat daripada 600,000 orang kepada 1.2 juta orang,“ katanya.

GEG & EVALI

Justeru, apa solusi kepada permasalahan tersebut? Ujar Dr Norayana, bagi melahirkan generasi pada masa akan datang yang tidak lagi kenal apakah itu rokok atau vape, KKM telah memperkenalkan Generasi Penamat (GEG).

New Zealand dan Denmark antara dua negara yang telah mempraktikkan GEG.

Ujar Dr Noraryana, GEG merupakan satu konsep yang telah diketengahkan oleh pakar-pakar di peringkat antarabangsa bagi memperkukuhkan kawalan tembakau sedia ada yang telah dilaksanakan di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) FCTC.

Antara objektif GEG yang digariskan adalah seperti berikut:

i) Peratusan merokok dikurangkan kepada 5 peratus atau kurang daripadanya.

ii) Menamatkan penjualan komersial produk-produk tembakau.

iii) Menjadikan merokok sebagai budaya yang tidak boleh diterima masyarakat.

iv) Sifar pendedahan mengenai penggunaan tembakau dan produk merokok kepada generasi muda.

Seperti yang diuar-uarkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini, kementerian sedang dalam usaha untuk mewujudkan larangan merokok bagi generasi akan datang di bawah draf Rang Undang-Undang Akta baharu yang bakal dibentangkan dalam masa terdekat, ujar Dr Noraryana.

Bentuk pelaksanaan yang akan diperkenalkan adalah dengan melarang sebarang bentuk penjualan, pembelian dan pemilikan produk tembakau dan produk pengganti tembakau termasuk vape bagi mereka yang lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya. Peruntukan yang diperkenalkan ini akan menggantikan peruntukan di bawah undang-undang sedia ada yang hanya melarang penggunaan merokok di bawah umur 18 tahun dan ke bawah,” jelasnya.

Dengan pemahaman mudah, selepas ini, golongan tersebut yang lahir bermula pada tarikh berkenaan dilarang untuk membeli, menggunakan dan berada dalam milikan sebarang produk merokok sepanjang hayat mereka.

Sesungguhnya, kata Dr Noraryana yang juga Pakar Perunding Kesihatan Awam dan Epidemiologi NCD, pelaksanaan GEG amat signifikan untuk dilaksanakan.

Mengapa saya berkata begitu? Seperti yang disedari umum, pelbagai komplikasi kronik seperti kanser, jantung, radang paru-paru dan banyak lagi boleh tercetus akibat merokok. Akibatnya, kerajaan bakal menanggung beban kos rawatan untuk merawat hanya tiga daripada pelbagai penyakit itu sebanyak RM8.2 bilion pada tahun 2030!,” katanya.

Terkini, beritahu pakar itu, penggunaan vape boleh menyebabkan keradangan pada selaput paru-paru yang dikenali sebagai penyakit EVALI atau Electronic Vape Associated Lung Injury. Ia telah mula dikesan di Amerika Syarikat pada tahun 2019 dan malangnya, kes itu telah berlaku di Malaysia.

Jelasnya, kos bagi merawat EVALI bukan calang-calang kerana ia akan mencecah sebanyak RM369 juta menjelang tahun 2030.

KKM berharap ,pelaksanaan GEG ini nanti bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa anak-anak kita, tetapi pada masa yang sama mampu memenuhi kewajipan Malaysia terhadap artikel yang telah digariskan di bawah WHO FCTC yang mana Malaysia telah menjadi anggota hampir 20 tahun yang lalu. Pada masa sama, dapat membantu kita mencapai Permainan Akhir Tembakau (The End Game of Tobacco Control) iaitu peratusan merokok kurang daripada 5 peratus sebelum tahun 2040,“ katanya.

Ramadan masa terbaik

Mengulas lanjut, Dr Noraryana berkata, jangka hayat bagi golongan perokok diramal akan berkurangan sebanyak 10 tahun jika dibandingkan dengan individu yang sihat.

Tuturnya, pakar penyelidik dari Universiti Monash Malaysia menerusi kajian bertajuk Kesan Penggunaan Tembakau Terhadap Kesihatan dan Produktiviti Kerja di Malaysia menunjukkan, 45 peratus kematian yang berlaku di Malaysia adalah dalam kalangan perokok lelaki. Daripada jumlah itu, 23 peratus terdiri di dalam kumpulan yang produktif.

Iklan

Berdasarkan Quality Adjusted Life Years (QALY) iaitu satu bentuk pengukuran yang digunakan untuk menganggarkan kualiti kehidupan seseorang, individu yang merokok mengalami pengurangan kualiti kehidupan sebanyak 1.3 QALY.

Kualiti kehidupan sangat penting dalam peningkatan produktiviti negara dan daya saing. Jika tidak dibendung, kerajaan sekali lagi bakal berdepan dengan kerugian sebanyak RM273.5 bilion akibat kematian pramatang, ketidakhadiran bekerja kerana masalah kesihatan ataupun tidak dapat menyumbang kepada kelancaran kerja kerana kesihatan terganggu,” katanya.

Ungkap Dr Noraryana, seandainya peratusan merokok dapat dikurangkan sebanyak 50 peratus, kos kerugian akibat permasalahan berkenaan dapat dijimatkan sebanyak RM137.7 bilion.

Sehubungan itu, menjelang bulan Ramadan yang akan disambut pada minggu hadapan, beliau berkata, ia merupakan masa terbaik untuk orang ramai tidak mengira lapisan umur untuk menghentikan tabiat merokok.

“Saya faham, dalam masa sehari, dua memang akan perit sedikit. Apa yang dimaklumkan oleh rakan kongsi perkhidmatan berhenti merokok di farmasi swasta, ubat nikotin patch dan gula-gula getah akan laku kerana ramai perokok yang cuba untuk berhenti merokok.

“Cuma, apa yang saya dapati, cara penggunaan ubat itu tidak betul. Ubat yang kita bagi, ia bukanlah terus beri kesan cepat, tetapi ia mengambil sedikit masa. Jika mereka jenis tidak sabar, kemungkinan amalan buruk itu akan diteruskan. Itu sebab saya katakan, teknik menggunakannya kena tepat,” jelasnya.

Sekiranya pendekatan tersebut gagal, Dr Noraryana mengesyorkan agar orang ramai mendapatkan bantuan untuk berhenti merokok dengan melayari www.jomquit.com yang dijalankan dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia.

Daripada pengalaman saya, walaupun seseorang itu dalam kategori perokok tegar, tetapi sebenarnya mereka memang nak berhenti merokok. Pun demikian, untuk ke arah itu, mereka rasa agak payah sebab ada masalah ketagihan. Dalam hal ini, saya sangat sarankan untuk mereka dapatkan rawatan sewajarnya,“ katanya.

 

‘Denda paling berat kepada anak saya dan kawan-kawan yang terjebak sama‘

Iklan

SEORANG ibu yang mahu disapa sebagai Azwa, 45, berkata, memiliki seorang anak yang kaki hisap vape membuatkan beliau sangat tertekan.

Hatinya hancur apabila si anak rupa-rupanya sudah mula berjinak-jinak dengan perbuatan buruk itu sejak berada di tingkatan 2 lagi.

Bayangkan, sekarang dia sudah di tingkatan 4 dan berumur 16 tahun. Agaknya semua wang saku sekolah saya berikan, dia gunakan beli vape dan macam-macam flavor (perisa) yang dijual oleh seniornya di sekolah. Patutlah, dia kerap kunci bilik dan bila saya masuk, terasa macam ada bau vanila, rupa-rupanya itu asap vape. Salah saya juga tak bertanya lanjut,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Sebaik dimaklumkan tentang konsep Generasi Penamat (GEG) yang bakal dilaksanakan kelak, Azwa menyokong 100 peratus cadangan itu.

“Saya setuju sangat, ia sebagai satu denda paling berat kepada anak saya dan mungkin kawan-kawan lain yang terjebak sama. Namun, saya harap penguatkuasaan kepada usaha itu diperketatkanlah. Jangan pula ada isu rokok atau vape seludup pula,” katanya.

Sementara itu, sebagai seorang Ketua Pengawas di sebuah sekolah di Kuala Lumpur, Mohd Andi (nama samaran) yang sering menyaksikan ketagihan merokok dalam kalangan pelajar berpendapat, GEG adalah satu usaha yang sangat dialu-alukan.

Saya lihat bukan sahaja lelaki, malah budak perempuan tanpa segan-silu menghisap vape dan ada yang hisap rokok konvensional. Mereka berbangga dengan perbuatan itu. Saya sakit mata setiap kali memandangnya. Pun demikian, ada di antara mereka yang nak tinggalkan tabiat itu, tapi tak tahu jalan keluar. Saya harap GEG dapat membantu ke arah itu,” ujarnya.

Mohd Andi kemudian memperkenalkan kepada penulis seorang rakannya, Jali, 15.

Jali merupakan bekas perokok tegar juga berharap GEG dapat terus ‘membutakan‘ mata generasi sepertinya daripada terus mengenali rokok atau vape.

“Macam saya, mula-mula saya rasa syok dan gian, tapi saya terlupa saya ada penyakit jantung berlubang. Asap rokok memang beri kesan kepada saya. Jadi, kepada remaja yang terasa ingin mencuba hisap rokok atau vape, lupakan hasrat itu kerana impaknya kalau tak rasa sekarang, mungkin bila kita dah tua nanti,“ katanya.

Akui Jali, pada tahun lepas beliau tidak berpuasa gara-gara ketagihan. Namun, selepas meninggalkan vape pada pertengahan Julai tahun lepas, dirinya nekad untuk menunaikan ibadah itu dengan baik. -MAZLINA ABDUL MAJID