MENINGGAL dunia mengejut, catatan seorang arkitek wanita yang sarat hamil, Aizura Zulkifli menjadi perhatian warga maya.
Sedang hamil anak kelima, Aizura yang berusia 40 tahun pergi bersama syahid kecil di dalam kandungan.
Pemergian Aizura menjadi perhatian ramai selepas berita pemergian wanita itu dikongsikan rakan, Siti Suryani Yaakop.
"Kawan-kawan sekalian ini Kak Aizura Zulkifli. Beliau selalu sangat komen pada hantaran saya di Facebook. Beliau kakak senior masa saya di sekolah.Orangnya lucu, baik hati dan merendah diri walaupun dengan saya yang junior ni.
"Kak Aizura tengah mengandung dan semalam beliau menulis tentang rasa sesak nafas dan batuk sejak mula mengandung. Hari ini dapat perkhabaran beliau telah pergi meninggalkan kita semua. Doakan semoga roh arwah ditempatkan disisi hambaNya yang beriman dan beramal soleh," titip Siti Suryani.
Aizura yang sedang sarat hamil sempat meluahkan 'angin tak lepas'. Bekas arkitek itu berkongsi simptom yang dialami berkaitan pernafasan dan penghadaman.
Berikut catatan beliau yang menyentuh hati ramai:
Nikmat bernafas, nikmat membuang air besar, nikmat kentut. Antara nikmat yang jarang kita syukuri kerana setiap hari dapat melakukannya tanpa masalah.
Bangun pagi sahaja sudah boleh menghirup udara segar. Masuk tandas boleh membuang air seperti biasa.
Sejak semasa membuka buku pink (mendaftarkan kehamilan) tempoh hari, aku sudah terbatuk-batuk kecil. Jururawat ada bertanya masa tu, tetapi aku beritahu sebab muntah lepas gosok gigi, maka tekak tidak selesa. Rupa-rupanya batuk itu bukan sekejap sahaja.
Batuk-batuk ini menyebabkan aku semakin mengah untuk bernafas hinggakan rakan sepejabat beranggapan aku berjogging.
Beberapa hari selepas itu, Selasa 18 OKtober, aku batuk, mengah dan sakit dada sebelah kanan. Kahak pula ada sedikit darah. Aku ke klinik dan doktor berikan ubat batuk herba sahaja. Sarannya jika sakit dada keterlaluan boleh ambil paracetamol. Ubat lain memang tidak sesuai.
Baca juga: Jika terkena sesak nafas ringan, ini 7 cara redakan asma secara semula jadi
[caption id="attachment_96092" width="800"] Gambar hiasan (Kredit foto: Unsplash)[/caption]
Hari Khamis, rasa agak baik dan ada selera makan. Jadi pada paginya makan bihun di pejabat. Tengah hari aku makan limau sejuk, selepas makan limau rasa tidak selesa pada dada kanan. Bukan rasa ketat dada tetapi sakit mencucuk. Aku agak ini angin.
Khamis malam sudah mula rasa tidak larat, beritahu suami tetapi beliau seperti berbelah bahagi untuk balik, ada urusan lagi.
Aku sudah tidak kisah kalau suami tidak balik, aku boleh telefon sahaja ambulans. Anak-anakm Yam dengan Haajar pandai-pandailah jaga diri. Aku tidak boleh berbaring, rasa sangat sakit. Tiada posisi yang selesa dan hanya boleh tidur duduk sahaja. Setiap kali tarik nafas dan batuk akan rasa sangat sakit pada dada.
Pada Jumaat aku sekali lagi ke klinik. Oksigen turun sedikit maka doktor bagi rawatan nebulizer. Aku diberikan ubat sembelit juga kerana sudah seminggu tidak membuang air besar.
Alhamdulillah kini aku sudah boleh bernafas agak baik.Cuma kalau baring masih tidak selesa. Tarik nafas dalam pun ada rasa mencucuk dada, jadi aku bernafas pendek sahaja.
Semua aktiviti melibatkan otot dada dan perut seperti batuk, bersin, muntah, menguap, tarik nafas dalam, semuanya membuatkan aku rasa sakit. Kahak pada waktu pagi masik ada darah pekat. Agaknya aku batuk kuat sangat.
Aku tidak penah hadapi situasi seperti ini. Penyakit refluks asid (gastroesophageal reflux disease - GERD) atau apakah ini, memang tidak pernah.
Aku memang sudah berhenti minum kopi, kurangkan makanan gluten keranan rasa kembung selepas makan. Makanan tinggi histamin memang jarang ambil sepanjang kehamilan kerana aku memang ada isu berkaitan makanan itu.
Doakan aku sihat seperti biasa, gambar aku masa sakit sangat buruk. Aku masih tidak buang air besar, doakan ya. #catatanpregnantdiusia40.
Aizura dalam hantaran lain turut berkongsi degupan jantungnya laju dan rasa hendak pitam.
[caption id="attachment_96091" width="800"] Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)[/caption]
Malah beliau berkongsi sakit pada kaki kanan dan terpaksa berjalan terhincut.
"Sakit kaki kanan dan mula kejang pada betis. Semasa memasak tempoh hari sedikit terpelecok. Urut sendiri, selepas urut esoknya rasa sakit hinggakan tidak boleh berpijak atas lantai. Doktor berikan ubat tahan sakit dan ubat surut bengkak, tetapi tidak makan ?
Dalam perkembangan, pengguna Facebook Zaidi Harun memaklumkan jenazah wanita berkenaan telah dibedah siasat.
"Kematian diklasifikasi sebagai mengejut oleh pihak polis. Proses mengambil masa lebih kurang tiga hingga empat jam.
"Kemudian akan diuruskan jenazah oleh kariah taman seterusnya akan disembahyangkan di Masjid A- Rashiddin Alor Gajah dan insya-ALLAH akan dikebumikan di Pusara Aman Kampung Jelatang. Jangan lekang bibir kalian doakan semoga dipermudah urusan.
"Perginya ke alam abadi seorang ibu dengan syahid kecil yang sangat disenangi keperibadiannya."
Warga maya tersentuh membaca catatan terakhir wanita itu mengucapkan takziah buat keluarganya.
MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, salur darah paru-paru tersumbat atau Pulmonary Embolism (PE) boleh terjadi kepada wanita hamil apabila salur darah paru-paru tersumbat secara tiba-tiba dan menyebabkan aliran darah melalui arteri paru-paru tersekat.
Ia terjadi disebabkan oleh gumpalan darah beku kecil yang bergerak dari bahagian lain ke salur darah paru-paru. Bagaimanapun ia biasanya bergerak dari salur darah kaki.
Gumpalan darah beku yang terbentuk dalam salur darah vena kaki kemudian bergerak melalui jantung lalu terlekat di dalam salur darah paru-paru (thromboembolism).
Jika salur darah paru-paru besar yang tersumbat, ia boleh menyebabkan kematian mengejut.
Gejala
- Sukar bernafas
- Sakit dada
- Pengsan
- Nadi laju
- Batuk berdarah
- Tidak dapat berbaring
- Bangun pada tengah malam disebabkan batuk
- Bengkak pada kaki atau buku lali
Komplikasi
- Jantung kanan lemah
- Rentak jantung yang tidak teratur
- Darah beku
- Pendarahan di dalam paru-paru
Keadaan ini memerlukan rawatan segera bagi menyelamatkan nyawa ibu dan bayi. Jika simptom ini terjadi kepada anda, pastikan mendapatkan pemeriksaan seawal mungkin.
Sumber: Aizura Zulkifli, Siti Suryani Yaakop, Zaidi Harun, MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi